Abdul Fattah antara kohort rintis yang akan lalui praktikum MUIS di luar sektor agama
Sejak menamatkan pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Fikh September lalu, Abdul Fattah Abdul Rahman menanamkan niat untuk menjadi seorang pendakwah bebas di sini.
SINGAPURA: Sejak menamatkan pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Fikh September lalu, Abdul Fattah Abdul Rahman menanamkan niat untuk menjadi seorang pendakwah bebas di sini.
Namun Fattah akur latar belakang pendidikannya dalam bidang keagamaan sahaja tidak mencukupi bagi menyampaikan dakwah secara berkesan.
Apa yang diperlukan ialah pengetahuan yang mendalam terhadap cabaran semasa yang kompleks dan rumit serta kemahiran-kemahiran relevan untuk menyampaikan dakwah.
Lantaran itulah Fattah menyambut baik pengumuman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Jumaat lalu (6 Mac) bagi memberi peluang praktikum untuk graduan lulusan universiti luar negeri di bawah Sijil Pos Siswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).
PCICS merupakan sebahagian daripada kriteria pendaftaran bagi lulusan universiti luar negara yang bercita-cita menjadi asatizah.
(Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)
"Saya rasa PCICS ini lebih macam siap sediakan kita lebih untuk masyarakat di luar sana, macam siap sediakan kita dari aspek teori, cara kita bercakap, bagaimana kita akan lalui proses ini, pengalaman sekurang-kurangnya kita sudah mempunyai pembelajaran atau perbincangan dalam bilik darjah tentang bagaimana untuk melalui ini secara bersama," kongsinya.
AKAN LALUI PRAKTIKUM
Menerusi program praktikum, peserta PCICS diberi pilihan menjalani Program Berdasarkan Kerja (WEP) selama 10-12 bulan, atau Latihan Amali selama dua bulan, atau Projek Berdasarkan Kerjaya.
Mereka yang menjalani WEP dan Latihan Amali akan diberikan gaji serta elaun.
Bagi Fattah sendiri, beliau memilih WEP dan sudahpun diterima masuk ke SSA Academy Pte Ltd di bawah Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan.
"Konteks sekarang yang mencabar, masyarakat yang mengharapkan lebih daripada kita itu sangat penting... masyarakat bukan hanya mengharapkan kita membaca kitab, atau menberitahu mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam Islam, tapi masyarakat mengharapkan kita untuk mendampingi mereka untuk memahami perasaan mereka untuk memahami emosi mereka, melakukan sesuatu yang dapat menyentuh hati mereka," tambah beliau.
SAMA SEPERTI GRADUAN SETEMPAT
Selain program praktikum para graduan ini juga akan mengambil beberapa modul di bawah PCICS.
Menariknya ialah modul yang diambil bukan sahaja ditawarkan oleh MUIS, malah turut dilengkapkan dengan modul-modul dari universiti tempatan seperti NUS dan SUSS, seperti modul tentang memahami dunia sosial yang ditawarkan oleh NUS atau modul tentang khidmat sosial di bawah SUSS.
Pihak PCICS memberitahu BERITAmediacorp bahawa para graduan lulusan universiti Islam ini juga akan menjalani proses pembelajaran yang sama dengan siswa tempatan.
Ini bermakna mereka juga dapat mengikut serta dalam ceramah, sesi perbincangan dan pembentangan yang dikendalikan kedua-dua universiti tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) Dr Mohamad Maliki Osman berkata langkah ini diambil selepas mendengar maklum balas daripada graduan universiti Islam luar negara.
Mereka juga menurut Dr Maliki ingin pendedahan yang sama seperti para siswa tempatan agar mereka dapat memahami masyarakat dari lensa berbeza.
"Apabila saya berbual bersama mereka, mereka berasa amat ghairah sekali ada ruang baru yang dibuka untuk mereka, mereka melihat ini adalah satu langkah yang baik untuk mereka kerana mereka melihat rakan-rakan mereka yang menuntut di universiti sekular, ruang atau laluan kerjaya agak terperinci dan luas," kongsi Dr Maliki.
Dengan peluang ini asatizah menurutnya dijangka dapat menyalurkan kepakaran mereka ke sektor nasional seperti perkhidmatan sosial, perbankan serta guaman.
GENERASI PEMIMPIN ASATIZAH
Dr Maliki akur terdapat banyak sekali sumber dan tenaga kerja yang akan diperuntukkan bagi golongan tersebut.
Ditanya mengapa langkah besar itu diambil beliau dan pasukannya, Dr Maliki menjawab: "Asatizah ada tanggungjawab dalam menggerakkan masyarakat."
Memahami potensi golongan asatizah, Dr Maliki berkata sudah tiba masanya bagi asatizah tempatan bukan sahaja menjadi "sekadar pembimbing agama" namun mereka juga perlu mempunyai aspirasi untuk menjadi golongan profesional yang berkemahiran tinggi.
Ini lebih-lebih lagi dengan konteks hari ini di mana cabaran-cabaran sosial terkait juga dengan isu agama seperti hak wanita dan LGBT, jelas Dr Maliki.
"Apa yang kita harapkan ialah setiap peringkat yang diperlukan masyarakat dilengkapi dengan asatizah yang mempunyai kecekapan untuk membantu masyarakat tersebut, bermakna lapisan masyarakat yang ada anak kecil, remaja, dan warga dewasa, warga tua yang memerlukan, ada segolongan lapisan golongan asatizah yang berupaya untuk memberi kepimpinan dan bimbingan," tekan Dr Maliki.
Kohort perintis PCICS seramai 50 orang akan bermula pada April, dengan kumpulan kedua pula bermula pada Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.