99.7% pelajar madrasah lulus PSLE: bahasa Tamil ditawarkan sebagai pilihan Bahasa Ibunda di Madrasah Irsyad
SINGAPURA: Sebanyak 99.7 peratus murid madrasah yang menduduki PSLE tahun ini berjaya ke sekolah menengah.
Daripada 334 pelajar, 333 lulus, melebihi kadar kelulusan aliran utama sebanyak 98.5 peratus
Empat madrasah yang menawarkan pendidikan peringkat sekolah rendah, iaitu Madrasah Irsyad, Alsagoff, Al-Maarif, dan Wak Tanjong akan mengekalkan status "sekolah yang ditetapkan" di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) pada 2024 dan boleh menerima kemasukan kanak-kanak yang dikecualikan daripada CE di Darjah 1.
Dalam tempoh lima tahun lalu, purata peratusan murid Darjah 6 madrasah yang lulus PSLE adalah sekitar 99.1 peratus.
Kesemua empat madrasah berjaya melepasi penanda aras PSLE sepanjang sedekad yang lalu.
Demikian diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan media pada Rabu (20 Nov)
BAHASA TAMIL DIPERKENAL SEBAGAI SUBJEK PILIHAN BAHASA IBUNDA DI MADRASAH IRSYAD
MUIS turut mengumumkan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah (MIZA) akan menawarkan bahasa Tamil sebagai pilihan Bahasa Ibunda (MTL) kepada murid Darjah 1 bermula 2026.
Ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan madrasah.
Mulai tahun depan, Ujian Kemasukan Madrasah di MIZA akan merangkumi penilaian bahasa Tamil bagi pemohon semasa Latihan Kemasukan Bersama Madrasah untuk Darjah 1.
Inisiatif itu bertujuan melahirkan generasi baru asatizah berbahasa Tamil yang dapat memenuhi keperluan agama dan budaya masyarakat Islam berbahasa Tamil di Singapura.
Sejak bertahun-tahun, MUIS sudah melancarkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh madrasah, dengan penekanan terhadap perkembangan pelajar dan pembangunan guru.
Inisiatif-inisiatif itu meningkatkan kecemerlangan akademik, memupuk kepakaran pendidik dan suasana pembelajaran yang memberi inspirasi.
Pendekatan menyeluruh itu memperkukuh pendidikan Islam, melengkapkan pelajar dengan kemahiran global untuk melahirkan pemimpin agama masa depan yang mampu menangani isu-isu kompleks dan semasa.
KUNCI KEJAYAAN AKADEMIK BAGI ASATIZAH MASA DEPAN
Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, memuji pelajar madrasah atas kecemerlangan PSLE tahun ini, yang menunjukkan keupayaan mereka mengimbangi pendidikan agama dan sekular dengan baik.
"Saya berbangga bahawa pelajar madrasah kita terus menunjukkan prestasi yang baik. Keputusan PSLE yang cemerlang tahun ini membuktikan bahawa madrasah kita semakin maju, mengimbangi pendidikan agama dan sekular dengan jayanya. Lebih daripada sekadar keputusan baik, madrasah kita melahirkan pelajar holistik yang cemerlang dalam kedua-dua bidang. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kejayaan ini – para pelajar, guru-guru berdedikasi, dan ibu bapa yang sentiasa menyokong."
Sebagai institusi penting dalam melahirkan cendekiawan agama, madrasah kini turut berkembang menjadi lebih inklusif.
Langkah terbaru MUIS dan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah menunjukkan usaha ke arah itu.
Encik Kadir berkata inisiatif terbaharu itu akan memperluaskan kurikulum dan melahirkan asatizah berbahasa Tamil untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam berbilang kaum di Singapura.
"Pengenalan bahasa Tamil sebagai subjek pilihan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuhkan pendidikan Islam. Dengan menyesuaikan dan meningkatkan kualiti, madrasah kekal berkesan dalam membangunkan individu yang cemerlang akademik dan teguh secara rohani untuk masyarakat masa kini," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.