Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

95% stok Istana Kuih Raya terjual dalam masa 2 hari; stok baru dijangka tiba Rabu

Stok kuih raya yang dijual di Istana Kuih Raya anjuran Orange SG habis dijual dalam masa dua hari ia dilancarkan pada Jumaat (16 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
95% stok Istana Kuih Raya terjual dalam masa 2 hari; stok baru dijangka tiba Rabu

Kuih semua habis, hanya papan tanda sahaja yang tinggal di dewan Istana Kuih Raya anjuran Orange SG. (Gambar: Ummu Naz)

BERITAMediacorp: Stok kuih raya yang dijual di Istana Kuih Raya anjuran Orange SG habis dijual dalam masa dua hari ia dilancarkan pada Jumaat (16 Apr).

Seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Ummu Naz meluahkan rasa kecewa sebaik tiba di The Istana Ballroom di Tanjong Katong Complex petang tadi (18 Apr).

Menurut Cik Ummu Naz, beliau melakukan perjalanan dari Jurong West selepas menyaksikan klip video tular di media sosial yang menunjukkan kuih raya dijual pada harga borong di Istana Kuih.

Pameran kuih itu malah turut menarik perhatian para pelanggan bukan Melayu yang juga tidak mahu terlepas peluang.

"Saya tiba di sini pada pukul 4.30 petang, ingatkan nak beli kuih raya. Apabila saya masuk dewan pameran itu, saya rasa agak hampa sebab dewan sudah kosong. Masih ada ramai orang yang datang." ujar Ummu Naz.

Ummu Naz turut berkongsi bahawa hanya tinggal sekitar 90 balang bertih jagung, biskut cip coklat Dominican dan biskut Mama Carrie.

Seorang lagi pengunjung, Cik Tuminah Binoor turut berkongsi bahawa semasa beliau pergi ke pameran itu semalam (17 Apr), masih ada banyak kuih untuk dijual.

Cik Tuminah Binoor dengan hasil borongan beliau di Istana Kuih pada Sabtu (17 Apr). (Gambar: Tuminah Binoor)

"Saya diberitahu oleh seorang pekerja di situ bahawa orang ramai yang tiba pada sekitar 1.00 tengah hari tadi sudah borong semuanya," kongsi Ummu Naz kepada BERITAMediacorp.

HANYA 50 ORANG DIBENARKAN MASUK SELAMA 30 MINIT PADA SATU-SATU MASA

Dalam pada itu, pengasas Orange SG Syah Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung atas sambutan 'luar biasa' yang diterima sejak pameran itu dibuka pada Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian menerusi sesi sembang 'FB Live' yang diadakan pada sekitar 5.00 petang tadi.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sambutan yang di luar dugaan kami. Saya minta maaf jika ada yang terpaksa beratur panjang di luar kawasan Istana Ballroom, saya difahamkan (ada yang beratur) sehingga ke pintu masuk Tanjong Katong Complex."

SEKITAR 20,000 BALANG HABIS DIJUAL. ISTANA KUIH AKAN DITUTUP 2 HARI UNTUK KIRA STOK

Menurut Encik Syah, stok pertama yang dibawa masuk merangkumi sebanyak 20,000 balang kuih dan hampir kesemuanya habis dijual.

"Saya pun tidak sangka. Selalunya kuih ini (akan laris dijual) pada minggu terakhir Ramadan tapi kali ini berbeza. Baru tiga, empat hari Ramadan, saya rasa stok saya 95 peratus sudah habis. Yang ada sekarang tinggal 5 peratus sahaja, 3 hingga 4 macam kuih sahaja yang tinggal daripada 100 macam kuih yang ada," kongsi Encik Syah.

Encik Syah Ibrahim kelihatan sibuk melayan pelanggan dan memeriksa stok.

Sehubungan itu, Encik Syah mengumumkan bahawa Istana Kuih akan ditutup pada Isnin (19 Apr) dan Selasa (20 Apr). Pameran kuih itu akan dibuka semula pada Rabu (21 Apr).

Namun, jumlah dan pilihan kuih-muih yang ditawarkan mungkin berbeza dan orang ramai juga dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan di laman Facebook beliau.

KUIH BOLEH DITEMPAH DI LAMAN ORANGE SG

Selain Istana Kuih di Tanjong Katong Complex, Orange SG juga menyediakan laman web di mana orang ramai boleh membeli kuih raya secara online.

Kuih-muih yang dijual di Istana Kuih dibawa masuk dari Simpang Renggam di Johor.

Lazimnya sebelum larangan rentas sempadan dikuatkuasakan, ramai orang Melayu Singapura akan berkunjung ke sana menjelang Lebaran untuk memborong kuih muih.

Menurut Encik Syah, beliau sendiri tidak tahu apakah jenis kuih yang akan dihantar oleh para pembekal kerana kehabisan stok ini berlaku terlalu mendadak dan tidak dijangkakan sama sekali.

Sungguhpun demikian, Encik Syah menasihatkan para pengunjung supaya tidak datang beramai-ramai bagi memudahkan pematuhan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Menurut gambar-gambar dan video-video yang dimuat naik online, kuih raya yang dijual di Istana Kuih dijual pada harga semurah S$3.90 sebalang.

Dewan pameran dibuka dari 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam.

Tempahan juga boleh dibuat menerusi laman ORANGEplus.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/AY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan