Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aaliyah's Pte Ltd tawar lagi khidmat korban kambing; nantikan kelulusan SFA

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat dagang haiwan ternakan, Aaliyah's Pte menjadi satu-satunya ladang ternakan kambing tempatan yang menawarkan khidmat korban kambing sempena Hari Raya Aidiladha tahun lalu dengan kerjasama Hay Dairies. 

Setakat Khamis (9 Jun) pihak Aaliyah's memberitahu BERITAmediacorp bahawa khidmat korban kambing sekali lagi akan disediakan tahun ini, namun, ia masih dalam peringkat menantikan kelulusan terakhir daripada Agensi Makanan Singapura (SFA).

OPERASI MASIH TUNGGU KEBENARAN SFA

"Kami akan buat korban sekali lagi sebab ada permintaan dan kepuasannya pun ada apabila kita membuat korban sendiri," kata Ketua pegawai operasi Aaliyah's, Encik Rafee Eunos. 

Tambah beliau: "Pada masa ini, kelulusan masih di peringkat akhir. Kami sudah menyerahkan susun atur rancangan di tempat yang diadakan. Insya-Allah minggu depan, kami akan memasang 'set-up' sepenuhnya. Pihak SFA akan adakan pemeriksaan penuh."

Menurut Encik Rafee, syarikat Aaliyah's  berhubung rapat dengan SFA sejak lebih sebulan lalu mengenai pelaksanaan ibadah korban tahun ini.

Sekiranya mendapat  kelulusan SFA,  upacara ibadah korban kendalian Aaliyah's tahun ini dijangka lebih besar  berbanding tahun lalu.

LEBIH BANYAK KAMBING, TEMPAT PENYEMBELIHAN BERLAINAN

Antara perubahan tahun ini,  penyembelihan tidak akan dijalankan di ladang Hay Dairies tetapi di Al Wehdah yang terletak di Lor 37 Geylang. 

"Kami akan menjalankan ibadah korban di Persatuan Arab, Al Wehdah. Sebabnya adalah kemudahan akses. Ramai yang berkata ladang Hay Dairies terlalu jauh," jelas Encik Rafee. 

"Alhamdulillah Aaliyah's dan pihak Al Wehdah sudah sepakat untuk adakan acara korban ini bersama kerana mereka pun sudah lama tidak terlibat dalam acara korban. Jadi ia adalah satu peluang yang baik untuk kami semua," tambahnya lagi. 

Jumlah kambing yang ditawarkan juga ditambah sebanyak 35 peratus.  

"Tahun lalu kami hanya sembelih 100 ekor sahaja. Tetapi tahun ini, insya-Allah, kami akan menyembelih paling banyak 135 ekor. Kami lihat ramai yang ingin membuat korban pada saat-saat terakhir pada tahun lalu, apabila sudah tidak ada stok kambing. Jadi kami ingin cuba memenuhi permintaan sebegini," jelas Encik Rafee. 

Tambah beliau, dengan pelonggaran sekatan COVID-19, upacara  korban tahun ini juga boleh dilakukan pada skala lebih besar.

HARGA KAMBING SEKURANG-KURANGNYA S$1,600, 50% TEMPAHAN SUDAH DIBUAT

Harga kambing korban yang ditawarkan tahun ini bermula dari S$1,600 hingga S$2,000 berbanding sekurang-kurangnya S$1,400 tahun lalu.

Harga kambing korban yang ditawarkan di bawah SalamSG Korban MUIS, pula adalah antara S$350 hingga S$370 seekor. 

Pemilik Hay Dairies, Encik Leon Hay berkata kambing yang ditawarkan tahun ini, sama seperti tahun lalu iaitu  dari jenis American Nubian yang boleh mencecah ribuan dolar. 

"Bau daging kambing itu tidak seperti bau daging kambing biri-biri. Berat daging pula, sekitar 30 hingga 40 kilogram.  Selalunya kalau kambing biri-biri, selepas disembelih, beratnya dalam lingkungan 15 hingga 20 kilogram," jelas Encik Hay. 

Sehubungan itu,  Encik Rafee berkata: "Perbezaannya adalah sohibul korban dapat memilih kambing mereka sendiri. Mereka datang ke ladang, pilih kambing mereka dan kami akan tandakan kambing itu untuk sohibul itu sendiri. Ia satu khidmat lebih peribadi."  

Setakat ini, hampir 50 peratus kambing korban - atau sekitar 60 ekor kambing yang ditawarkan sudah ditempah.

UPACARA KORBAN SATU USAHA JANGKA PANJANG

Pemilik Hay Dairies, Encik Leon Hay berkata khidmat korban yang diadakan bersama syarikat Aaliyah's tahun lepas mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan. 

Beliau cukup berbesar hati berpeluang untuk membekalkan lagi kambing korban tahun ini sebagai sumbangannya kepada masyarakat Muslim di sini sekali gus memberi mereka  pengalaman yang tidak dirasakan disebabkan pandemik COVID-19. 

"Menerusi usaha sebegini, kami bukan sahaja dapat menyediakan makanan untuk masyarakat setempat, malah menyediakan khidmat bagi masyarakat agama itu sendiri," kata beliau, yang merancang menyediakan bekalan ibadah korban sebagai satu usaha kerjasama jangka panjang.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan