Skip to main content

Singapura

90% petugas kesihatan awam terima Pingat Daya Tahan COVID-19: Ong Ye Kung

Sekitar 91 peratus daripada 68,600 petugas dalam institusi jagaan kesihatan awam Singapura menerima Pingat Daya Tahan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
90% petugas kesihatan awam terima Pingat Daya Tahan COVID-19: Ong Ye Kung

Pingat Daya Tahan COVID-19. (Gambar: Pejabat Perdana Menteri)

SINGAPURA: Sekitar 91 peratus daripada 68,600 petugas dalam institusi jagaan kesihatan awam Singapura menerima Pingat Daya Tahan COVID-19.

Demikian didedahkan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (9 Jan).

Baki petugas kesihatan awam yang tidak menerima anugerah itu sebahagian besarnya kerana mereka tidak memberi sumbangan "ketara atau secara berterusan" kepada perjuangan Singapura semasa pandemik sepanjang tempoh sumbangan yang ditentukan, katanya.

"Sejumlah kecil" kakitangan pula hilang kelayakan disebabkan oleh rekod disiplin mereka.

Encik Ong berkata terdapat kemungkinan sesetengah majikan mungkin terlepas menyerahkan nama kakitangan masing-masing untuk pencalonan.

"Para individu yang merasakan bahawa mereka layak tetapi terlepas menerima pingat itu boleh menulis kepada MOH (Kementerian Kesihatan), dan kami akan menyemak rayuan mereka bersama majikan masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh beberapa Anggota Parlimen.

Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang) juga bertanya sama ada MOH akan menimbangkan saluran bagi mendapatkan rayuan oleh para individu yang terlepas daripada mendapatkan pingat Daya Tahan COVID-19 tersebut.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai, Encik Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) dan Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) juga memfailkan soalan-soalan berkaitan dengan jumlah penerima, sama ada para pekerja daripada sumber luar diberikan anugerah itu dan apakah sebab-sebab sesetengah pekerja gagal menerima pingat tersebut.

Senarai penerima pingat itu diterbitkan dalam Warta Pemerintah di laman Pejabat Perdana Menteri pada 31 Mei tahun lalu.

Memandangkan menangani pandemik itu merupakan usaha negara bersepadu, Encik Ong berkata pendekatan pemerintah dalam memberikan pingat itu adalah supaya ia bersikap inklusif tanpa menetapkan sebarang kuota.

Para individu dicalonkan oleh majikan mereka berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan, di mana para penerima harus membuat sumbangan ketara secara berterusan semasa pandemik dalam aspek-aspek berikut:

- Menangani krisis kesihatan awam di barisan hadapan
- Menyokong operasi barisan hadapan, seperti vaksinasi, ujian, menguruskan dormitori atau kemudahan pemulihan
- Menguruskan kesan akibat COVID-19 terhadap ekonomi Singapura, rantaian bekalan atau perpaduan sosial

"Memandangkan (pingat Daya Tahan COVID-19) merupakan anugerah di peringkat kebangsaan, para individu dengan rekod jenayah dan pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai rekod disiplin dan dalam tempoh penggantungan (debarment) juga tidak layak untuk dicalonkan," katanya.

Encik Ong juga berkata para pekerja daripada sumber luar seperti pekerja pembersihan, porter dan penolong jagaan pesakit juga disertakan dalam proses pencalonan.

Sekitar 2,000 daripada mereka mendapat pingat tersebut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita