94% pelajar madrasah lulus peperiksaan GCE 'O'
Sekitar 94 peratus pelajar madrasah yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' lulus dan berjaya meneruskan pelajaran ke peringkat pos menengah.
SINGAPURA: Sekitar 94 peratus pelajar madrasah yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' lulus dan berjaya meneruskan pelajaran ke peringkat pos menengah.
Secara keseluruhan, 220 pelajar madrasah menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2023.
Bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah pula, kesemua 75 pelajarnya lulus dan turut meraikan para pelajar yang berjaya meraih gred kepujian.

Antaranya termasuk Nur Khairiah Basirah Baharudin yang mendapat kepujian bagi 4 mata pelajaran.
Pelajar madrasah seperti Nur Khairiah biasanya mengambil sekitar lapan subjek termasuk mata pelajaran ukhrawi.
"Saya rasa gembira pertama dan saya tidak sangka dengan keputusan saya tetapi keseluruhannya saya puas dengan peperiksaan saya," kata Nur Khairiah.
Dengan keputusan yang diraihnya, beliau berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam kedua-dua aliran akademik dan ukhrawi.
"Saya ingin mengambil kursus pendidikan awal kanak-kanak. Lagi satu saya pun ingin mementingkan ukhrawi jadi saya bercadang untuk mengambil kursus dalam ukhrawi seperti Firdaus ataupun pilihan lain. Jadi dengan dua kursus ini mungkin saya dapat menyumbang kepada komuniti lagi-lagi kepada kanak-kanak Muslim," kongsi Nur Khairiah kepada wartawan Danish Aiman.
Beliau berharap dapat membangunkan generasi Muslim akan datang yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam dan pada masa yang sama menjadi warga Singapura yang proaktif.
DARI ALIRAN UTAMA, SESUAIKAN DIRI DENGAN SISTEM MADRASAH
Seorang lagi pelajar yang lulus ialah Abdul Hafiz yang dahulu dari sekolah aliran utama.
Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan sistem madrasah apabila menyertainya sejak menengah 1, Abdul Hafiz gembira dapat sokongan yang baik daripada guru dan rakan-rakan.
"Apabila anda memasuki anda bukan sahaja mengambil tambahan mata pelajaran sekolah menengah. Anda juga mengambil tambahan mata pelajaran ukhrawi jadi beban mata pelajaran yang besar pada mulanya agak sukar untuk disesuaikan tetapi lama-kelamaan anda akan terbiasa dengannya. Namun dengan sokongan keluarga saya, rakan-rakan saya di sini, guru-guru, Saya rasa peralihan itu agak lancar Alhamdulillah," jelas Abdul Hafiz.
Selain mengimbangi masa buat mata pelajarannya, beliau juga harus mengimbangi tanggungjawab sebagai ketua pengawas sekolahnya itu.
Hafiz berharap untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang syariah.
"Baru-baru ini saya baru sahaja menamatkan latihan di sebuah firma guaman. Jadi ia pakar dalam undang-undang syariah dan ini telah mencetuskan minat dalam undang-undang syariah bagi saya dan semoga suatu hari nanti saya akan dapat menceburi bidang undang-undang syariah, berkhidmat kepada masyarakat dan berbakti kerana saya percaya semua orang berhak mendapat peluang untuk diwakili," kongsi Abdul Hafiz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.