Skip to main content

Singapura

93 percubaan seludup lebih 10,000 kit ujian COVID-19 pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mematahkan 93 percubaan untuk menyeludup lebih 10,000 kit ujian COVID-19 berbeza jenama pada 2021, menurut penguasa berkenaan hari ini (15 Feb). 

Para pegawai juga mengesan empat percubaan untuk menyeludup ivermectin, melibatkan lebih 2,500 pil. 

Ivermectin adalah ubat preskripsi yang diluluskan di Singapura bagi rawatan jangkitan cacing parasit. 

Kira-kira 5,860 kes seludup dikesan dalam kalangan barangan bernilai rendah yang diimport pada 2021, naik 40 peratus berbanding 2020, menurut ICA dalam laporan tahunannya hari ini (15 Feb). 

Penguasa tersebut menyatakan kenaikan jumlah percubaan menyeludup kontraban menerusi laluan udara dan kiriman bungkusan, khususnya barangan bernilai rendah, "sejajar dengan perkembangan pesat e-dagang sejak beberapa tahun kebelakangan ini". 

Barangan bernilai rendah adalah barangan yang tertakluk kepada pelepasan GST apabila ia diimport menerusi udara atau pos.

Namun, jumlah kes kontraban yang dikesan di pusat-pusat pemeriksaan ICA merosot daripada 41,000 kepada 27,000 pada 2021, atau kira-kira 33 peratus. Ini disebabkan kemerosotan ketara jumlah pelawat. 

JENIS KONTRABAN YANG DISELUDUP 

Antara barangan yang dirampas adalah "konsainan besar" rokok dan dadah seludup yang disembunyikan antara konsainan yang dibayar cukai yang dihantar menggunakan lori. 

"Dalam beberapa kes tersebut, para pelakunya menggunakan kaedah-kaedah canggih untuk menyembunyikan (barangan) dan lebih sukar untuk dikesan pihak berkuasa," menurut ICA. 

Ini termasuk menyembunyikan rokok-rokok itu dalam unit hawa dingin, kertas bergulung, kipas pengalihan udara ataupun dalam pelbagai bahagian kenderaan yang diubah suai.

"ICA akan terus memantau dengan teliti, memandangkan kaedah serupa mungkin digunakan untuk menyeludup senjata dan bahan letupan ke dalam Singapura," tambah ICA.

Secara keseluruhannya, ICA memeriksa sebanyak 10.8 juta konsainan dan bungkusan dan lebih 29.5 juta barangan bernilai rendah melalui pusat-pusat imigresen kargo darat. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita