Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara berbasikal sebar mesej 'Dadah Itu Haram'

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Bukan sekadar acara berbasikal biasa tetapi ada pengisiannya, khususnya menyebarkan mesej antidadah.

Sekitar 70 peserta, kebanyakannya belia, menyertai acara berbasikal anjuran Masjid Al-Iman dan Ride of Hope SG sebagai menyokong kempen 'Dadah Itu Haram' pada Ahad (27 Nov).

Mereka berkumpul di Masjid Al-Iman sejak 1.00 tengah hari, bagi membuat persediaan dan berlepas ke destinasi pertama.



Acara dipanggil 'Dadah Itu Haram Youth Ride 2022', dianjurkan Masjid Al-Iman dan Ride of Hope SG bagi menyokong usaha membanteras gejala dadah.

Turut serta dalam acara itu ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga sempat berbasikal bersama para peserta.

"Mereka mahu turun padang bersama-sama dengan kami untuk menyebarkan mesej 'Dadah Itu Haram' dan juga memberi ruang kepada masyarakat kita terutama golongan belia, untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sihat, meneroka peluang-peluang yang ada dan ini semua boleh dilakukan jika mereka menjauhi 'dadah," kongsi Dr Faishal.

"Saya rasa gembira kerana pada tahun ini, kita dapat melihat ramai yang tampil ke hadapan dan masjid-masjid seperti Masjid Al-Iman ini terus memberi sokongan yang padu," tambahnya lagi.

GOLONGAN BELIA PENTING DALAM USAHA PERANGI DADAH: DR FAISHAL



Pada masa yang sama, Dr Faishal turut menerangkan mengapa golongan belia penting dan menjadi tumpuan dalam usaha memerangi dadah.

"Pada kebelakangan ini, kita dapat lihat lebih ramai di kalangan belia terutama mereka yang berumur 30 tahun ke bawah ditangkap oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) kerana isu-isu ketagihan dadah," ujar beliau.

"Mereka mempunyai sikap dan pandangan yang lebih liberal tentang isu ketagihan dadah ini dan mereka juga mendapat informasi ini di media sosial dan juga tempat saluran media lain. Dan media ini juga mempunyai sikap liberal dalam perkongsian dalam kancah dadah ini jadi kita harus bekerja keras untuk mendekati mereka dan ibu bapa mereka," tambah beliau.

Lantas, acara berbasikal itu satu peluang yang baik bagi menggalak gaya hidup sihat dan menjalin hubungan rapat dalam kalangan belia, sambil menekankan mesej antidadah.

RAPATKAN HUBUNGAN RAKAN DAN JAUHI DADAH



Antara peserta yang mengikuti acara itu ialah Shafiq Jumaat, 16 tahun.

"Saya dapat meluangkan masa dengan kawan-kawan dan keluarga saya. Dengan acara ini juga, saya dapat berbasikal dengan ramai orang," kongsi Shafiq.

"Kita harus menjauhkan diri (daripada dadah) dan boleh melakukan lebih banyak aktiviti supaya kita tidak membuang masa dalam perkara-perkara yang tidak memanfaatkan kita," tambah beliau.



Seperti Shafiq, seorang lagi peserta, Syairrah Mohamad Rozali, 17 tahun, mendapati acara itu satu peluang baik untuknya meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.

"Sebagai pelajar di peringkat maktab rendah, saya meluangkan banyak masa di sekolah. Apabila sekolah sudah tamat dan acara ini diadakan, saya mengambil peluang untuk turut serta," kongsi Syairrah.

DEKATI BELIA

Pada masa yang sama, acara itu juga amat berguna bagi belia sepertinya.



Golongan ini bukan lagi kanak-kanak dan juga bukan dewasa - lantas berada dalam fasa yang "tidak menentu" dalam kehidupan mereka, menurut Syairrah.

"Melalui kempen-kempen sebegini, ia lebih jelas untuk remaja-remaja seperti saya, mengapa dadah itu haram dan mengapa dadah tidak boleh diambil," ujar beliau.

"Ia (dadah) dapat menjejas kesihatan dan juga menjejas kehidupan sosial mereka kerana apabila mereka mengambil dadah, mereka akan ketagih," tambahnya lagi.

Acara berbasikal itu juga melibatkan sesi perkongsian tentang pencegahan dadah oleh CNB.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan