Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aaliyah's Pte Ltd terima kelulusan SFA jalankan khidmat korban untuk tahun kedua

Syarikat dagang haiwan ternakan, Aaliyah's Pte Ltd menerima kelulusan daripada pihak Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Selasa (4 Jul) untuk menjalankan khidmat korban kambing sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat dagang haiwan ternakan, Aaliyah's Pte Ltd menerima kelulusan daripada pihak Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Isnin (4 Jul) untuk menjalankan khidmat korban kambing sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini. 

Menurut Ketua Pegawai Operasi Aaliyah's, Rafee Eunos, kelulusan yang diberikan pihak SFA itu merupakan permit untuk menyembelih haiwan, selain daripada di rumah penyembelihan yang berlesen. 

Tahun ini, syarikat Aaliyah's akan menjalankan khidmat korban kambingnya di Persatuan Arab, Al Wehdah yang terletak di Lor 37 Geylang. 

KEBAJIKAN HAIWAN DAN KEBERSIHAN TEMPAT PERLU DIJAGA

Kelulusan pihak SFA membenarkan syarikat Aaliyah's menjalankan khidmat korban kambing itu juga diberikan kurang seminggu daripada tarikh ibadah korban sekaligus Hari Raya Aidiladha, iaitu pada Ahad (10 Jul).

Encik Rafee berkata bahawa syarikatnya perlu menunggu beberapa minggu untuk menerima kelulusan tersebut daripada SFA. 

Apabila ditanya apakah antara aspek yang dinilai sebelum dibenarkan menerima kelulusan, Encik Rafee berkata: "Pihak SFA, NEA dan NParks, ingin melihat segala prosesnya. Mereka inginkan kebajikan haiwan terjaga sepanjang ibadah korban." 

Menurut Encik Rafee, antara keperluan yang harus dipenuhi syarikatnya adalah melantik pegawai kebajikan haiwan. Dalam aspek ini, syarikat Aaliyah's bekerjasama dengan Dr Michael Patching, seorang pengurus Pembangunan Pasaran (Selatan, Timur, Asia) di Jabatan Daging dan Ternakan Australia. 

Encik Rafee juga berkata bahawa Dr Michael akan hadir di upacara ibadah korban di Al-Wehdah bagi memantau segala operasi yang dijalankan pada hari itu. 

Selain itu, Encik Rafee juga memastikan bahawa segala proses penghantaran kambing-kambing daripada ladang ternakan kambing tempatan, Hay Dairies, adalah selamat. 

Encik Rafee berkata: "Pihak NParks juga menilai bagaimana kambing-kambing dibawa masuk ke dalam lori, bagaimana mereka akan dihantarkan ke tempat penyembelihan. Mereka menilai cara dan kesesuaian meletakkan tanjakan daripada lori, kerana kalau tidak dilakukan dengan betul, kambing-kambing akan terjatuh dan mungkin akan cedera." 

Antara aspek lain yang dipertimbangkan sebelum syarikat Aaliyah's menerima kelulusan adalah kesesuaian tempat menyimpan kambing-kambing di Al-Wehdah. 

"Al-Wehdah perlu memastikan bahawa kawasan menyimpan kambing akan ada cahaya yang mencukupi, sistem pengudaraan yang baik serta air yang mencukupi untuk kambing-kambing. Kita juga perlu memastikan bahawa kambing-kambing tidak akan berasa sesak di dalam khemah," jelas Encik Rafee. 

Menurut Ketua Pegawai Kewangan syarikat Aaliyah's, pihak SFA akan menjalankan pemeriksaan tapak pada Rabu (6 Julai) untuk mengesahkan segala proses dan logistik khidmat korban. 

Tahun ini, pihak Aaliyah's memutuskan untuk menawarkan 85 ekor kambing bagi ibadah korban dan kesemua kambing sudah ditempah sepenuhnya. 

Menurut pihaknya, sekitar 60 peratus daripada jumlah tempahan dibuat daripada golongan sohibul korban yang juga menjalankan ibadah korban bersama syarikat Aaliyah's tahun lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan