Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

97 anggota perkhidmatan dilantik Pakar Tentera Kanan

Para Pakar Tentera Kanan memainkan peranan utama dalam persiapan negara menuju SAF2040.

Anggaran Waktu Membaca:
 97 anggota perkhidmatan dilantik Pakar Tentera Kanan

ME4 Nur Fadilah Jubir dilantik Pakar Perubatan Tentera bagi bidang perubatan pada 12 Jan 2022. (Gambar: MINDEF)

SINGAPURA: Para Pakar Tentera Kanan memainkan peranan utama dalam persiapan negara menuju SAF2040.

Ini sedang Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) terus memanfaatkan teknologi baru seperti kecerdasan buatan, robotik dan analisis data.

Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How berkata demikian di upacara pelantikan Pakar Tentera Kanan hari ini (12 Jan).

Seramai 97 anggota perkhidmatan lelaki dan wanita dilantik sebagai Pakar Tentera Kanan di upacara itu.

military experts
(Gambar: MINDEF)

Mereka terdiri daripada sembilan pegawai daripada Angkatan Tentera Singapura, 29 daripada Angkatan Laut Singapura, 15 daripada Angkatan Udara Singapura dan 44 daripada Kumpulan Markas, Kawalan, Perhubungan, Komputer dan Risikan (C4I).

Salah seorang daripada mereka yang menerima pedang istiadat sebagai lambang pelantikan menjadi Pakar Tentera Kanan hari ini ialah ME4 Nur Fadilah Jubir.

DARI JURURAWAT KE PAKAR PERUBATAN TENTERA KANAN

Pada mulanya, beliau cuba berjinak-jinak dalam dunia ketenteraan sebagai relawan bagi Kor Relawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC) sejak tahun 2015.

Selama lima tahun, beliau perlu mengimbangi masa dengan kerjaya sepenuh masanya sebagai jururawat di bilik pembedahan dan kemudiannya di Jabatan Kecemasan Hospital Besar Ng Teng Fong.

fadilah jubir
(Gambar: MINDEF)

Setelah itu, pengalaman berharganya selaku Tentera Keselamatan Bantuan dengan SAFVC berjaya memikat dan mendorongnya bertukar kerjaya.

fadilah jubir
(Gambar: MINDEF)

ME4 Nur Fadilah Jubir kemudian menyertai Angkatan Bersenjata Singapura pada Mac 2020.

Beliau berkongsi, "Saya gemar berada di persekitaran tentera dan berkongsi persahabatan yang kukuh di kalangan rakan seperjuangan.

"Sokongan padu dan dorongan daripada kedua-dua orang tua dan ahli keluarga saya memberi saya keyakinan untuk menukar kerjaya yang saya mulai minat untuk menjadi tentera sepenuh masa.

"Dengan ini, sebagai rakyat Singapura, saya pun dapat menyumbang lebih langsung kepada aspek pertahanan negara," ujar beliau.

ME4 NUR FADILAH: HARUS SESUAIKAN DIRI, BANGKIT DENGAN PANTAS

Berbekalkan semangat patriotik, sifat daya tahan dan sifat kepimpinannya, hari ini (12 Jan) ME4 Nur Fadilah berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam kerjayanya apabila dilantik sebagai Pakar Tentera Kanan bagi bidang perubatan.

ME4 Fadilah kini berkhidmat sebagai seorang Komander Platun di Unit Pasukan Respon Perubatan Kem Nee Soon.

fadilah jubir
(Gambar: MINDEF)

Beliau berkata: "Sebagai pakar perubatan tentera kanan, saya harus menyesuaikan diri dan bangkit dengan pantas dalam mengatasi apa jua cabaran demi meraih misi objektif.

"Kadang-kadang saya dapat tekanan, sekali-sekala, tetapi ia memberi kepuasan diri apabila saya dapat memupuk kemahiran kepimpinan yang baik.

"Menjadi seorang pakar perubatan tentera telah banyak memupuk kemahiran hidup yang luar biasa dan kini saya lebih berkeyakinan diri dengan kebolehan untuk memimpin dan membuat keputusan."

Meskipun kerjayanya kini memerlukan Cik Fadilah untuk bertindak mengikut situasi - berbeza dengan pengalamannya dalam mengikut prosedur tetap di bilik pembedahan mahupun di Jabatan Kecemasan di NTFGH dahulu - beliau menyifatkan kerjayanya kini unik serta mencabar minda dan fizikal.

"Bila menghadapi cabaran, saya mengimbas kembali tujuan dan niat saya menukar kerjaya ke bidang ini malah keluarga dan sahabat-sahabat saya juga tempat sandaran untuk saya teruskan perjuangan dalam kerjaya ini," kongsi beliau, yang juga lulusan ijazah sarjana muda Kejururawatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

fadilah jubir
(Gambar: MINDEF)

Anak kedua daripada empat adik-beradik perempuan itu juga melatih dan memimpin paramedik dalam kemahiran khusus bagi menangani ancaman kimia, biologi, radiologi dan nuklear.

DIILHAMKAN WATAK JURURAWAT TENTERA DALAM FILEM PEARL HARBOUR

Menariknya, Cik Fadilah juga sebenarnya menyimpan hasrat untuk terlibat dalam bantuan pasca bencana selepas beliau tertarik dengan watak jururawat tentera dalam filem 'Pearl Harbour'.

"Saya harap saya boleh belajar sebanyak mungkin untuk menjadi pegawai yang baik dan boleh menolong dan membantu para anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) saya untuk menyumbang kepada negara sebaik mungkin.

"Misi-misi luar negara... sekarang iklimnya tidak begitu baik, ia ikut peluang. Harap-harap mungkin pada masa hadapan kalau ada peluang yang akan datang, saya harap saya boleh pergi juga untuk misi-misi luar negara," kongsinya.

PERANAN PENTING PAKAR TENTERA KANAN DALAM PERUBAHAN SAF

Berucap menerusi video di upacara pelantikan tersebut, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How menarik perhatian kepada peranan penting yang dimainkan para Pakar Tentera Kanan dalam perubahan SAF.

"Anda menjadi penyambung antara operasi dan masyarakat teknologi, membantu dalam menterjemahkan dan mengendalikan keupayaan baru bagi SAF.

"Anda orang terbaik untuk melakukannya kerana anda faham keperluan unik pejuang perang yang beroperasi sementara bekerja rapat dengan masyarakat pertahanan yang lebih luas bagi memastikan keupayaan kita memenuhi tuntutannya," kata Encik Heng.

Kesemua Pakar Tentera Kanan yang dilantik sudahpun menamatkan Kursus Pakar Bidang Ketenteraan termasuk bidang kejuruteraan dan keselamatan siber.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan