95.9% lulusan 2020 SUTD dapat kerja dalam tempoh 6 bulan tamat pengajian
Kemelesetan ekonomi sering kali disangka akan menyukarkan lagi usaha para siswazah yang baru lulus tahun lalu untuk bertapak dalam alam pekerjaan.

Bangunan kampus Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD). (Gambar: Calvin Oh)
SINGAPURA: Kemelesetan ekonomi sering kali disangka akan menyukarkan lagi usaha para siswazah yang baru lulus tahun lalu untuk bertapak dalam alam pekerjaan.
Namun tanggapan sebegini ternyata tidak tepat, khususnya bagi para siswazah baru Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Universiti itu menyatakan ia mencatat kadar pengambilan pekerja setinggi 95.9 peratus dalam kalangan siswazahnya yang tamat pengajian pada 2020 - iaitu sedang COVID-19 mula melumpuhkan ekonomi sejagat. Para siswazah SUTD ini malah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan sahaja selepas mereka menduduki peperiksaan akhir masing-masing.
Statistik ini dibentangkan dalam hasil Tinjauan Pengambilan Siswazah terbaru SUTD. Tinjauan itu disertai sekitar 300 daripada 372 lulusan dalam kohort keenamnya.
Jelas, ini satu perkembangan sangat baik kerana permintaan bagi para lulusan SUTD kekal tinggi walaupun ekonomi suram. Perangkaan terbaru juga mungkin lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

(Gambar fail: SUTD/Facebook)
Menurut Kementerian Pendidikan, kadar pengambilan siswazah pada 2019 adalah antara 84.2 peratus hingga 89.9 peratus bagi lulusan sarjana muda kejuruteraan SUTD. Kadar pengambilan siswazah dari program sarjana muda sains SUTD pada tahun yang sama pula adalah 100 peratus.
80% DAPAT PEKERJAAN TETAP
Bagi siswazah terbaru SUTD yang sudah mendapat pekerjaan, 94.4 peratus responden menyatakan mereka mendapat lebih daripada satu tawaran kerja manakala 50.3 peratus mendapat sekurang-kurangnya dua tawaran.
80.9 peratus siswazah yang sedang bekerja sekarang ini pula mengisi jawatan tetap yang mana sekitar 26 peratus mendapat pekerjaan menerusi latihan amali.
"Sistem pendidikan unik SUTD yang tertumpu pada bidang reka bentuk dan mencakupi pelbagai bidang lain, serta pendedahan kepada bidang penyelidikan, mengajar kemahiran berfikir secara kritikal untuk menghuraikan masalah kepada para pelajar kami. Ini mempersiapkan mereka untuk mempertingkat kehidupan masyarakat dan lebih baik lagi, dunia," kata Presiden SUTD, Profesor Chong Tow Chong.
"Terima kasih kepada syarikat-syarikat (di luar sana) kerana terus-menerus menyokong dan mengiktiraf keupayaan para siswazah kami," tambah beliau.

(Gambar fail: SUTD/Facebook)
SUTD menyatakan industri-industri yang paling banyak mengambil siswazah mereka sebagai pekerja adalah industri Perhubungan & Penerangan, Kewangan & Insurans serta Penyelidikan & Pembangunan Sains.
GAJI PURATA LEBIH S$4,300
Sementara itu, gaji permulaan para lulusan terbaru SUTD yang sudah mendapat pekerjaan tetap juga meningkat.
Secara purata, gaji kasar bulanan mereka adalah S$4,369 - sekitar S$130 lebih tinggi jika dibandingkan dengan perangkaan yang dicatat pada 2019.
Gaji median bulanan turut naik sedikit; dari S$4,072 pada 2019 kepada S$4,100 pada 2020.
Lagi 2.5 peratus responden yang sedang aktif mencari mata pencarian, sudah menerima tawaran kerja tetapi belum mula bertugas ataupun tidak bekerja tetapi sedang berusaha membuka perniagaan sendiri.
AINUL MARDHIYAH JADI PEMBANGUN SOFWE SYARIKAT GLOBAL
Bagi Ainul Mardhiyyah Mohamed Razib, 22 tahun, beliau mendapat tawaran kerja sekitar lapan bulan sebelum menggengam ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sistem Maklumat dan Desain dari SUTD pada Ogos tahun lalu.

(Gambar: Ainul Mardhiyyah)
Ainul kini seorang 'software developer' atau pembangun sofwe di sebuah syarikat perundingan sofwe global, ThoughtWorks.
Rahsianya? Anak muda ini merebut segala peluang yang ada untuk meluaskan rangkaian dalam bidang yang ingin diceburi.
"Saya bertemu dengan ThoughtWorks dalam satu acara pada 2019 oleh The Codette Project dan MSOCIETY.tech. Ia satu acara untuk golongan minoriti yang ingin bekerja dalam industri teknologi," cerita Ainul kepada BERITAmediacorp.
"Ada beberapa kakitangan ThoughtWorks di sana jadi saya berbual dengan mereka dan memberikan kad nama saya. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi seseorang menerusi LinkedIn. Beliau mengajak saya untuk membuat permohonan kerja."
Sungguhpun usaha mendapat pekerjaan kedengaran mudah dan lancar bagi Ainul, ada beberapa 'rintangan' yang perlu dia atasi.
"Ada tugasan pengekodan (oleh ThoughtWorks) yang boleh diselesaikan di rumah. Saya dapat menyelesaikan tugas itu, mereka mempelawa saya untuk menghadiri wawancara bersifat teknikal dan kemudian temu duga biasa."
Di sinilah pendedahan luas oleh SUTD membantu.
LATIH BUAT TEMU DUGA DI SEKOLAH
Menurut Ainul, beliau kerap ke Pusat Pembangunan Kerjaya SUTD semasa mula mencari kerja pada lewat 2019. Di pusat tersebut, Ainul dapat mengikuti latihan yang mengasah lagi keupayaannya untuk mengatasi temu duga, selain dapat mengajukan sebarang pertanyaan untuk mendapat pekerjaan.

"Pusat itu juga menganjurkan acara-acara untuk meluaskan rangkaian kami di mana mereka mengundang rakan-rakan industri SUTD. Saya menyertai acara-acara ini sejak dalam tahun pertama. Jadi rangkaian saya tidak sahaja menjadi lebih luas - lebih-lebih lagi kerana saya yang pertama dalam keluarga untuk masuk uni dan dalam bidang teknologi - tetapi juga dapat melatih diri supaya tidak segan di luar sana," jelas Ainul.
Sehubungan itu, kurikulum SUTD juga menitikberatkan projek-projek amali, tambah Ainul lagi:
"Disebabkan ini, saya ada lebih banyak pengalaman teknikal dan membina portfolio saya. Ada juga beberapa perkara yang dapat saya terapkan dalam latihan di tempat kerja."
Tugasnya kini adalah membangunkan aplikasi atau lelaman web - sesuatu yang dia sangat gemari semasa menuntut di SUTD.
Ainul juga sekarang giat berkongsi pengalaman dan tips mengenai pengekodan dan cara mendapatkan pekerjaan dalam bidang teknologi di wadah media sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.