Skip to main content

Singapura

97 individu disiasat setelah pusat 'berkonsep KTV' tidak berlesen diserbu di Syed Alwi Road

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 97 individu disiasat kerana tidak mematuhi langkah-langkah jarak selamat, menurut polis hari ini (19 Feb). 

Enam puluh lelaki dan 37 wanita, berusia antara 24 hingga 65 tahun, ditemui di pusat "berkonsepkan KTV" yang tidak berlesen di sebuah unit rumah kedai di Syed Alwi Road. 

Kira-kira pukul 8.55 malam pada Khamis (17 Feb), pihak polis memeriksa pusat makanan dan minuman yang terletak di unit kedai rumah tersebut dan mendapati bahawa cawangan "berkonsepkan KTV" itu tersembunyi di belakang pintu dalam premis tersebut. 

Cawangan itu dilengkapi dengan 22 bilik karaoke berasingan dan ditempatkan dalam tiga unit kedai rumah. 

Bilik-bilik karaoke itu dilengkapi dengan sistem karaoke, pembesar suara, mikrofon dan televisyen. Minuman keras juga dihidangkan kepada para pelanggan daripada inventori pusat tersebut. 

Daripada 97 orang itu, empat wanita rakyat China berusia antara 33 dengan 48 tahun disyaki bekerja sebagai pelayan, menurut polis. 

Mereka ditemui bercampur antara kumpulan dan menawarkan khidmat kepada para pelanggan di premis tersebut. Salah seorang daripada wanita itu diuji positif COVID-19 menggunakan ujian pantas antigen (ART). 

Keempat-empat wanita tersebut diberkas atas kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA). 

Seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan salah seorang daripada 97 yang disiasat dipercayai pengendali cawangan "berkonsepkan KTV" yang tidak berlesen tersebut. Dia disiasat atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Minuman Keras (Bekalan dan Pengambilan) dan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat kerana gagal menutup perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi. 

Jika sabit kesalahan tidak mematuhi langkah-langkah jarak selamat, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan menawarkan hiburan di tempat awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen yang sah masing-masing membawa hukuman sehingga S$20,000. 

Polis akan terus mengekalkan "kekerapan" menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan untuk mencegah, menghalang dan mengenal pasti jenayah dan kegiatan-kegiatan lain yang tidak sah, menurut polis. 

"Polis tidak bertolak ansur terhadap mereka yang dengan sengaja melanggar peraturan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kuat kuasa terhadap mereka yang tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat," kata Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Jeremy Ang, Komander Jabatan Polis Pusat. 

"Sedang kita menangani kenaikan kes jangkitan Omicron, kelakuan tanpa tanggungjawab sosial menimbulkan risiko tinggi kesihatan awam, termasuk para pegawai barisan hadapan dan keluarga mereka." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita