Skip to main content

Singapura

988 anggota MINDEF/SAF diiktiraf atas prestasi cemerlang, dedikasi terhadap khidmat kepada negara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Nov 2025 07:00PM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 04:12AM
SINGAPURA: Seramai 988 anggota daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) diiktiraf tahun ini atas prestasi cemerlang serta dedikasi mereka terhadap tugas dan khidmat kepada negara.

Upacara Anugerah Hari Kebangsaan 2025 tersebut diadakan sepanjang dua hari pada Selasa (18 Nov) dan Isnin (24 Nov) di MINDEF.

Antara penerima anugerah tahun ini ialah Pakar Tentera 3 (ME3) Muhammad Khamis Samsudin yang diberikan Pingat Berkebolehan (Efficiency Medal).

Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Waran Penyenggaraan di ibu pejabat Guards.

"Alhamdulillah, anugerah ini adalah satu pencapaian yang bermakna dalam kerjaya saya.

"Ini juga menandakan saya dan rakan-rakan sekerja mendapat sokongan dan pengiktirafan dari pihak atasan," kata ME3 Khamis.

Menurut beliau, keupayaan menilai tugasan dan menetapkan keutamaan amat penting dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang jurutera tentera.

“Saya melakukan kerja dengan penuh teliti dan secara proaktif, dan juga memberi kerja yang berkualiti dengan menggunakan alat dan rangka kerja daripada SAF," kata beliau.

"Walaupun ia mencabar, kami tetap akan memberikan hasil kerja yang terbaik,” tambahnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk mengharungi cabaran di tempat kerja.

Sebaliknya ia harus dilengkapi dengan daya inovasi.
Related article image
Menurut ME3 Khamis, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk mengharungi cabaran di tempat kerja. (Gambar: Hidir Ezat)
“Sebagai seorang jurutera tentera, selain kemahiran teknikal, saya amat percaya kepada usaha inovasi kerana kami menggalak budaya inovasi di tempat kerja serta membantu mereka yang mempunyai idea untuk membangunkan dan mengembangkannya di peringkat ketenteraan dan juga di SAF,” jelas beliau.

Sebanyak 164 Pingat Kepujian (Commendation Medal), 155 Pingat Berkebolehan (Efficiency Medal), dan 691 Pingat Bakti Setia (Long Service Medal) diberikan kepada anggota tentera dan bukan tentera dalam majlis penganugerahan tahun ini.

Seramai 22 anggota menerima kedua-dua Pingat Kepujian/Berkebolehan dan Pingat Bakti Setia.

Kesemua anugerah yang diberikan hari ini disampaikan oleh Menteri Pertahanan Chan Chun Sing di MINDEF.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita