95% flat HDB layak yang dibina sehingga 1986 selesai jalani kerja naik taraf HIP
(Gambar: HDB)
SINGAPURA: Hampir semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak, dibina sehingga tahun 1986, sudah selesai menjalani kerja naik taraf di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP).
Sebanyak 320,000 flat layak bagi skim tersebut.
Kerja-kerja sudah selesai bagi sekitar 95 peratus flat, manakala empat peratus masih sedang menjalani kerja naik taraf, menurut HDB pada Ahad (2 Apr).
Undian bagi baki satu peratus flat belum lagi dilakukan. Kerja-kerja peningkatan rumah hanya boleh diteruskan apabila sekurang-kurangnya 75 peratus isi rumah warga Singapura yang layak yang tinggal di blok berkenaan mengundi menyokong agar HIP dijalankan.
HIP dilaksanakan pada 2007 dan menumpukan kepada kerja penambahbaikan dalam flat HDB. Ia termasuk membaiki rekahan struktur, memasang pintu baru, memasang kelengkapan tandas lebih baik di dalam bilik air dan rak-rak menjemur pakaian yang boleh ditarik keluar.
Terdapat tiga komponen utama pada kerja naik taraf tersebut.
Peningkatan penting seperti membaiki konkrit yang retak dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah. Kerja-kerja peningkatan lain yang ditawarkan, termasuk pakej naik taraf bilik air, dibiayai separa oleh penduduk mengikut pilihan yang diambil mereka.
Komponen ketiga, program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (EASE), menawarkan kelengkapan mesra warga emas seperti palang pegangan, tanjakan dan rawatan pada lantai tandas untuk menjadikannya kalis gelincir.
LEBIH BANYAK KELENGKAPAN MESRA WARGA EMAS DIPASANG
HDB menyatakan pada Ahad sekitar 283,900 isi rumah sudah dipasang dengan kelengkapan mesra warga emas di bawah program EASE - sama ada bersama HIP atau melalui permohonan secara langsung bagi blok-blok yang tidak layak untuk HIP.
Mulai 4 April, program EASE akan diperluaskan untuk menyertakan ciri-ciri seperti alat pengangkat kerusi roda, yang sebelum ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada perintis.
"Pengangkat kerusi roda boleh dijadikan huraian bagi flat-flat di mana tanjakan tidak boleh dipasang disebabkan kekangan di tempat tersebut," menurut HDB.
Bagi flat-flat yang mempunyai lebih tiga anak tangga di pintu masuk rumah, pemilik rumah yang layak boleh memilih tanjakan yang direka khas.
"Tanjakan-tanjakan sedemikian direka mengikut susunan pintu masuk dan ruang unit berkenaan, tertakluk kepada penilaian di tempat tersebut," menurut HDB.
HIP akan diperluaskan kepada lagi 230,000 flat yang dibina antara 1987 hingga 1997, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2018.
HDB menyatakan pada Ahad, sejauh ini, sekitar 93,000 flat tersebut sudah dipilih untuk menjalani HIP yang diperluaskan itu.
"Daripada jumlah itu, sekitar 1,200 flat sudah selesai menjalani kerja-kerja peningkatan, manakala 55,000 unit lain berada dalam pelbagai fasa kerja naik taraf," tambahnya.
Pemerintah sudah membelanjakan sekitar S$3.69 bilion bagi HIP dan S$110 juta untuk EASE setakat 31 Mac 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.