Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

900 bakal jemaah haji mula pilih pakej daripada 13 GSA

Seramai 900 bakal jemaah haji yang menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), mula memilih pakej masing-masing pada Isnin (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seramai 900 bakal jemaah haji yang menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), mula memilih pakej masing-masing pada Isnin (13 Feb).

Antara mereka yang menerima berita gembira itu ialah Encik Ismail Hassan, 69 tahun.

Selepas terpaksa menangguhkan ibadah haji pada 2020 akibat pandemik, beliau menerima LOO sekitar jam 10 pagi pada 13 Feb, dan dijangka berangkat ke tanah suci pada 10 Jun nanti.

Beliau yang membuat pendaftaran pada 2011, berasa amat terharu selepas lama menunggu.

"Masa saya dapat emel daripada MUIS, saya tak tunggu lagi, saya tak lengah-lengah lagi. Kita ada kumpulan WhatsApp dengan Shahidah Travel and Tours. Haji Ayoob telah memberitahu kalau dapat, terus ke pejabat untuk membuat pendaftaran dan pembayaran," kata Encik Ismail, yang bakal menunaikan haji seorang diri.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Encik Ismail memilih pakej tempoh 24 hari yang ditawarkan Shahidah Travel and Tours yang berharga sekitar S$18,000.

Harga tersebut juga termasuk harga penerbangan.

Seperti jemaah lain, beliau perlu membuat pembayaran 50 peratus harga pakej untuk menjaminkan tempatnya.

PAKEJ PALING MAHAL S$25,000 MASIH POPULAR

Secara kesuluruhan, syarikat Shahidah Travel and Tours yang merupakan antara 13 ejen penjualan pakej haji (GSA) tahun ini juga menawarkan tiga pakej haji, tempoh pendek dan panjang, berharga antara S$16,000 dengan S$25,000.

Menurut Pengarah Urusannya, Ayoob Angullia, pakej paling mahal untuk tempoh 15 hari itu bertujuan memenuhi permintaan jemaah yang mengutamakan keselesaan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Banyak yang memberi respons walaupun harganya mahal, lebih daripada S$20,000. Harga hotel masa tempoh sibuk itu harga yang tertinggi sekali. Mereka mahu khidmat itu. Mereka mahu keadaan senang, dapat makanan yang lebih selesa dan mereka mahukan yang ringkas, yang pendek supaya mereka, selepas mereka tunaikan, mereka boleh pulang balik," kata Encik Ayoob.

INSURANS EMA LIPUTI PERLINDUNGAN KESULITAN PERJALANAN

Syarikat TM Fouzy Travel & Tours pula menawarkan harga pakej antara sekitar S$13,000 dengan S$18,000 yang termasuk Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA).

Selain perlindungan bagi penyakit-penyakit sedia ada, insurans berharga S$350 itu juga merangkumi keperluan baru.

Menurut Presiden AMTAS, Ustaz TM Fouzy, pihaknya mengambil khidmat syarikat insurans ST&T International sekali lagi kerana syarikat tersebut sudah terbiasa dengan keperluan jemaah haji Singapura.


"Tahun ini, kita tidak sediakan bantuan perubatan sahaja atau bantuan kesihatan, tapi kita melihat kepada keperluannya, ada kesulitan perjalanan. Makna kalau berlakunya kelengahan penerbangan atau beg hilang atau beg rosak kerana pertukaran. Ataupun perlu satu lagi malam di hotel," kata Ustaz TM Fouzy.

Bakal jemaah diberi tempoh hingga 26 Februari ini untuk membuat pilihan GSA.

Selain melanjutkan operasi pejabat, para GSA juga menggalak orang ramai supaya membuat janji temu terlebih dahulu sebelum membuat pemilihan mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan