99 disiasat langgar pelbagai peraturan rumah urut, pusat hiburan malam
Seramai 99 individu sedang disiasat atas pelbagai kesalahan menyusuli serbuan yang dilancarkan oleh pihak polis ke atas rumah urut dan pusat hiburan awam serta cawangan hiburan malam di merata negara.
SINGAPURA: Seramai 99 individu sedang disiasat atas pelbagai kesalahan menyusuli serbuan yang dilancarkan oleh pihak polis ke atas rumah urut dan pusat hiburan awam serta cawangan hiburan malam di merata negara.
Operasi penguatkuasaaan itu dijalankan antara 19 Ogos dengan 24 September di 192 rumah urut dan 91 pusat hiburan awam serta cawangan hiburan malam, dedah Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Sabtu (2 Okt).
SERBUAN KE ATAS RUMAH URUT
Sebanyak 32 rumah urut didapati melanggar peraturan yang dikuatkuasakan ke atas rumah urut serta peraturan keselamatan COVID-19.
Dalam kalangan rumah-rumah urut itu, 25 didakwa beroperasi tanpa lesen yang sah. Selain itu, tukang urut di 12 daripada 25 rumah urut tersebut dipercayai menawarkan atau menyediakan layanan seks.
Seramai 23 wanita, berusia antara 23 dengan 47 tahun, diberkas atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing dan Piagam Wanita.
"Siasatan awal menunjukkan para wanita itu dipercayai menawarkan khidmat seks di rumah-rumah urut berkenaan," menurut SPF.
Polis juga menemui tukang urut dan pelanggan di dua premis yang didakwa tidak memakai pelitup sewaktu khidmat urut disediakan.
Rumah-rumah urut itu akan diarah tutup selama 10 hari dan didenda S$1,000 kerana gagal memastikan para kakitangan dan pelangan mereka memakai pelitup di premis masing-masing. Para pelanggan juga boleh didenda S$300 kerana tidak memakai pelitup di luar "tempat kediaman mereka," tegas SPF.
Secara keseluruhannya, 61 individu disiasat, termasuk para pengendali, tukang urut dan pelanggan.
OPERASI DI PUSAT & CAWANGAN HIBURAN AWAM
Sebanyak 10 pusat hiburan awam dan cawangan hiburan malam yang berlesen dan tidak berlesen didapati melanggar peraturan mengenai hiburan awam dan pembekalan serta peminuman arak selain peraturan keselamatan COVID-19, menurut polis.
Dalam satu kes pada 24 Sep, polis memberkas enam wanita warga Korea Selatan berusia antara 23 dengan 31 tahun atas kesalahan berkaitan pengambilan pekerja.
Wanita-wanita itu diberkas kerana bekerja tanpa permit kerja yang sah di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, tambah polis.
Empat daripada wanita-wanita itu dan lagi 10 individu lain yang ditemui di cawangan tersebut juga akan disiasat oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) atas dakwaan melanggar peraturan COVID-19 kerana melebihi had perhimpunan sosial yang dibenarkan.
Siasatan sedang dijalankan terhadap 38 individu secara keseluruhannya, termasuk para pengendali, kakitangan dan pelanggan.
"Polis akan terus menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan yang kerap ke atas rumah urut dan cawangan hiburan awam untuk membanteras kegiatan maksiat dan kegiatan haram yang lain," menurut SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.