Aaliyah's dapat kelulusan SFA import 1,200 kambing biri-biri Australia untuk khidmat korban; upacara korban diadakan di 2 masjid
Syarikat dagang haiwan ternakan, Aaliyah's Pte Ltd sudah mendapat kelulusan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mengimport kambing biri-biri untuk ibadah korban tahun ini.
BERITAmediacorp: Syarikat dagang haiwan ternakan, Aaliyah's Pte Ltd sudah mendapat kelulusan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mengimport kambing biri-biri untuk ibadah korban tahun ini.
Ia akan menerbangkan 1,200 ekor kambing biri-biri dari Australia buat pertama kali dalam masa hampir empat tahun.
"Kambing biri-biri ini akan sampai di Singapura selewat-lewatnya dalam tiga atau empat hari sebelum Aidiladha. Dan ini sudah kami pastikan kerana pesawat khas sudah ditempah dari pihak kami. Dan haiwan ini sudah pasti sihat dan mendapat kelulusan daripada Agensi Pemakanan Singapura (SFA) dan agensi-agensi yang lain, InsyaAllah," kata pengasas syarikat Aaliyah's Pte Ltd, Encik Rafee Eunos.
Pakej kambing biri-biri dari Australia itu berharga S$780 seekor, dan beratnya di antara 40 hingga 42 kilogram.
Selepas disembelih, sekitar 18 hingga 20 kilogram daging boleh diperolehi.
Upacara korban bagi kambing biri-biri itu akan dijalankan di Masjid Petempatan Melayu Sembawang selama tiga hari, pada hari-hari Tasyrik.
Menurut syarikat itu, hampir 10 peratus daripada bekalan kambing biri-biri yang ditawarkan sudah ditempah.
KAMBING-KAMBING TEMPATAN DITAWARKAN
Di samping itu,180 ekor kambing dari ladang ternakan kambing tempatan Hay Dairies juga ditawarkan, 30 peratus lebih banyak berbanding tahun lalu.
Kambing yang ditawarkan tahun ini, sama seperti tahun lalu iaitu daripada jenis American Nubian.
Harganya pula antara S$1,200 hingga S$2,000 seekor, bergantung pada saiz kambing yang dipilih.
Upacara penyembelihan kambing-kambing tersebut akan dijalankan di Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang.
"Kami berbesar hati kerana kita mendapat lokasi baik untuk melaksanakan ibadah ini. Ini memang menyenangkan tugas-tugas kita kerana kawasan masjid itu besar dan luas," tambah Encik Rafee.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KEBAJIKAN HAIWAN DAN KEBERSIHAN TEMPAT PERLU DIJAGA
Kelulusan pihak SFA membenarkan syarikat Aaliyah's menjalankan khidmat korban kambing di Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus akan diberikan kurang seminggu daripada tarikh ibadah korban .
Seperti tahun lalu, Aaliyah's Pte Ltd harus memastikan kebajikan kambing-kambing korban itu terpelihara.
Ia sekall lagi mendapatkan khidmat Dr Michael Patching, seorang pengurus Pembangunan Pasaran (Selatan, Timur, Asia) di Jabatan Daging dan Ternakan Australia.
"Mereka kelihatan sangat baik. Daripada pengalaman saya di Asia Tenggara, kambing-kambing ini adalah mungkin yang paling baik dalam Asia Tenggara yang saya pernah lihat," kata Pegawai Kebajikan Haiwan dari Alta Food and Agriculture Pte Ltd, Dr Michael Patching.
Beliau turut berkongsi tentang pemilihan kambing yang sesuai untuk ibadah korban.
"Saya akan mencari seekor kambing dengan bulu yang bersih dan licin supaya mereka nampak cantik dan bersih di luar. Badan yang bulat dan juga jinak. Jika mereka jinak, ia bermakna mereka gembira dan sihat. Anda juga boleh melihat kaki mereka dan bagaimana mereka jalan untuk pastikan mereka tidak tempang atau mempunyai kecederaan lain dan tentunya lihat pada badan mereka untuk memastikan tiada luka, lebam atau nanah," nasihatnya.
Setakat ini, hampir 50 ekor kambing dari ladang ternakan Hay Dairies sudah ditempah.
Antara sudah berbuat demikian ialah Cik Misliana Roslinor yang membuat ibadah korban buat kali pertama.
Beliau memilih untuk menempah kambing dari ladang Hay Dairies meskipun ia hampir lima kali ganda lebih mahal berbanding dengan harga yang ditawarkan SalamSG Korban
Harga bagi seekor kambing korban yang ditawarkan SalamSG Korban pada tahun ini adalah antara S$360 hingga S$380,
"Bila difikirkan, peluang ini tidak selalu kita dapat terutama sekali di Singapura, apatah lagi selepas COVID-19, bagi saya harga itu bukan satu hambatan," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Turut berkongsi pendapat serupa ialah Cik Rusnah Abu Bakar Abdullah.
Beliau yang sebelum ini pernah melakukan korban di luar negara seperti Malaysia dan Indonesia teruja dapat melakukan korban di Singapura.
"Buat dekat sini itu kita dapat tengok sendiri, pilih sendiri kambing yang kita nak. Di luar negeri kita tidak dapat memilih kan. Kita cuma hanya harapkan minta orang yang buat pilihkan untuk kita," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.