Acara berbasikal 'Cycle of Peace' kumpul dana tunaikan hajat 100 pesakit tenat
SINGAPURA: Badan amal Ambulance Wish Singapore (AWS) melancarkan acara berbasikal secara maya 'Cycle of Peace 2022' untuk mengumpul dana sebanyak S$150,000.
Ini bagi membiayai kos untuk menunaikan permintaan terakhir sekitar 100 lagi pesakit tenat.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding 80 yang dapat dibantu sejak tahun 2019.
Bahkan semasa pandemik sahaja, AWS menunaikan sebanyak lima hajat setiap bulan yang dirujuk kepada pihaknya melalui rumah jagaan kesihatan dan hospital.

Acara itu dilancarkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong dalam satu majlis pada Sabtu (28 Mei) yang turut meraikan ulang tahun ketiga badan amal itu.
"Ia lebih daripada menunaikan hajat. Ia sebenarnya tentang kenangan. Ia tentang acara yang boleh dikongsi bersama keluarga yang sangat bermakna dalam perjalanan mereka. Dan saya rasa ia betul-betul memberi makna kepada perkataan paliatif yang bukan sahaja dari segi perubatan tapi juga daripada hati dan apakah hajat yang boleh ditunaikan, yang meninggalkan kesan mendalam," kata Encik Tong.
Orang ramai boleh menyertai acara tersebut ataupun membuat sumbangan di laman www.cycleofpeace.sg.
MENINGGAL DUNIA ENAM HARI SELEPAS PERMINTAAN TERAKHIR DITUNAIKAN
Antara yang meraih manfaat daripada usaha Ambulance Wish Singapore ini adalah Cik Norra Yub, 50 tahun.
Bagi beliau, tarikh 26 Februari 2022 akan senantiasa terpahat dalam ingatannya sekeluarga.
Pada hari itu, permintaan terakhir suaminya, Encik Yazid Sulaiman yang sedang tenat bertarung nyawa dengan barah rektum, dapat dipenuhi iaitu untuk dibawa ke pantai East Coast untuk meluangkan masa bersama Cik Norra.

Lebih manis lagi, di situlah tempat Encik Yazid melamar isterinya, 24 tahun lalu iaitu pada 1998.
Pasangan itu berumahtangga tiga tahun kemudian, dan dikurniakan dua orang cahaya mata berusia 14 dan 18 tahun.
"Saya sangat emosi dan boleh saya katakan beberapa hari sebelum acara itu, arwah suami saya tidak dapat memakan apa-apa. Jadi Ambulance Wish tanya saya apakah makanan yang dia suka, jadi saya katakan Kek Coklat. Saya berupaya menyuapkannya dan dia dapat menelannya pada hari itu. Jadi boleh dikatakan seperti satu kejutan.
"Kami mulakan perjalanan kami di sana... dan kami akhirinya di sana juga," kata Cik Norra, yang tidak dapat menahan rasa sebak.

Detik itu cukup bermakna bagi Cik Norra kerana dapat meluangkan masa bersama suaminya sebelum Allahyarham Encik Yazid meninggal dunia enam hari kemudian, pada 4 Mac 2022.
Pemergian suaminya masih segar dalam ingatan namun apabila beliau sudah bersedia, Cik Norra berharap dapat berbakti semula kepada orang lain.
"Kalau Ambulance Wish boleh tunaikan hajat kami, mengapa saya tidak boleh melakukan yang sama untuk orang lain khususnya masyarakat Melayu," tambah Cik Norra dengan penuh harapan.
SUMBANG TENAGA MESKI TUGAS MENCABAR
Permintaan suami Cik Norra itu adalah antara 80 hajat terakhir para pesakit tenat yang dapat ditunaikan AWS yang ditubuhkan pada 2019.
Dengan bantuan lebih 130 relawan dari pelbagai latar belakang, pertubuhan itu bertujuan memenuhi permintaan terakhir para pesakit tenat demi memberi mereka secebis keceriaan.
Antara relawan yang terawal menyertai AWS adalah Encik Ismail Hashim, 38 tahun.
Minatnya menjadi relawan berputik sejak di sekolah menengah lagi.
Sejauh ini, jururawat hospis sepenuh masa itu sudah berjaya menunaikan empat hajat termasuk memberi 'makeover' untuk rumah salah seorang pesakit barah.

"Seorang pesakit yang telah saya bantu ialah untuk menganjurkan percutian bulan madu dan juga perhimpunan bersama keluarga. Jadi saya melaksanakan hajat itu dan hajat tersebut bukan sahaja disampaikan kepada pesakit itu secara langsung tetapi kepada keluarga mereka juga," kata Encik Ismail.
Walaupun terpaksa mengimbangi tugas sebagai jururawat dan relawan, Encik Ismail berasa berbesar hati dan berharap beliau dapat menjadi inspirasi kepada insan-insan yang dibantu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.