Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

93% kotak kitar semula percuma sudah diagihkan setakat 30 Apr

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 93 peratus kotak kitar semula sudah diagihkan, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Baey Yam Keng pada Selasa (9 Mei). 

Dipanggil 'Bloobox', kotak yang boleh dilipat dan dicuci itu diagihkan secara percuma melalui mesin-mesin layan diri merata Singapura selepas inisiatif itu diumumkan pada November 2022. 

Tempoh pengagihan berakhir pada 30 April 2023. 

Menjawab pertanyaan mengenai inisiatif tersebut, Encik Baey berkata di Parlimen, sekitar 530,000 'Bloobox' - atau 93 peratus - diagihkan setakat 30 April, dengan bakinya akan digunakan untuk menyokong kempen Kitar Semula Dengan Betul atau 'Recycle Right'. 

"Sambutan positif yang kukuh daripada masyarakat  mencerminkan keinginan penduduk untuk mengitar semula di rumah atau pejabat dan penghargaan mereka bagi Bloobox," ujar Encik Baey. 

Beliau menarik perhatian bahawa tidak semua keluarga memerlukan Bloobox kerana ramai mungkin menggunakan sudut-sudut kitar semula yang sedia ada menggunakan bekas lain. Pihak berkuasa mengambil kira hal itu semasa merancang jumlah 'Bloobox' yang akan diagihkan, tambah Encik Baey. 

Dalam soalan tambahan, Anggota Parlimen (AP) Jamus Lim (WP-Sengkang) bertanya sama ada Encik Baey boleh mengongsikan kos keseluruhan program tersebut dan bagaimana ia boleh dianggap sebagai kos efektif. 

Encik Baey berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kos kempen tersebut. 

"Seperti yang dikatakan tadi, kami menganggarkan jumlah Bloobox yang diperlukan kerana kami tidak menghasilkan atau memperolehi Bloobox untuk  semua isi rumah di Singapura kerana ia tidak munasabah.

"Dan kami sedia maklum bahawa bukan setiap isi rumah memerlukannya. Justeru, kami agak tepat pada anggaran kami, 93 peratus sudah diambil dan bakinya tidak akan dibazirkan kerana ia akan digunakan dalam usaha kami untuk menggalakkan kitar semula."

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) ingin tahu sama ada kawasan-kawasan di Singapura yang mempunyai jumlah tinggi kotak yang diambil mempunyai kadar pengumpulan bahan kitar semula yang lebih tinggi dan bagaimana mereka yang ingin mendapatkan 'Bloobox' boleh berbuat sedemikian selepas tempoh pengagihan. 

Jelas Encik Baey, data pengumpulan bahan kitar semula dilakukan setiap tahun dan kementerian perlu memeriksa sama ada terdapat data tertentu bagi estet-estet perumahan berhubung kadar pengumpulan 'Bloobox' dan kadar kitar semula.

Orang ramai yang masih belum mendapatkan 'Bloobox' boleh berbuat sedemikian di pelbagai inisiatif kitar semula yang dikelolakan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan rakan-rakannya, tambah Encik Baey. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan