Skip to main content

Singapura

Acara berbuka puasa RIA 897 suntik semangat dan rasa kebersamaan anak-anak yatim di Rumah Darul Ihsan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Mar 2026 07:20PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 11:15PM
SINGAPURA: Suasana berbuka puasa di Rumah Anak Yatim Darul Ihsan pada Jumaat (13 Mac) lebih meriah dengan kehadiran para personaliti radio RIA 897 dalam acara 'Grand Iftar'.

Buat julung-julung kalinya, stesen radio Mediacorp RIA 897 berkolaborasi dengan rumah anak yatim itu bagi menyuntik keceriaan dan menggembirakan sekitar 70 kanak-kanak lelaki dan perempuan menjelang Lebaran.

Antara personaliti radio yang hadir termasuk Nity Baizura, Fadli Kamsani, Dalina, dan DJ rancangan MJ12 Far Anwar.

“Rasa bahagia dapat berinteraksi bersama dengan adik-adik kita dari Rumah Anak Yatim Darul Ihsan. Selain daripada beriftar bersama dengan adik-adik ini, ada permainan bersama dengan mereka dan kami akan sedikit sebanyak berkongsi tentang kerjaya kami dan juga perjalanan hidup kami, semoga ia dapat menjadi motivasi bagi mereka,“ kongsi Far Anwar.
Related article image
Far Anwar dan Fadli Kamsani bersama kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Darul Ihsan. (Gambar: Syafeera Sofian/ BERITA Mediacorp)
Selain menjamu hidangan berbuka puasa bersama, Far Anwar dan para personaliti radio yang hadir turut berkongsi cerita dengan kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.

Ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi untuk mereka kejar impian mereka.

Menurut presiden Rumah Anak Yatim Darul Ihsan, Abdul Rahman Mohd Hanipah, acara sebegini menyuntik rasa kebersamaan dalam kalangan penghuni dengan masyarakat luar.

"Kami nak penghuni kami rasa seperti mereka juga ada keluarga di sini. Kita memanggil ramai orang untuk luangkan masa bersama mereka untuk memupuk semangat lagi bulan puasa ini, tentulah mereka akan rasa lebih semangat dengan adanya rangkaian sokongan yang kita mahu memberikan kepada mereka, " kata Encik Abdul Rahman.
Related article image
DJ radio RIA 897 bersama kanak-kanak Rumah Anak Yatim Darul Ihsan. (Gambar: Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)
Selain itu, kanak-kanak itu juga dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi tempatan Izzan Adlan dan Sarah Syazlina yang mendendangkan beberapa buah lagu.

"Sarah dapat menyanyikan tiga lagu. Sarah rasa adik-adik di sini meriah sangat, mereka sangat 'happening' dan Sarah rasa gembira sebab Sarah dapat menyanyikan lagu ini dengan mereka semua," luah Sarah Syazlina.

Kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Darul Ihsan turut menerima cenderamata dari RIA897 sebagai tanda ingatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita