Skip to main content

Singapura

Abang-abang van ini jadi hero kepada 50 keluarga fakir miskin semasa Ramadan...

BERITAmediacorp: Semestinya ini salah satu kisah penuh inspirasi pada Ramadan ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Semestinya ini salah satu kisah penuh inspirasi pada Ramadan ini.

Mereka ini sekumpulan abang-abang pemandu van. Ada di antara mereka hidup susah. Namun mereka membuktikan bahawa walaupun kehidupan mereka penuh cabaran, ia bukan suatu alasan untuk tidak membantu orang lain yang memerlukan.

Pendek kata, mereka contoh nyata bahawa orang-orang susah masih boleh beramal jariah. Ini kisah mereka...

'ABANG-ABANG VAN' BANTU 50 KELUARGA FAKIR MISKIN

Hujung minggu sudah tiba. Semasa wartawan BERITAmediacorp bertemu dengan mereka pada Ahad (25 Apr), 40 individu yang bekerja sebagai pemandu sedang sibuk membungkus makanan berbuka tajaan Restoran Pu3.

Related article image

Mereka juga sibuk menyiapkan barang-barang dapur yang termasuk biskut dan mi segera.

Semua itu mahu diagihkan kepada 50 keluarga fakir miskin atau memerlukan di seluruh Singapura sepanjang bulan Ramadan.

Related article image

Para pemandu itu sebenarnya anggota dari enam buah kelab pemandu van dan kereta meliputi kumpulan F10 Singapura, Naked Crew, Kazoku Crew, Vanning Trooperz dan ADTC. Usaha amal mereka itu diterajui kelab Abam-Abam Van Singapura (AAVS).

Setiap hujung minggu Ramadan, para anggota kelab-kelab itu rancak menderu ke Yishun, MacPherson, dan sejauh Jurong, demi mengagihkan habuan-habuan Ramadan itu.

Malah 13 daripada keluarga yang mereka bantu bukan keluarga Islam. Jelas, usaha mereka tidak mengenal bangsa mahupun agama.

Related article image

FREDDIE ZAINAL: NABI AJAR KITA MEMBERI - BUKAN MENERIMA

Kos S$3,000 bagi membeli barangan runcit, didermakan dari duit kocek mereka sendiri, selain sedikit sumbangan dari luar.

Related article image

Namun, tahukah anda, hakikatnya ada di antara para pemandu ini sendiri tercabar dari segi kewangan. Misalnya Muhammed Freddie Zainal, 35 tahun, yang juga merupakan Pengerusi kelab Abam-Abam Singapura.

Ayah lima orang anak berusia antara 3 hingga 12 tahun itu kadangkala perlu melakukan dua atau tiga pekerjaan demi menyara keluarganya. Susu dan pampers anak bongsunya sahaja memerlukan sekitar S$300 sebulan. Tuisyen untuk anak-anaknya yang masih bersekolah menjangkau S$600 sebulan.

Related article image

Encik Freddie jujur berkongsi bahawa setiap bulan dia hanya mampu menabung antara S$50 hingga S$100 sahaja. Jika perlu dia akan memandu Grab untuk mendapat wang tambahan.

Namun, semua itu bukan alasan bagi Encik Freddie untuk tidak beramal bakti kepada masyarakat. Sebenarnya sudah lima tahun dia dan kumpulannya itu berbuat kerja amal "menggunakan duit sendiri".

"Kita ingat diri kita ini susah tetapi sebenarnya ada lagi keluarga yang lebih susah daripada kita," kata Encik Freddie kepada BERITAmediacorp.

Menurutnya lagi motivasi untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang lebih memerlukan, berbanding dirinya sendiri, semakin berkobar-kobar selepas dia melihat sendiri keadaan kehidupan mereka.

"Sedangkan Nabi mengajar kita untuk memberi - bukan menerima. d
Dengan memberi itu rezeki kita akan bertambah. Alhamdulillah kerana kita selalu memberi, rezeki kita tidak pernah terputus, ada sahaja yang datang untuk sokong," ujar Encik Freddie penuh falsafah.

SEORANG LAGI 'HERO' BERNAMA KHALID ROSLAN

Bagi Abdul Khalid Roslan pula, isterinya menghidap barah sejak dua tahun lalu.

Tinggal di rumah sewa satu bilik bersama lima orang anak berusia antara 2 hingga 15 tahun, Encik Khalid memang sentiasa tercabar dengan kos kehidupan serta kos rawatan isterinya. Semestinya anaknya yang masih kecil dan isterinya perlukan banyak perhatian.

Related article image

Sungguhpun demikian, jiwa Encik Khalid masih cukup besar untuk mengendalikan semua itu, dan pada masa yang sama giat menyumbang tulang empat keratnya untuk golongan memerlukan di negara ini.

Semestinya semangat waja, pandangan hidup yang positif dan jiwa yang mahu memberi balik kepada masyarakat oleh Encik Freddie dan Encik Khalid itu boleh membuatkan golongan yang lebih mampu atau golongan karyawan menjadi tersipu malu.

Semasa kami wawancara, Encik Khalid turut meluahkan kata-kata hikmah serupa dengan Encik Freddie.

"Mungkin dalam hidup saya ini, saya susah. Tetapi mungkin ada lagi yang lebih susah. Jadi kita pun tidak tahu.

"Untuk saya, saya puas untuk menolong. Memang niat saya di situ untuk membantu orang yang berkeperluan. Saya tidak berfikir orang ini ada kerja, masih ada kaki dan tangan untuk berjalan. Saya tidak berfikir begitu," kata Encik Khalid kepada BERITAmediacorp.

Ayah berusia 34 tahun itu mengaku, kadangkala susah untuknya memberi dan mengongsi duit dalam kelab Abam-Abam Van Singapura itu.

"Tetapi saya tak terfikir yang saya tidak boleh buat. Tidak. Saya akan terus bekerja untuk mencari duit untuk menabung bersama-sama. Kita kongsi duit untuk menjalankan amal ini," ujar Encik Khalid dengan cukup positif.

Pendeknya duit boleh dicari. Kerja kebajikan harus diteruskan. Kedua-duanya boleh seiring dilakukan. Itulah pengajaran dari abang van itu yang sudah bergiat dalam kegiatan kelab itu sejak 2017.

AMRIN AMIN TURUT JADI SUKARELAWAN ABANG VAN

Antara mereka yang menyokong kerja amal kumpulan abang-abang van itu termasuklah mantan Anggota Parlimen Amrin Amin.

Related article image

Encik Amrin sendiri, yang kagum dengan abang-abang van itu, masuk sekaki dan menjadi sukarelawan kumpulan itu. Beliau malah turut sama menghantar makanan berbuka puasa dan barangan dapur kepada keluarga-keluarga memerlukan di kawasan Yishun.

Menariknya, beliau terang-terangan mengaku bahawa beliau sendiri banyak belajar daripada mereka.

Encik Amrin berkata: "Pertama walaupun dalam kesempitan, mereka tetap bersemangat dan bersungguh-sungguh. Semangat berjuang itu kuat.

"Dan mereka tidak putus asa dan tidak mementingkan diri sendiri. Ini menunjukkan meskipun serba kekurangan, kita masih boleh menyumbang kepada masyarakat jika kita mahu dan kita bersama-sama. Bayangkan, anak-anak mereka, keluarga mereka juga turut serta."

Related article image
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita