Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% peniaga Kampong Gelam manfaatkan kerjasama dengan Lazada; beranikan diri berjinak-jinak dengan wadah digital

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pandemik COVID-19 memaksa ramai usahawan beralih ke wadah online untuk menjalankan perniagaan mereka.

Kedai permaidani Luxury Carpets yang sudah 20 tahun bertapak di Arab Street tidak terkecuali.

Pandemik yang melanda memaksa kedai itu mencari huraian baru sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 - antaranya dengan menggunakan kaedah pesanan ringkas WhatsApp dan Faceboook untuk memasarkan permaidaninya.

Bagaimanapun kaedah pemasaran itu hanya ditawarkan kepada pelanggan setianya sahaja.

Minggu lalu, ia mengorak langkah untuk menceburi alam digital dengan mengiklankan produknya-produknya melalui platform e-dagang Lazada.

Ia memanfaatkan kerjasama bernilai S$1 juta yang sudah terjalin selama setahun antara One Kampong Gelam (OKG) dengan syarikat e-dagang itu.

Menerusi kerjasama tersebut, lebih 200 peniaga di kawasan Kampong Gelam diajak berurus niaga di platform Lazada tanpa perlu membayar sebarang yuran pendaftaran.

Kerjasama yang dimeterai bulan lalu itu menggalak para usahawan di Kampong Gelam mendakapi wadah digital untuk memasarkan produk dan menarik pelanggan baru.

Menurut Pemilik Luxury Carpets Encik Saifullah Achekzai, penjualan menerusi WhatsApp agak terbatas manakala usaha untuk memasarkan produknya melalui Facebook pula, tidak mendatangkan hasil.

"Kebanyakan pelanggan kami berbelanja cara tradisional. Masuk ke dalam kedai dan lihat mutu, lihat bahannya. Apabila mereka suka, barulah mereka akan membelinya," kata beliau.

Beliau akhirnya memutuskan untuk memasarkan barangannya melalui platform Lazada kerana tertarik dengan potensi pasaran online yang sangat luas.

"Lazada mendekati kami, kami pun mahu mencuba. Kini kebanyakan jualan bertukar online kerana kebanyakan generasi muda lebih gemar membeli secara online," tambah beliau.

Satu lagi perniagaan yang sudah menyertai Lazada ialah Derwish Turkish Restaurant di Bussorah Street. 

Meskipun sudah memanfaatkan wadah digital melalui aplikasi tempahan makanan seperti Food Panda dan Grab, platform Lazada menawarkan peluang untuk mempelbagaikan strategi penjualannya. 

"Para pelanggan membeli baucar yang ditawarkan di platform Lazada. Jadi, apabila mereka membeli, ia meningkatkan penjualan kami. Ia menjadikan jualan sedia ada untuk kami," kongsi pengurus restoran Encik Ivan Pragash.

Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya bertanggapan Lazada hanya setakat menjual barang-barangan sahaja. 

"Kami banyak belajar tentang pemasaran secara digital dan saya yakin ini akan meningkatkan jualan dan aliran trafik yang baik," kata beliau lagi.

BAZAR RAMADAN ONLINE LAZADA RANCAK

Golongan usahawan di Kampong Gelam juga boleh memanfaatkan kempen Bazar Ramadan Lazada.

Ia menawarkan pelbagai barangan yang dipilih susun untuk masyarakat Islam.

Jurucakap Lazada memberitahu BERITAmediacorp bahawa setakat sehingga 18 April, trafik ke platformnya meningkat lebih 15% berbanding tahun lalu.

Penjualan meningkat kira-kira 20% berbanding tempoh yang sama semasa Ramadan tahun lalu.

Antara produk yang paling laris adalah produk kesihatan dan kecantikan, barangan runcit dan hiasan rumah.

"Ini menunjukkan bahawa masyarakat Islam sedang bersiap sedia untuk Hari Raya Puasa yang akan datang dan berharap untuk berkumpul bersama keluarga sekali lagi," menurut jurucakap itu lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan