Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara Are You OK, Bro? 2.0 - Jangan malu dapatkan bantuan jika alami masalah kesihatan mental

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kaum lelaki tidak perlu merasa malu untuk mendapatkan bantuan sekiranya menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kesihatan mental.

Demikian ditekankan Pengarah Program Kelab HEAL, Dr Suri Shafii-Charles di acara Are You OK, Bro? 2.0 yang dianjurkan bersama Kelab Heal dengan pertubuhan sosial Lepak Conversations.

Sesi di Club HEAL di Eunos Crescent pada Sabtu ( 27 Jul) itu disertai 34 peserta.

'

Antara yang dikongsi adalah dapatan satu kajian tentang kesihatan mental di Singapura yang dimulakan Lepak Conversations pada September tahun lalu.

Ia menyusuli laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2022 yang menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental telah meningkat dengan ketara, khususnya dalam kumpulan usia 18 hingga 29 tahun.

Ia meningkat daripada 21.5 peratus pada tahun 2020 kepada 25.3 peratus pada tahun 2022.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa kaum wanita lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan kesihatan profesional serta rangkaian sokongan tidak formal berbanding lelaki.

"Pengalaman lelaki dan wanita sangat berbeza. Jadi dalam kajian ini, kami ingin memberi fokus kepada isu dan cabaran yang dihadapi kaum lelaki. Yang penting sekali adalah tentang idea 'masculinity'. Tiada sikap yang baik yang diutarakan apabila kita berbual tentang isu ini. Itulah yang kita ingin basmi. Jadi kita perlukan pendekatan yang berlainan juga untuk wanita dan lelaki kerana pengalaman mereka juga berbeza," kata Ketua Penyelidikan kajian itu, Cik Liyana Batrisyia kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Cik Liyana berkata terdapat anggapan dalam kalangan responden lelaki bahawa isu dan ruang selamat untuk membincangkan isu kesihatan mental agak berkurangan di Singapura.

'

"Itu tidak benar, ia bukan mahal. Ia mudah diakses, misalnya di Kelab HEAL, ianya percuma," jelas beliau.

Pengarah Program Kelab HEAL, Dr Suri Shafii-Charles berkata trend itudapat dilihat dalam bilangan kaum lelaki yang mendapatkan bantuan di pusat tersebut.

"Di Kelab HEAL sahaja, apa yang kita lihat, 70 peratus klien kita adalah golongan wanita," kata beliau.

PARA PESERTA FAHAMI LEBIH MENDALAM TENTANG GEJALA KESIHATAN MENTAL, KOMUNIKASI EFEKTIF

Anggota panel sesi selama lima jam itu termasuk Dr Suri, Pengurus Pasukan Jangkauan Masyarakat Pengasuh (CREST-Caregivers), Encik Zainal Abidin Lee serta Pakar Sokongan Rakan Kelab HEAL, Encik Sufian Mohd Noor.

Para peserta diajak membincangkan pelbagai topik termasuk sebab-sebab mengapa kaum lelaki kurang terbuka untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental serta strategi penjagaan diri dan pengurusan kesejahteraan emosi.

Dr Suri berkata: "Secara umum, kita perlu berikan lebih banyak pendidikan tentang kepentingan kesihatan mental, apakah gejala, dan tempat sumber yang mereka boleh pergi untuk mendapatkan bantuan.

"Kalau anda tidak 'ok' , berterus terang bahawa anda tidak 'ok'. Tidak salah untuk tidak rasa 'ok' .Perempuan dan lelaki semuanya ada emosi, perasaan, kita melalui kehidupan. Jadi pastikan bahawa kita tahu apakah simptom kesihatan mental. Ini untuk kebaikan diri sahaja. Semua orang akan terjejas," tambah beliau lagi.

Dr Suri akur faktor budaya turut menyumbang kepada stigma tentang gangguan mental.

'

Mengenai hal itu, Dr Suri berkata: "Antara faktor adalah kerana budaya, lelaki dibesarkan secara berbeza daripada wanita. Stigma juga bahawa mereka akan bimbang kalau meminta bantuan, mereka akan dilihat sebagai lemah dan mungkin bimbang mereka akan hilang pekerjaan apabila mereka meminta bantuan kesihatan mental."

"Kita juga mengongsi strategi sihat dan efektif untuk memperbaiki kesihatan mental mereka seperti berjalan, melakukan sukan, cukup tidur, makan sihat atau mendapat bantuan profesional," tambah beliau.

Selain panel perbincangan, para peserta juga berpeluang mengikuti tiga bengkel tentang penjagaan diri, kawalan emosi serta komunikasi yang efektif.

'

Muhammad Reza Azmin, 29 tahun adalah antara peserta yang ingin menimba lebih banyak pengetahuan tentang kesihatan mental.

"Satu perkara yang saya membawa pulang adalah pentingnya menangani punca asas sesuatu masalah. Saya mendengar nasihat tentang perbezaan apa yang dilakukan berbanding menangani isu akarnya. Saya rasa ia memperluaskan minda saya," kata Encik Reza.

Seorang lagi peserta, Muhd Ghazali Muzakir pula berkata: "Apa yang saya pelajari adalah kepentingan ada kemahiran untuk mendengar, kemahiran untuk membiarkan seseorang meluahkan perasaan. Kemahiran ini bukan semudah kita anggarkan, jadi perlu untuk berlatih bagaimana untuk mendengar. Itulah salah satu aspek yang saya ingin belajar dan memperbaiki diri."

"Isu tentang kesihatan mental untuk kaum Adam adalah sangat penting. Saya juga ingin melihat bagaimana saya boleh membantu dalam isu ini sebagai seorang anggota masyarakat," tambah beliau lagi.

Perkongsian dan maklum balas semasa sesi Are You OK, Bro? 2.0 itu akan dikumpulkan dan disertakan dalam kajian tentang kesihatan mental Lepak Conversations itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan