Abdul Rahman, Azmi Osman diiktiraf atas khidmat cemerlang dalam sektor hospitaliti
Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (tengah), yang juga Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, bersama pemenang Anugerah Bintang Cemerlang Persatuan Hotel Singapura (SHA) 2026, Encik Abdul Rahman Abdullah (kiri) dan Encik Azmi Osman (kanan). (Gambar: SHA)
- Mr Abdul Rahman Abdullah and Mr Azmi Osman received the Singapore Hotel Association’s 2026 Excellent Service Award for service that went beyond their usual duties.
- At Changi Airport, Abdul Rahman helped a passenger with special needs who had become separated from his wife, then got a taxi after their transport did not arrive.
- Azmi, a guest relations officer at Hotel Shangri-La Rasa Sentosa, uses calligraphy to create special experiences and believes human sincerity cannot be replaced by technology.
- Dr Wan Rizal described workers’ care and attentiveness as an advantage of Singapore’s hospitality sector. The awards were presented on Nov 2 at NUS, where 3,694 workers received EXSA recognition.
- Encik Abdul Rahman Abdullah dan Encik Azmi Osman menerima Anugerah Bintang Cemerlang Persatuan Hotel Singapura 2026 atas layanan yang melangkaui tugas biasa.
- Di Lapangan Terbang Changi, Abdul Rahman membantu penumpang berkeperluan khas yang terpisah daripada isterinya, kemudian mendapatkan teksi selepas pengangkutan mereka tidak tiba.
- Azmi, pegawai perhubungan tetamu Hotel Shangri-La Rasa Sentosa, menggunakan kaligrafi untuk mencipta pengalaman istimewa dan percaya ketulusan manusia tidak dapat digantikan teknologi.
- Dr Wan Rizal menyifatkan keprihatinan pekerja sebagai kelebihan hospitaliti Singapura; anugerah disampaikan pada 2 November di NUS, ketika 3,694 pekerja menerima pengiktirafan EXSA.
Beliau turut menyedari lelaki itu memakai lanyard 'Sunflower', yang menandakan seseorang mungkin mempunyai ketidakupayaan atau keperluan khas yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Encik Abdul Rahman, yang sudah tiga tahun bertugas menguruskan perkhidmatan teksi di Smarte Carte Singapore, segera mendekati lelaki itu untuk menghulurkan bantuan.
Siapa sangka, keprihatinannya terhadap penumpang tersebut membolehkan beliau meraih Anugerah Bintang Cemerlang Persatuan Hotel Singapura (SHA) 2026.
Beliau merupakan seorang daripada dua penerima anugerah tersebut yang dipilih daripada 93 calon, meliputi sektor hotel dan perkhidmatan hospitaliti lain.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, pada Isnin (2 Nov), sempena majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (EXSA) di Auditorium Ho Bee, Universiti Nasional Singapura (NUS).
BUKAN SEKADAR MENJALANKAN TUGAS
Mengimbas kembali kejadian itu, Encik Abdul Rahman menceritakan bahawa penumpang tersebut sebenarnya sedang mencari isterinya selepas mereka terpisah di kawasan ketibaan lapangan terbang.
Beliau pada mulanya membawa lelaki itu ke kaunter maklumat untuk meminta bantuan membuat pengumuman. Malangnya, selepas kira-kira 15 minit, isterinya masih belum ditemukan.
Encik Abdul Rahman kemudian mendapatkan maklumat lanjut daripada lelaki itu sebelum akhirnya berjaya membantunya bertemu semula dengan isterinya.
Bantuan Encik Abdul Rahman tidak terhenti di situ. Apabila mendapat tahu pengangkutan yang ditempah pasangan itu tidak tiba, beliau turut membantu mereka mendapatkan teksi untuk meneruskan perjalanan ke hotel.
Apabila ditanya mengapa beliau sanggup melakukan lebih daripada tugas hariannya, Encik Abdul Rahman menjelaskan bahawa sudah menjadi prinsip hidupnya untuk membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan.
"Ini bukan sekadar tanggungjawab dalam pekerjaan tetapi soal keprihatinan sesama manusia dan bagaimana kita melihat seseorang itu," katanya kepada BERITA Mediacorp.
Beliau turut membayangkan bagaimana jika dirinya berada dalam keadaan yang sama ketika melancong ke luar negara dan terpaksa bergantung pada bantuan orang lain.
Sebab itulah, beliau tidak pernah menyangka keprihatinannya itu akan membawa kepada pengiktirafan tersebut.
SENTUHAN PERIBADI MELALUI SENI KALIGRAFI
Seorang lagi yang menerima Anugerah Bintang Cemerlang SHA 2026 ialah Encik Azmi Osman, 51 tahun, yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Tetamu di Hotel Shangri-La Rasa Sentosa.
Beliau menggunakan bakatnya dalam seni kaligrafi untuk memberikan pengalaman yang lebih istimewa kepada para tetamu hotel.
Antaranya, Encik Azmi pernah menghasilkan ucapan hari lahir dalam bentuk kaligrafi khas untuk seorang tetamu yang mahu meraikan hari lahir isterinya.
"Reaksi mereka begitu gembira sekali. Saya mahu mereka merasakan sesuatu yang benar-benar istimewa," kata Encik Azmi, yang mula meminati seni kaligrafi sejak menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).
Kini, beliau menggunakan kemahiran itu dalam tugas hariannya untuk menjadikan pengalaman tetamu hotel lebih istimewa.
Menurut Encik Azmi, beliau mahu setiap tetamu berasa seperti berada di rumah sendiri, tidak kira sama ada mereka pertama kali menginap di hotel itu atau sudah beberapa kali berkunjung.
Walaupun teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang, beliau percaya sentuhan manusia tetap penting dalam memberikan layanan yang baik.
"Sebab itulah AI tidak boleh menggantikan sentuhan manusia. Teknologi hanyalah perisian, sedangkan kemahiran insaniah datang daripada hati. Keikhlasan dan ketulusan dalam memberikan layanan itu tidak akan dapat digantikan oleh apa-apa kemajuan teknologi," katanya.
Ini merupakan kali pertama Encik Azmi menerima pengiktirafan sedemikian.
Namun, beliau tidak menganggap kejayaan itu sebagai pencapaian peribadi semata-mata, sebaliknya hasil usaha bersama seluruh pasukan Shangri-La.
SENTUHAN MANUSIA JADI KEKUATAN SEKTOR HOSPITALITI SG
Kepentingan sentuhan manusia dalam memberikan layanan yang baik turut ditekankan Dr Wan Rizal dalam ucapannya.
Beliau menjadikan kisah Encik Azmi dan Encik Abdul Rahman sebagai contoh bagaimana keprihatinan dan keikhlasan pekerja sektor hospitaliti menjadi antara kekuatan yang membezakan Singapura daripada destinasi pelancongan lain.
Dr Wan Rizal, yang juga Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, berkata: "Kita tidak boleh mengambil mudah kedudukan Singapura sebagai destinasi pilihan. Destinasi lain juga boleh membina hotel yang indah, menawarkan tarikan bertaraf dunia dan menggunakan teknologi yang sama seperti kita.
"Namun, sentuhan manusia yang anda miliki lebih sukar untuk digantikan. Di sinilah, orang kita yang membezakan apa sebenarnya khidmat cemerlang."
Majlis EXSA yang memasuki edisi ke-32 tahun ini menyaksikan seramai 3,694 pekerja sektor hospitaliti menerima anugerah sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.