Acara Anime Festival Asian kembali lagi di SG hujung minggu ini; dapat sambutan hangat
SINGAPURA: Acara Anime Festival Asia (AFA) 2022 kembali secara fizikal setelah dua tahun ditangguh akibat COVID-19. Acara tahun ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, dengan tiket bagi acara hari Sabtu (26 Nov) habis dijual menurut AFA.
Bermula pada Jumaat (25 Nov) hingga Ahad (27 Nov), para peminat anime dapat bertemu dan berinteraksi dengan pemain ‘cosplay’ dari Jepun dan rantau ini seperti Hiroto Karamasu dari Jepun dan wakil Singapura, Xiaoyukiko.
Selain itu, artis-artis anime Jepun akan membuat penampilan khas seperti Encik Yuki Ono, yang lebih dikenali memainkan watak dalam anime seperti ‘JoJo's Bizarre Adventure’ dan ‘Kuroko's Basketball’.
Sebanyak 208 gerai menyertai acara itu dan menyediakan para peminat dengan barangan rasmi seperti mainan, poster, baju dan karya seni dari pelbagai rancangan anime.
Selain dari lebih 40 persembahan yang akan diadakan oleh kumpulan dan individu dari rantau ini, acara kemuncak pada tahun ini adalah penampilan beberapa Vtubers, ataupun dikenali sebagai ‘Virtual YouTubers’. Mereka merupakan watak avatar digital yang menggunakan grafik dihasilkan oleh komputer dan akan dipancarkan pada skrin kepada orang ramai.
Tidak dilupakan, kostum menarik yang dipakai para peminat anime. Ramai yang menghadiri AFA tahun ini dengan berpakaian watak kegemaran mereka, terutama sekali watak-watak dari permainan video anime ‘Genshin Impact’.
Seorang peminat ‘cosplay’, Encik Muhaimin Azman, 31 tahun, yang berpakaian kostum ‘Kamen Rider 01’ mula menghadiri acara AFA sejak 2018.
“Sebenarnya saya tidak minat sangat dengan ‘cosplaying’, tapi bila kawan saya ajak, saya pun nak cuba,” kata Encik Muhaiman.
Minat tersebut mendorongnya untuk membeli dua kostum ‘Kamen Rider’ yang memakan belanja yang banyak, namun ia merupakan sesuatu yang membuatnya gembira, terutama sekali apabila sering diminta oleh para peminat untuk bergambar bersama.
“Saya rasa seperti ‘hero’. Bila kita pakai kostum ini, kita rasa macam watak itu sendiri. Bila orang lain minta untuk mengambil gambar, awak akan rasa seperti hero kepada orang tersebut, terutama sekali budak-budak kerana mereka memang suka superhero,” tambahnya.
Anime Festival Asia (AFA) 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City, dewan 401- 405 dan dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Ia berlangsung dari 25 November hingga 27 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.