Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9,200 pemilik flat HDB sertai Skim Beli Balik Pajakan sejak 2009

Anggaran Waktu Membaca:
9,200 pemilik flat HDB sertai Skim Beli Balik Pajakan sejak 2009

(Gambar: iStock/catchlights_sg)

SINGAPURA: Kira-kira 9,200 isi rumah menyertai Skim Beli Balik Pajakan (LBS) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sejak ia diperkenalkan pada Mac 2009, menurut Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee, pada Isnin (7 Nov).

Encik Lee berkata demikian sebagai menjawab soalan parlimen yang diutarakan AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang). Beliau juga ingin tahu rancangan untuk membaiki dan meluaskan skim berkenaan serta sebab sesetengah pemilik rumah tidak ingin menyertai skim tersebut.

Di bawah Skim Beli Balik Pajakan, pemilik flat warga emas boleh menjual kembali sebahagian pajakan flat mereka kepada Pemerintah.

Mereka kemudian akan menerima pendapatan tetap sementara terus tinggal di dalam flat berkenaan.

Pemilik flat boleh memilih untuk mengekalkan tempoh pajakan mereka berdasarkan umur pemilik paling muda.

Ketika skim itu diperkenalkan, hanya pemilik flat tiga bilik atau lebih kecil layak, namun skim itu sudah diperluaskan kepada semua jenis flat.

Encik Lee berkata terdapat pelbagai sebab warga emas tidak ingin menyertai skim tersebut.

Ini termasuk mempunyai sumber pendapatan lain untuk memenuhi keperluan persaraan mereka ataupun memilih untuk menggunakan pilihan kewangan lain seperti mendapatkan flat yang lebih kecil ataupun menyewakan bilik kosong di dalam flat mereka.

"HDB akan terus menyemak keperluan perumahan pemilik warga emas untuk memastikan dasar perumahan kami kekal relevan dan responsif kepada keperluan dan pilihan yang berubah-ubah," tambah Encik Lee.

Mengenai pertanyaan Encik Liang tentang bagaimana Pemerintah boleh mempromosikan skim tersebut, Encik Lee berkata jumlahnya "semakin meningkat disebabkan kesedaran lebih tinggi" dan juga kerana penyesuaian yang dilakukan ke atas skim tersebut selama ini.

Beliau berkata pihak kementerian sedang bekerjasama dengan media untuk menganjurkan ceramah dan seminar awam dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Encik Liang juga bertanya jika Pemerintah boleh memberi jaminan kepada mereka yang prihatin akan hidup melepasi baki 30 tahun pajakan mereka.

Di bawah skim berkenaan, pemilik flat boleh memilih untuk menjual baki tempoh pajakan 35 tahun kepada HDB ataupun pajakan 30 tahun dan mendapat bonus.

Pada April 2020, bonus maksimum dinaikkan kepada 50 peratus bagi semua jenis flat kepada S$30,000 untuk flat tiga bilik dan lebih kecil, S$15,000 bagi flat empat bilik dan S$7,500 untuk flat lima bilik dan lebih besar.

Encik Lee berkata Pemerintah akan bekerjasama dengan pemilik flat yang hidup melepasi tempoh pajakan mereka mengenai jumlah tokokan supaya mereka boleh terus tinggal dalam flat mereka.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan