Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aaron Aziz nasihatkan remaja: Salah guna dadah tidak "cool" & tidak "macho"

Penyalahgunaan dadah adalah tidak "cool" dan tidak "macho".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penyalahgunaan dadah adalah tidak "cool" dan tidak "macho".

Demikian mesej antidadah daripada pelakon terkenal Aaron Aziz kepada para remaja, semasa membuat kemunculan istimewa di Fiesta Kebajikan 2018 anjuran Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Selaku salah seorang 'influencer' dan Duta bagi kempen Dadah Itu Haram, pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz, tampil mengagihkan pelekat dan risalah antidadah kepada pengunjung.

Aaron menyatakan beliau 'mengharap sangat' jumlah pesalah dadah di negara ini akan terus berkurangan.

(Gambar-gambar: Dadah Itu Haram/Instagram)

Ini antara kebimbangan yang beliau suarakan.

"Kita anak Melayu Singapura bukannya ramai. Jadi kalau kita, 50 peratus daripada mereka hendak ke jalan kiri itu, bagaimana dengan masyarakat kita di masa hadapan," kata beliau.

GUNA MEDIA SOSIAL DENGAN BIJAK

Lantaran itu, peluang untuk berkongsi pengalaman dan mesej antidadah dengan para penghuni RKM semasa Karnival Keluarga dan Amal pada Sabtu lalu (10 Nov), tidak dilepaskan.

(Gambar-gambar: Dadah Itu Haram/Instagram)

Bagi Aaron, yang kini boleh dianggap antara pelakon Singapura yang paling berjaya di Malaysia, memandangkan anak-anak muda amat terdedah kepada media sosial, platform itu harus digunakan dengan bijak.

"Kadang-kadang media sosial ini membuatkan benda yang negatif menjadi suatu kegiatan yang orang kata 'wah cool', 'wah macho'. Tapi sebenarnya tidak. Jadi harapan sayalah kalau makin kurang, makin kurang anak-anak Melayu kita menggunakan dadah bagi saya itu adalah satu kejayaan buat masyarakat Melayu di Singapura," ujar Aaron, yang kini mahu menyumbang kembali kepada masyarakat, dalam usaha memerangi gejala dadah.

PERLU SENTIASA GABUNG TENAGA, KERJASAMA DEMI KEBAIKAN MASYARAKAT

Karnival tahunan kali kesembilan itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Masyarakat dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Selain beramah mesra dengan anak-anak RKM, beliau sempat menyertai guntingan rambut amal, yang mana setiap pelanggan menderma $20 kepada RKM.

Dr Faishal memuji inisiatif RKM yang sentiasa mengambil langkah untuk menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang demi membantu mempertingkat kehidupan orang-orang yang memerlukan bantuan.

"Sebagai sebuah masyarakat kita harus melihat bagaimana kita boleh memperkukuhkan lagi usaha-usaha untuk menggembleng tenaga, bergabung dan juga bekerjasama untuk kebaikan masyarakat. Lebih-lebih lagi golongan-golongan yang tertentu, yang memerlukan," kata beliau.

Dr Faishal turut menyampaikan cenderamata kepada para penyokong dan penaja karnival itu, termasuk SATA dan Sekretariat Dadah Itu Haram.

(Gambar-gambar: Dadah Itu Haram/Instagram)

Menurut Superintenden RKM, Cik Rahmatunnisa A Majeed, karnival tersebut juga memberi peluang kepada para penghuni RKM untuk berinteraksi masyarakat.

"Dengan karnival ini, kami harap dapat memberi peluang kepada anak-anak RKM untuk berinteraksi dengan masyarakat. Kami ajarkan mereka untuk memperbaiki diri dan insya Allah dengan cara seperti ini mereka dapat berinteraksi dan membina keyakinan diri," kata Cik Rahmatunnisa.

Karnival Bertemakan 'Keluarga Penyayang, Masyarakat Penyayang' itu menawarkan hampir 40 gerai makanan dan pameran dan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan