Acara amal President's Star Charity kumpul lebih S$10.4 juta bagi 72 pertubuhan
Acara amal President's Star Charity malam ini (4 Okt) berjaya mengumpulkan lebih S$10.4 juta bagi 72 pertubuhan.

Presiden Halimah di acara President's Star Charity.
SINGAPURA: Acara amal President's Star Charity malam ini (4 Okt) berjaya mengumpulkan S$10,423,381 bagi 72 pertubuhan.
Ini kali pertama acara tahunan mengumpul dana oleh Mediacorp bagi Cabaran Presiden, diadakan tanpa kehadiran penonton secara fizikal disebabkan pandemik COVID-19.
Tumpuan acara tahun ini adalah untuk memperkasa golongan kurang upaya supaya mereka juga dapat menyumbang kepada masyarakat, kata Presiden Halimah Yacob.
Pertunjukan bermula dengan dendangan lagu tema pertama acara oleh penyanyi dan penulis lagu Singapura, Jarell Huang dan JJ Neo, yang bertajuk "Believe" sempena ulang tahun ke-20 Cabaran Presiden.
Deretan artis lain yang mengambil bahagian termasuk nama-nama terkenal di tanah air seperti Rahimah Rahim, serta artis antarabangsa termasuk penyanyi terkenal Indonesia, Rossa dan dari Britain, Lewis Capaldi.
Presiden Halimah dan para tamu sendiri menyumbang bakat dengan melukis pada kolaj jubin secara 'live' yang diilhamkan Saifudeen Abdul Salim. Saifudeen mengalami distrofi otot yang menyebabkan beliau sukar bergerak.
Hasil karya tersebut berjaya mengumpulkan S$200,000.
RAYU SOKONGAN BUKA JALAN UNTUK GOLONGAN LEMAH
"Saya amat berbesar dengan sumbangan Mediacorp dan semua pihak yang membantu untuk menjayakan President's Star Charity," kata Puan Halimah.
"Ada yang sudah mengambil bahagian sejak beberapa tahun lalu. Saya berterima kasih kepada mereka dan saya rasa ini satu cara untuk mendekati rakyat Singapura dan mendapatkan sokongan mereka bagi golongan kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan," katanya lagi.

Sejajar tema tahun ini, Presiden Halimah memuji golongan kurang upaya kerana tidak membiarkan keadaan mereka sebagai hambatan untuk meneruskan kehidupan.
"Kita lihat sebagai contoh Saifudeen. Beliau mengalami distrofi otot (keadaan yang membuat otot semakin lemah). Dan saya sangat bangga melihatnya kerana beliau ada keinginan dan mempunyai semangat yang positif. Beliau jadi seorang pereka grafik yang berjaya," ujar Presiden Halimah.
PASTIKAN TIADA JURANG DIGITAL DI S'PURA
Presiden Halimah mendedahkan, usaha membantu mereka yang memerlukan di bawah Cabaran Presiden pada tahun depan akan tertumpu pada membina sebuah masyarakat digital yang inklusif.
Langkah itu, kata beliau, penting kerana "teknologi sudah menjadi penghubung" semua urus niaga, apatah lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19.
"Kita harus memastikan tiada jurang digital yang berlaku di Singapura. Maka itu kita akan terus menyokong program dan inisiatif-inisiatif yang akan membantu golongan lemah mendapat akses kepada kemahiran dan alat-alat digital," tegas Presiden Halimah.
Ini rayuan Presiden Halimah kepada orang ramai:
"Tolong buka hati anda. Itu penting, Dan beri sokongan anda, bagi membuka jalan untuk masyarakat kita menjadi inklusif dan saling menyokong satu sama lain."
Anda masih boleh membuat sumbangan kepada Cabaran Presiden sehingga 11 Oktober. Ini boleh dilakukan menerusi pelbagai wadah online, termasuk laman giving.sg dan aplikasi bank.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.