Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

92 orang didapati langgar langkah COVID-19 di pusat penjaja semasa langkah penguatkuasaan dipertingkat: NEA

Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 92 individu kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 di pusat penjaja sepanjang tiga hari pada minggu lalu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
92 orang didapati langgar langkah COVID-19 di pusat penjaja semasa langkah penguatkuasaan dipertingkat: NEA

(Gambar: NEA)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 10:52PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 10:54PM

SINGAPURA: Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 92 individu kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 di pusat penjaja sepanjang tiga hari pada minggu lalu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (19 Okt).

Mereka didapati berhimpun dalam kumpulan melebihi dua orang, gagal mematuhi jarak selamat satu meter dan tidak memakai pelitup, menurut NEA.

Pemeriksaan tersebut yang dijalankan dari 15 hingga 17 Oktober, termasuk di Pusat Makanan Newton, Pusat Makanan Whampoa, Pasar dan Pusat Makanan Haig Road, Pusat Makanan Golden Mile, Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim dan Pasar dan Pusat Makanan Chinatown Complex.

Pemeriksaan itu dijalankan sebagai sebahagian daripada "tindakan penguatkuasaan dipertingkat terhadap pelanggaran langkah-langkah pengurusan selamat di pusat penjaja", menurut NEA.

NEA menyatakan kamera pemantauan dipasang di pusat-pusat tertentu bagi melengkapi pemantauan secara fizikal terhadap pematuhan langkah pengurusan selamat.

NEA juga menyeru sokongan awam untuk bekerjasama dengan duta jarak selamat dan pegawai penguatkuasaan.

"Pihak berkuasa memandang serius terhadap mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat atau menyerang pegawai awam dan akan mengenakan dakwaan di mahkamah jika perlu," menurut NEA.

MEREKA YANG LANGGAR LANGKAH BERBEZA IKUT STATUS VAKSINASI

Langkah pengurusan selamat berbeza berdasarkan status vaksinasi berkuat kuasa di pusat penjaja dan kedai kopi pada 13 Oktober.

Di bawah langkah baru itu, hanya mereka yang lengkap divaksin boleh makan di pusat penjaja dalam kumpulan dua orang. Kanak-kanak belum divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah juga boleh disertakan dalam kumpulan dua individu itu.

Individu yang belum divaksin atau menerima satu dos vaksin hanya boleh membeli makanan di pusat penjaja untuk dibawa pulang, sejajar dengan langkah-langkah sebelum ini yang dikuat kuasakan bagi kedai makanan dan minuman yang lain.

Sejak 13 Oktober, pegawai penguatkuasaan jarak selamat "mengambil pendekatan menasihati", menurut NEA.

Sejauh ini, lebih 800 orang belum divaksin atau sudah disuntik satu dos vaksin didapati melanggar langkah dibezakan itu. Mereka digesa menghabiskan makanan dan meninggalkan pusat penjaja dengan segera.

Bermula Rabu (20 Okt), tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu sedemikian, menurut NEA, sambil menambah bahawa polis akan diminta bantu bagi mereka yang enggan memberi kerjasama kepada pegawai penguatkuasaan jarak selamat.

"Kami terus menggalakkan warga emas agar mengehadkan aktiviti makan luar di pusat penjaja dan memilih untuk bawa pulang makanan. Sebaik mungkin, pesan kepada anggota keluarga atau jiran tetangga untuk membeli makanan untuk mereka."

NEA menyatakan ia bekerjasama rapat dengan majlis bandaran dalam pelaksanaan langkah dibezakan. Duta jarak selamat dan kakitangan majlis bandaran akan terus mengingatkan pengunjung tentang langkah sekatan terhadap makan di luar.

Pemeriksaan status vaksinasi tidak dijalankan di pintu masuk bagi mengelakkan orang ramai beratur panjang dan menyusahkan mereka yang memasuki premis untuk membeli makanan dibawa pulang.

NEA dan Persatuan Penjaja juga sudah menjelaskan kepada pemilik gerai bahawa mereka tidak perlu memeriksa status vaksinasi pelanggan.

"Pegawai penguatkuasaan jarak selamat akan menjalankan pemeriksaan rambang terhadap pelanggan yang makan di kedai itu," menurut NEA.

Para pelanggan sama ada boleh menunjukkan pengesahan vaksinasi pada Aplikasi TraceTogether (TT) mereka kepada pegawai penguatkuasaan ataupun menyerahkan token TT mereka untuk diimbas sekali gus menunjukkan status vaksinasi mereka.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan