95,000 majikan akan terima bayaran lebih S$450 juta Skim Kredit Gaji mulai 30 Jun
Lebih 95,000 majikan akan menerima bayaran lebih S$450 juta di menerusi Skim Kredit Gaji (WCS) menjelang hujung Jun ini.
SINGAPURA: Lebih 95,000 majikan akan menerima bayaran lebih S$450 juta di menerusi Skim Kredit Gaji (WCS) menjelang hujung Jun ini.
Menerusi pembayaran pada Jun tahun ini, Pemerintah akan membiayai bersama 20 peratus kenaikan gaji yang layak yang diberikan pada 2019, 2018 dan 2017 kepada lebih 800,000 pekerja warga Singapura yang menerima gaji bulanan kasar hingga S$5,000.
Majikan tidak perlu membuat permohonan untuk menerima pembayaran tersebut, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dalam kenyataan media bersama pada Khamis (11 Jun).
Majikan yang layak akan menerima surat daripada IRAS selewat-lewatnya 30 Jun yang memaklumkan jumlah pembayaran yang bakal diterima.
Sejajar dengan usaha Negara Bijak Singapura, IRAS menggunakankaedah pembayaran digital sepenuhnya bagi pembayaran WCS dan tidak akan lagi mengeluarkan cek, menurut kenyataan itu. Pembayaran akan dikredit terus ke akaun bank berdaftar majikan melalui PayNow Corporate atau GIRO.
Sebarang rayuan berhubung pembayaran berkenaan harus dihantar ke IRAS selewat-lewatnya pada 31 Ogos dan akan dipertimbangkan mengikut kes.
Semasa Belanjawan 2020, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan WCS akan ditambah untuk menyokong kenaikan gaji yang diberi majikan kepada pekerja Singapura.
Tahap pembiayaan bersama Pemerintah untuk kenaikan gaji yang layak pada 2019 dan 2020 masing-masing dinaikkan sebanyak lima peratusan mata kepada 20 peratus dan 15 peratus.
"Aras gaji bulanan kasar juga dinaikkan dari S$4,000 menjadi S$5,000 untuk kedua-dua tahun, yang membolehkan lebih ramai layak mendapat kredit gaji. Majikan yang layak untuk penambahan Belanjawan 2020 akan menerima pembayaran tambahan pada Jun 2020,” menurut kenyataan MOF dan IRAS.
Dalam catatan di Facebook pada Khamis, Encik Heng berkata: "Ini adalah salah satu cara Pemerintah menyokong perniagaan yang mampu berinovasi dan meningkatkan daya hasil tenaga kerja mereka - keadaan saling menguntungkan untuk pekerja, perniagaan dan Singapura."
Beliau menggesa para majikan untuk menggunakan "sepenuhnya sokongan yang ada" dan terus mengekalkan pekerja mereka.
"Walaupun keadaan COVID-19 terus berubah, keutamaan kami tetap sama - untuk memastikan pekerja kami tetap bekerja dan membantu perniagaan yang berdaya maju terus kekal bertahan," tambah Encik Heng.
WCS diperkenalkan pada 2013 sebagai satu inisiatif tiga tahun. Ia kemudian dilanjutkan hingga 2020 untuk menyokong perniagaan yang memulakan "usaha transformasi" dan berkongsi keuntungan produktiviti dengan pekerja mereka.
Tidak seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang membiayai bersama gaji yang diterima pekerja, WCS membiaya bersama kenaikan gaji. JSS diperkenalkan hanya pada 2020 untuk memberi sokongan gaji kepada majikan dan membantu perusahaan mengekalkan pekerja tempatan mereka semasa pandemik COVID-19.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.