Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ABSD 35% akan dikenakan ke atas pemindahan hartanah ke dalam wasiat mulai 9 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
ABSD 35% akan dikenakan ke atas pemindahan hartanah ke dalam wasiat mulai 9 Mei

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

SINGAPURA: Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) sebanyak 35 peratus kini akan dikenakan ke atas sebarang pemindahan hartanah kepada wasiat yang dilakukan pada atau selepas 9 Mei. 

Demikian diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad (8 Mei). 

ABSD perlu dibayar sekalipun tiada pemilik yang boleh dikenal pasti semasa hartanah itu dipindahkan ke dalam wasiat, menurut MOF dalam kenyataan medianya pada lewat Ahad. 

Pemilik yang boleh dikenal pasti bagi hartanah yang diwasiatkan kepadanya merujuk kepada seseorang individu yang dikenal pasti dalam wasiat atau dokumen sebagai penerima hartanah dan kerana wasiat itu, memiliki hartanah tersebut yang, di bawah syarat-syarat wasiat, tidak boleh ditarik balik, diubah atau tertakluk kepada sebarang syarat lain.

Buat masa ini, Cukai Setem Pembeli (BSD) perlu dibayar apabila sesebuah hartanah dipindahkan ke dalam wasiat. 

ABSD juga mungkin perlu dibayar, bergantung kepada profil pemilik yang menerima hartanah yang diwasiatkan. 

"Jika wasiat itu dilakar sedemikian rupa dengan tiada pemilik dikenal pasti untuk menerima hartanah berkenaan sewaktu hartanah tersebut diwasiatkan, maka ABSD tidak akan dikenakan buat masa ini," menurut MOF. 

"Menyusuli semakan dasar berkala, Pemerintah akan memperkenalkan ABSD (Wasiat) pada kadar 35 peratus untuk menangani dan merapatkan jurang ini," tambah MOF. 

Memandangkan ABSD bermatlamat untuk mewujudkan sebuah "pasaran hartanah yang stabil dan mampan", ia harus dikenakan ke atas semua pemindahan hartanah yang diwasiatkan, menurut MOF. 

Ini tanpa mengira sama ada terdapat pemilik hartanah yang boleh dikenal pasti, tambah MOF lagi. 

ABSD (Wasiat) dikehendaki dibayar terlebih dahulu sebelum hartanah itu dipindahkan kepada sebarang wasiat. 

Sebagai satu konsesi, seorang pemegang amanah boleh membuat permohonan kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) untuk mendapatkan bayaran balik ABSD (Wasiat) sekiranya semua penerima hartanah itu boleh dikenal pasti dan hartanah itu dimiliki oleh penerima tersebut sewaktu hartanah itu diwasiatkan. 

Selain itu, pemilikan hartanah itu tidak boleh diubah atau ditarik balik, atau tertakluk kepada sebarang syarat lain, di bawah syarat wasiat itu, tegas MOF. 

Jumlah bayaran balik adalah berdasarkan perbezaan antara kadar ABSD (Wasiat) sebanyak 35 peratus dengan kadar ABSD yang bergantung kepada profil penerima hartanah dengan kadar ABSD yang tertinggi, menurut MOF. 

"Permohonan untuk bayaran balik itu harus dibuat kepada IRAS dalam tempoh enam bulan setelah pemindahan dilaksanakan," tegas MOF sambil menambah bahawa perinciannya boleh didapatkan di laman web IRAS. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan