Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

900 kes skim pancing data sejak Jan; terdapat pelaku menyamar sebagai polis: SPF

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Polis mengesan sekurang-kurangnya 900 kes penipuan pancingan data sejak Januari tahun ini, dan mengeluarkan amaran pada Khamis (24 Feb) bahawa terdapat kemunculan semula taktik yang melibatkan pelaku menyamar sebagai pegawai polis. 

Dalam kes penipuan sedemikian, mangsa akan menerima panggilan yang tidak diingini menerusi aplikasi kiriman mesej seperti WhatsApp daripada pemanggil yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai di agensi pemerintah seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), kata polis dalam satu kenyataan. 

"Pemanggil ini selalunya akan menunjukkan lambang rasmi atau gambar pegawai SPF sebagai gambar profil mereka untuk mengukuhkan tipu muslihat mereka." 

Dalam beberapa kes pula, penipu sedemikian akan memulakan panggilan video menerusi aplikasi-aplikasi kiriman mesej dengan  berpakaian seragam seperti yang digunakan pegawai SPF. 

Semasa panggilan tersebut, mangsa akan diminta untuk memberikan maklumat peribadi, butiran perbankan dan kata laluan sekali saja (OTP) untuk "tujuan pengesahan" atau untuk "membantu siasatan", menurut polis. 

Dengan maklumat yang diberikan oleh mangsa, penipu itu akan membuka akaun e-dompet menggunakan aplikasi seperti DBS Paylah!, Singtel Dash atau GrabPay di bawah nama mangsa dan menokok dana e-dompet menerusi akaun bank mangsa. 

Terdapat juga kes di mana mangsa yang akan diberitahu untuk membuat tokokan wang tunai kepada e-dompet di mesin AXS atau kedai serba guna.

Mangsa akan hanya sedar  mereka sudah diperdaya apabila mereka menghubungi bank setelah menerima pemberitahun bahawa pelbagai urus niaga dilakukan daripada akaun bank ke e-dompet mereka. 

"Polis ingin menekankan lagi bahawa panggilan sebegini tidak dilakukan oleh pegawai polis. Agensi-agensi pemerintah tidak akan pernah menghubungi orang ramai menerusi aplikasi kiriman mesej untuk mendapatkan maklumat peribadi, pengesahan perbankan atau OTP," menurut polis. 

Pihak polis pernah memberi amaran tentang taktik skim serupa pada Januari. Skim penipuan tersebut melibatkan penipu menunjukkan gambar kad waran polis yang palsu atau pas polis antarabangsa Interpol. 

Polis menasihatkan orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan berikut apabila menerima panggilan sedemikian: 

Jangan ambil endah arahan mereka. Tidak ada agensi pemerintah yang akan mendapatkan maklumat peribadi menerusi panggilan telefon. 

Jangan dedah maklumat peribadi atau butiran perbankan Internet, termasuk nombor Kad Pengenalan (NRIC), tarikh ia diberikan atau OTP kepada sesiapa saja. 

Selalu mengesahkan kesahihan maklumat dengan menghubungi agensi-agensi pemerintah berkaitan menerusi hotline rasmi mereka. 

Laporkan sebarang urus niaga yang melibatkan penipuan kepada bank anda. 

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung jenayah sedemikian dinasihatkan menghubungi hotline polis 1800 255 000 atau menghantarkan borang online di www.police.gov.sg/iwitness.

Mereka boleh menghubungi 999 jika perlukan bantuan polis. 

Untuk maklumat lanjut tentang skim penipuan, mereka boleh melayari www.scamalert.sg atau menghubungi Hotline Anti Penipuan di 1800 722 6688. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan