Skip to main content

Singapura

940,000 isi rumah HDB akan terima rebat baucar GST dipertingkat bulan ini

Sekitar 940,000 isi rumah flat HDB akan menerima dua kali ganda rebat Baucar GST - Utilities-Save (U-Save) bagi tahun kewangan ini berbanding rebat biasa sebelum ini, untuk meringankan perbelanjaan bil api air.

Anggaran Waktu Membaca:
940,000 isi rumah HDB akan terima rebat baucar GST dipertingkat bulan ini

Gambar fail flat HDB di Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 12:28PM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 12:32PM

SINGAPURA: Sekitar 940,000 isi rumah flat HDB akan menerima dua kali ganda rebat Baucar GST - Utilities-Save (U-Save) bagi tahun kewangan ini berbanding rebat biasa sebelum ini, untuk meringankan perbelanjaan bil api air.

Ini adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Pemerintah yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020 untuk membantu perbelanjaan isi rumah.

Lazimnya, isi rumah flat HDB 1- dan 2-bilik akan mendapat rebat tahunan U-Save setara kira-kira purata tiga hingga empat bulan bil api air.

Dengan rebat bernilai dua kali ganda yang diberikan sekali sahaja ini, mereka kini bakal menerima rebat setara anggaran purata enam atau tujuh bulan bil, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan.

Isi rumah dalam flat HDB 3- dan 4-bilik pula biasanya menerima sokongan bernilai bil sebulan atau dua bulan. Kini mereka akan menerima sokongan bernilai dua hingga empat bulan bil mereka.

Bantuan tambahan bagi isi rumah lebih besar juga akan diberikan pada lewat tahun ini. Isi rumah yang layak dengan lima penghuni atau lebih akan menerima baucar rebat tambahan. Mereka akan menerima jumlah keseluruhan 2.5 kali rebat baucar biasa dalam tahun kewangan 2020.

Kesemuanya, jumlah bantuan yang akan diagihkan kepada isi rumah bernilai S$630 juta, menurut MOF.

Skim Baucer GST tetap diperkenalkan oleh Pemerintah pada Belanjawan 2012 untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan mengimbangi sebahagian perbelanjaan GST.

Ia terbahagi kepada tiga komponen - Tunai, MediSave dan U-Save. Baucar GST - U-Save menawarkan rebat bil api air bagi isi rumah HDB berpendapatan rendah dan pertengahan. Isi rumah menerima rebat mereka setiap Januari, April, Julai dan Oktober.

Penghuni isi rumah merujuk kepada individu yang tinggal bersama (mengikut alamat NRIC) dan mempunyai pertalian saudara atau menerusi perkahwinan atau pengambilan anak angkat secara rasmi (contoh, suami/isteri, ibu bapa, anak-anak, adik beradik, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan ipar duai).

Pembantu rumah asing, penyewa tanpa pertalian darah dan rakan-rakan tidak dianggap sebagai penghuni isi rumah.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita