Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

950,000 isi rumah HDB terima agihan kedua baucar GST pada Julai

Sekitar 950,000 keluarga Singapura yang tinggal di flat-flat HDB akan menerima Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) kedua mereka - U-Save dan GSTV - serta rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Jul 2022 02:40PM Dikemas Kini : 01 Jul 2022 09:27PM
SINGAPURA: Sekitar 950,000 keluarga Singapura yang tinggal di flat-flat HDB akan menerima Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) kedua mereka - U-Save dan GSTV - serta rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Julai.

Rebat-rebat itu sebahagian daripada skim GSTV tetap yang dipertingkatkan serta Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang diumumkan semasa Belanjawan 2022 pada Februari lalu.

Ia akan memberikan "bantuan berterusan" kepada keluarga-keluarga Singapura berpendapatan rendah hingga sederhana untuk membiayai GST dan perbelanjaan sara hidup lain, jelas Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (1 Jul).

Singapura sedang berdepan dengan kos hidup yang meningkat di tengah-tengah harga tenaga serta makanan lebih mahal serta gangguan pada rantaian bekalan.

Pihak berkuasa sudahpun menyatakan kenaikan GST akan datang tidak akan ditangguhkan sekalipun dengan kenaikan inflasi. Ia juga mengumumkan beberapa langkah sokongan demi membantu rakyat Singapura menangani kos yang meningkat.

Di bawah skim GSTV dipertingkat, keluarga yang layak akan menerima rebat-rebat GSTV - S&CC untuk mengimbangi antara 1.5 hingga 3.5 bulan bil S&CC mereka setiap tahun.

Rebat-rebat itu diagihkan pada April, Julai, Oktober dan Januari.

Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata pada Februari bahawa rebat-rebat GSTV - U-Save untuk baki tahun ini akan digandakan jumlahnya.

Jumlah itu bersamaan dengan kira-kira lapan hingga 10 bulan bil api air bagi purata keluarga yang menetap di flat satu dan dua bilik HDB, menurut MOF.

Bagi purata keluarga yang tinggal di flat tiga dan empat bilik HDB, jumlah rebat adalah sehingga sekitar empat hingga enam bulan bil api air.

Isi rumah yang mempunyai anggota keluarga yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak akan layak untuk menerima GSTV - U-Save, menurut MOF.

Rebat tambahan akan diberikan kepada keluarga yang layak pada masa yang sama GSTV - U-Save biasa mereka diagihkan pada setiap suku tahun.

Bagi rebat GSTV - S&CC, ia hanya akan dimasukkan langsung ke akaun S&CC isi rumah, di mana akaun itu diuruskan oleh majlis bandaran masing-masing.

Keluarga tidak perlu membuat sebarang tindakan demi meraih manfaat daripada rebat-rebat tersebut.

Isi rumah berikut ini tidak layak bagi rebat S&CC:
  • Tidak mempunyai pemilik atau penghuni flat warganegara Singapura
  • Pemilik flat atau penghuni utama memiliki atau mempunyai sebarang kepentingan dalam sebuah hartanah privet
  • Pemilik flat atau penghuni utama menyewakan seluruh flat

Rebat U-Save dan S&CC berjumlah S$720 juta akan diagihkan kepada isi rumah pada tahun kewangan ini.

Rebat GSTV – U-Save dan S&CC adalah tambahan kepada Kredit Utiliti Keluarga bernilai S$100 bagi semua keluarga Singapura, yang diumumkan secara berasingan oleh Encik Wong pada 21 Jun.

Penduduk boleh memeriksa atau bertanya tentang kelayakan mereka untuk menerima rebat GSTV - S&CC dengan mendaftar masuk ke dalam portal My HDBPage dengan menggunakan Singpass mereka.

Mereka yang mempunyai pertanyaan tertentu berhubung pembayaran S&CC status akaun isi rumah boleh menghubungi majlis bandaran masing-masing.

Bagi pertanyaan mengenai GSTV - U-Save, penduduk boleh menghubungi SP Group di talian 6671 7117 atau mengirimkan emel kepada customersupport [at] spgroup.com.sg.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan