Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Abdul Qayyum terima Biasiswa PSC yang berprestij; mahu dalami Arab dan jadi pakar Timur Tengah

Seramai 93 pelajar dianugerahi Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) tahun ini, termasuk seorang anak Melayu, Abdul Qayyum Mohamed Fazil.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 93 pelajar dianugerahi Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) tahun ini, termasuk seorang anak Melayu, Abdul Qayyum Mohamed Fazil.

Majlis penyampaian Biasiswa PSC itu diadakan petang ini (18 Jul).

Abdul Qayyum dan para pemohon lain yang berjaya, menerima biasiswa masing-masing daripada Menteri Perdagangan dan Perusahaan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Mereka dipilih daripada kalangan lebih 2,000 permohonan yang diterima.

BERITAMediacorp bertemu dengan Abdul Qayyum untuk mencungkil rahsia kejayaannya dan apa yang mahu diperjuangkannya nanti setelah tamat pengajian universiti.

Abdul Qayyum (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya. (Gambar-gambar: Abdul Qayyum Mohamed Fazil)

Abdul Qayyum (dua dari kiri).

ABDUL QAYYUM MAHU BELAJAR ARAB, JADI PAKAR TIMUR TENGAH

Cita-cita bekas pelajar Raffles Institution (RI) ini adalah untuk menjadi pakar Timur Tengah dan beliau berminat untuk bertugas dalam bidang diplomasi di Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Lantaran itu, tidak hairanlah pengajian Bahasa Arab dan Timur Tengah menjadi pilihan Abdul Qayyum Mohamed Fazil yang akan melanjutkan pendidikannya ke Universiti St Andrews di Scotland. Dia akan berangkat ke sana pada September ini.

Jadi apa yang menggerakkan jiwanya sehingga mahu mendalami bahasa Arab dan ehwal Timur Tengah?

"Semasa dalam maktab rendah saya pernah menyertai sebuah program iaitu Raffles Middle East Programme di mana setiap minggu kita didedahkan kepada orang-orang yang mempunyai pekerjaan yang berkaitan dengan Timur Tengah. Sebagai contoh seorang diplomat daripada Israel dan sebagainya. Program itu telah mencetuskan minat saya dalam pengajian Timur Tengah," Abdul Qayyum memberitahu BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Abdul Qayyum Mohamed Fazil)

ADA "SALAH TANGGAPAN" TENTANG TIMUR TENGAH

Abdul Qayyum menambah, Timur Tengah sebuah rantau yang "sangat disalah faham oleh ramai orang" dan kerencaman kawasan itu membuat beliau begitu berminat untuk mengkajinya.

Dia malah percaya bahawa ada perkara-perkara yang boleh dipelajari negara lain seperti Singapura dari sebahagian negara Timur Tengah. Misalnya iktibar dari negara seperti Qatar. Ia negara kecil di mana tindakan-tindakan dari negara sekelilingnya boleh menjejas perkara seperti keselamatan dan bekalan makanannya, serta kebebasan media kerajaan tersebut seperti yang berlaku pada tahun lalu (2017).

Ditanya sama ada dia pandai berbahasa Arab, Qayyum mengakui dia "belum lagi fasih". Lantaran itu dia memilih University St Andrews kerana kurikulum di sana memberi peluang untuknya ke negara-negara Timur Tengah pada tahun yang ketiga. Ketika itu beliau berharap dapat hidup di rantau itu dan mendapatkan asas-asas berbahasa Arab.

(Gambar-gambar: Abdul Qayyum Mohamed Fazil)

QAYYUM PELAJAR BIJAK, RAIH 'KEPUJIAN' BAGI SEMUA SUBJEK

Yang pasti, beliau akan menyertai Perkhidmatan Awam selepas tamat universiti nanti.

Biasiswa PSC yang diterimanya adalah biasiswa berprestij yang diberikan kepada individu-individu cemerlang untuk menjadi pegawai perkhidmatan atau pentadbiran awam.

Belia 19 tahun itu sebenarnya merupakan satu-satunya anak Melayu/Islam dalam kalangan 93 penerima yang dianugerahi Biasiswa PSC 2018.

Seorang pelajar bijak, Abdul Qayyum mengikuti Program Bersepadu (IP) di RI sebelum menduduki GCE 'A' dan mendapat Gred 'Kepujian' dalam kesemua enam mata pelajarannya iaitu Sejarah, Ekonomi, Sastera Inggeris, Matematik, Kerja Projek dan Kertas Am.

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Jadi apakah rahsia anak sulung tiga beradik itu, sehingga cemerlang dalam pelajaran?

"(Ada) dua perkara yang saya rasa agak penting. Pertama keyakinan. Kedua adalah untuk (kita) tahu gaya pembelajaran kita sendiri.

"Setiap orang ada gaya yang tersendiri. Ada yang suka hafal ada yang suka latihan. Kita perlu tahu apa gaya yang terbaik untuk (diri) kita agar kita dapat berjaya," ujar beliau.

IBU BAPA DIJADIKAN PERAN CONTOH

Bapa Abdul Qayyum seorang guru sekolah menengah, manakala ibunya pula seorang suri rumah. Dia menggap kedua-duanya sebagai peran contoh bagi dirinya.

"Bapa saya begitu komited kepada para pelajarnya. Maka satu-satunya perspektif tentang kerjaya yang terbentuk bagi diri saya adalah apabila menerusi pekerjaan kita dapat berkhidmat kepada masyarakat.

"Itu lah sebabnya saya memilih sektor perkhidmatan awam. Ibu saya pula seorang yang amat positif walau apa pun yang berlaku. Jadi saya berharap untuk menyebarkan positiviti juga," kongsi Abdul Qayyum lagi kepada BERITAMediacorp.

Abdul Qayyum bersama keluarganya. (Gambar-gambar: Abdul Qayyum Mohamed Fazil)

Menurutnya, menerima Biasiswa PSC ini adalah "satu tanggungjawab besar" dan dia menyimpan hasrat untuk menyumbang kembali kepada negara, khususnya kepada masyarakat Melayu/Islam.

"Saya impikan untuk (sampai) ke tahap pembangunan dasar-dasar Pemerintah dan saya harap saya dapat memastikan bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan dapat lebih membantu masyarakat Melayu kita," kata beliau lagi.

Abdul Qayyum juga berharap dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak Melayu/Islam lain supaya terus mengejar cita-cita masing-masing.

Abdul Qayyum bersama keluarganya. (Gambar-gambar: Abdul Qayyum Mohamed Fazil)

JUMLAH PENERIMA JURUSAN KEJURUTERAAN MELONJAK 3 KALI GANDA

Bagi Biasiswa PSC kali ini, satu kategori baru diperkenalkan, iaitu Kewangan Awam, dengan dua pelajar menjadi penerimanya.

Dalam pada itu, jumlah penerima biasiswa PSC bagi jurusan kejuruteraan melonjak hampir dua kali ganda tahun ini kepada 22 orang.

ni berbanding hanya lapan penerima pada tahun lalu yang juga tahun pertama kategori tersebut diadakan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan