Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

950,000 isi rumah akan terima rebat ketiga baucar GST pada Oktober

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 950,000 keluarga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat ketiga Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) - U-Save dan GSTV - Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) yang diagihkan setiap tiga bulan pada Oktober.

Rebat-rebat itu sebahagian daripada skim GSTV tetap dan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan (HPS) yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 pada Februari, menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (30 Sep).

Ia akan memberikan "bantuan berterusan" untuk membiayai GST dan perbelanjaan-perbelanjaan sara hidup lain bagi keluarga-keluarga Singapura yang berpendapatan rendah hingga sederhana, tambah MOF.

Singapura sedang berdepan dengan kos kehidupan yang meningkat di tengah-tengah harga global tenaga dan makanan lebih mahal serta gangguan kepada rantaian bekalan.

Pihak berkuasa sudahpun menyatakan kenaikan GST akan datang tidak akan ditangguhkan sekalipun dengan kenaikan inflasi. Ia juga mengumumkan beberapa langkah sokongan demi membantu rakyat Singapura menangani kos yang meningkat.

Di bawah skim GSTV dipertingkat, keluarga-keluarga yang layak akan menerima rebat-rebat GSTV - S&CC untuk mengimbangi antara 1.5 hingga 3.5 bulan bil S&CC mereka setiap tahun. Rebat-rebat itu diagihkan pada April, Julai, Oktober dan Januari.

Keluarga yang layak akan menerima dua kali ganda daripada rebat U-Save biasa pada Tahun Kewangan 2022.

Jumlah itu bersamaan dengan kira-kira lapan hingga 10 bulan bil api air bagi purata keluarga yang menetap di flat satu dan dua bilik HDB, menurut MOF.

Bagi purata keluarga yang tinggal di flat tiga dan empat bilik HDB, jumlah rebat adalah sehingga sekitar empat hingga enam bulan bil api air.

Keluarga yang anggotanya memiliki lebih daripada satu hartanah tidak akan layak untuk menerima GSTV - U-Save, menurut MOF.

Rebat tambahan akan diberikan kepada keluarga yang layak pada masa yang sama GSTV - U-Save biasa mereka diagihkan pada setiap suku tahun.

Pakej Jaminan U-Save akan diagihkan pada setiap suku bermula dari Januari 2023 hingga Januari 2026, menurut MOF.

Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan