Skip to main content

Singapura

Abdul Hadi, Nurul Huda antara 8 penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2025

Dedikasi dan usaha gigih lapan orang guru diiktiraf dalam Anugerah Presiden bagi Guru 2025.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dedikasi dan usaha gigih lapan orang guru diiktiraf dalam Anugerah Presiden bagi Guru 2025.

Mereka terpilih daripada lebih 4,700 pencalonan daripada 310 sekolah dan lapan institusi pendidikan pos-menengah.

Daripada jumlah itu, 18 finalis terpilih dan hanya lapan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2025.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada Khamis (4 Sep).

Presiden Tharman berkata, "Para pendidik kita membentuk hati dan minda yang akan membentuk masa depan kita nanti. Setiap detik inspirasi meninggalkan kesan yang berkekalan. Setinggi-tinggi tahniah kepada lapan penerima anugerah tahun ini. Dedikasi dan kepakaran anda mencerminkan yang terbaik dalam bidang perguruan.”

ABDUL HADI ABDUL WAHAB TERAPKAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN SENI
 

Related article image
Penerima anugerah, Abdul Hadi Abdul Wahab (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Antara pendidik yang diiktiraf kali ini ialah Encik Abdul Hadi Abdul Wahab 36 tahun.

Guru Kanan Seni dari Sekolah Tinggi Holy Innocents' itu menggabungkan teknologi dan ekspresi kreatif untuk mereka pengajaran seni yang lebih menarik untuk para pelajarnya.

Antara lain, membimbing 15 pelajar dalam melakarkan jejak interaktif menggunakan realiti terimbuh (AR) untuk acara 'Thanksgiving Ceremony' di sekolahnya.

Ini selain membimbing lebih 90 pelajar untuk menjadi pengamal media berkemahiran sebagai guru dalam Program Pembelajaran Gunaan (ALP) untuk Perkhidmatan Media.

"Teknologi AR dan Kecerdasan Buatan (AI) akan terus mengubah hidup kita dan pelajar-pelajar sekarang juga selalu menggunakan telefon bijak dan media sosial," kongsi Encik Hadi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Jadi, adalah lebih baik untuk kita menunjukkan kepada pelajar-pelajar bagaimana untuk menggunakan teknologi seperti AR atau AI untuk mengekspresikan idea-idea kreatif mereka. Dari situ, mereka boleh mengaplikasikan teknologi ini semua ke dalam bidang-bidang lain seperti Sains, Matematik ataupun Geografi dan Sejarah," tambahnya.

Guru dengan pengalaman 10 tahun itu juga melahirkan rasa syukur menerima anugerah itu dan mendedikasikannya kepada kakitangan, guru serta pengetua sekolahnya.

"Saya harap anugerah ini boleh memberi inspirasi kepada semua guru-guru di Singapura untuk membawa kepakaran dan semangat mereka ke dalam bilik darjah. Sangat penting untuk kita mengingati mengapa kita mahu mengajar subjek-subjek kita supaya pelajar-pelajar kita boleh melihat alam dunia dari perspektif kita," ujarnya.

KAITKAN SUBJEK SENI DENGAN SUBJEK LAIN SEPERTI MATEMATIK DAN SAINS

Beliau juga mahu terus menggunakan kaedah kreatif untuk memperkaya pembelajaran pelajarnya.

"Saya sentiasa mencari cara antara disiplin bagaimana kita boleh mengaitkan subjek seni dengan subjek yang lain seperti matematik dan sains. Jadi, murid-murid boleh melihat seni sebagai wadah untuk berkomunikasi untuk membayangkan masa hadapan yang baharu," ujarnya.

Ini termasuk bekerjasama dengan kumpulan masyarakat seperti Orang Laut SG untuk mendedahkan para pelajar kepada sejarah dan asal usul orang laut.

"Para pelajar mempelajari lebih lanjut tentang masyarakat dan asal orang laut kita dan menghasilkan karya seni berdasarkan sejarah lisan mereka. Kami juga bekerjasama dengan guru sejarah dan geografi untuk membimbing pelajar meneroka sejarah serta geografi kawasan kejiranan mereka pada masa lalu, masa kini dan masa hadapan," dedah Encik Hadi.

"Kami berhasrat untuk terus mencari lebih banyak kaitan antara seni dan sains serta membawa konteks dunia sebenar ke dalam bilik darjah seni, agar pelajar dapat melihat cara baharu yang bermakna, sekaligus merintis masa depan yang cerah untuk diri mereka dan juga untuk Singapura melalui seni," tambahnya.

Dengan anugerah itu juga, Encik Hadi dan para penerima lain akan mempunyai peluang untuk menyertai dalam program pembelajaran di luar negara.

NURUL HUDA JUMA'AT BIMBING PELAJAR BINA HUBUNGAN KUKUH DENGAN MASYARAKAT DI KAWASAN YUHUA

Related article image
Penerima anugerah, Nurul Huda Juma’at. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Seorang lagi pendidik yang diiktiraf ialah Ketua Jabatan, Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan dari Sekolah Rendah Fuhua, Nurul Huda Juma’at.

"Saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima anugerah ini. Bagi saya, ini bukan sekadar pengiktirafan kepada diri saya tetapi juga kepada rakan guru, murid, ibu bapa dan seluruh komuniti yang telah bersama-sama dalam perjalanan ini. Anugerah ini mengingatkan saya bahawa setiap usaha kecil boleh membawa perubahan yang besar dalam kehidupan murid," menurutnya dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp.

Guru Matematik dan Sains itu juga memperjuangkan pendekatan menyeluruh dalam mengajar para pelajarnya.

Beliau yang memperkenalkan program GEM+, satu inisiatif yang menggabungkan teknologi, pendidikan alam sekitar dan program Nilai Dalam Tindakan (VIA), sekaligus memberi peluang kepada pelajar meneroka isu-isu genting di dunia seperti keselamatan makanan dan bantuan bencana.

Ini selain memupuk hubungan bermakna menerusi kerjasama dengan masyarakat di Yuhua terutama membimbing murid-muridnya untuk mendekati warga emas di Yuhua dan membincangkan cara-cara untuk memperbaiki kehidupan bermasyarakat.

"Pendekatan ini penting kerana para pelajar dapat belajar bukan sahaja dalam bilik darjah tetapi melalui pengalaman sebenar yang mampu memupuk nilai-nilai murni, ciri-ciri kepimpinan dan tanggungjawab sosial," menurut Cik Huda.

"Melalui GEM+ dan sumbangan kepada para penduduk Yuhua, mereka dapat melihat bagaimana sebuah sumbangan kecil juga mampu membawa kesan yang besar kepada masyarakat," tambah beliau, yang sudah mengajar sejak 2001.

INGIN SEDIA WADAH UNTUK MURID-MURID BERSUARA

Melangkah ke hadapan, Cik Huda berharap dapat terus menyediakan wadah untuk murid-muridnya bersuara serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

"Anugerah ini memberi saya semangat untuk terus memberi yang terbaik untuk murid. Saya mahu memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman supaya murid dapat mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan dunia sebenar," ujar Cik Huda, 44 tahun.

"Saya juga ingin terus mewujudkan peluang agar setiap suara murid didengari kerana saya percaya mereka berupaya memimpin dan memberi inspirasi kepada orang lain," tambah beliau.

Senarai penuh pemenang Anugerah Presiden bagi Guru 2025:

  1. Abdul Hadi Abdul Wahab, Sekolah Tinggi Holy Innocents’
  2. Kang Yin Ga, Germain, Sekolah Menengah Fuhua
  3. Lina Tan Lay Nah, Politeknik Nanyang
  4. Max Chua Kang Loong, Institut Pendidikan Teknikal Kolej Barat
  5. Nurul Huda Juma’at, Sekolah Rendah Fuhua
  6. Sng Kuo Wai Simon, Sekolah Menengah Bedok South
  7. Usha Krishnasamy, Sekolah Rendah North View
  8. Wong Mei Ying, Debbie, Sekolah Menengah North Vista
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita