940,000 isi rumah HDB akan terima baucar rebat GST bagi bil api air bulan ini
Sebanyak 940,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima agihan rebat Baucar GST U-Save seterusnya bulan ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad (4 Okt).
SINGAPURA: Sebanyak 940,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima agihan rebat Baucar GST U-Save seterusnya bulan ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad (4 Okt).
Sekitar 155,000 keluarga lebih besar dengan lima atau lebih anggota akan menerima jumlah rebat U-Save sebanyak 2.5 kali lebih tinggi daripada biasa pada tahun kewangan 2020, tambah MOF dalam satu kenyataan media.
Pembayaran U-Save itu adalah pengagihan ketiga pada tahun kewangan ini, dengan dua pembayaran sebelumnya dibuat pada April dan Julai.
Secara keseluruhannya, semua isi rumah HDB warga Singapura akan menerima jumlah rebat seganda berbanding U-Save biasa pada tahun kewangan ini, kata MOF.
Lazimnya, mereka yang tinggal di flat 1 dan 2 bilik akan menerima rebat tahunan U-Save untuk mengimbangi bil utiliti mereka selama sekitar tiga hingga empat bulan.
Ditambah dengan Bayaran Khas U-Save yang diagihkan awal tahun ini, isi rumah tersebut akan menikmati rebat bagi mengimbangi sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan bil api air mereka, menurut MOF.
Isi rumah di flat 3 dan 4 bilik biasanya menerima jumlah rebat bil api air sekitar sebulan hingga dua bulan. Mereka sekarang akan mendapat bantuan bagi mengimbangi sekurang-kurangnya dua hingga empat bulan bil api air mereka.
Skim Baucar GST yang tetap diperkenalkan pada 2012 untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan mengimbangi sebahagian bil api air mereka dan meringankan perbelanjaan isi rumah mereka.
Baucar itu terdiri daripada tiga komponen - Tunai, MediSave dan U-Save.
Rebat biasa U-Save diagihkan setiap tiga bulan. Rebat tambahan adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga oleh Pemerintah yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020.
Secara keseluruhannya, Pemerintah akan mengagihkan rebat U-Save bernilai S$630 juta pada tahun kewangan ini.
Secara berasingan, semua isi rumah warga Singapura - termasuk mereka yang tidak tinggal di flat HDB - akan menerima Kredit Perbekalan Kesepakatan berjumlah S$100 bagi bil api air mereka pada Julai atau Ogos.
"Dengan iklim pekerjaan semakin tidak menentu, keluarga-keluarga tentu sekali bimbang tentang perbelanjaan," kata Timbalan Perdana Menteri dalam catatan Facebooknya pada Ahad.
"Saya harap sokongan tambahan ini dapat membantu isi rumah kita mengharungi masa-masa sukar ini," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.