Skip to main content

Singapura

90% penduduk HDB hanya perlu jalan kaki 5 minit ke pusat pulangkan bekas minuman

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jan 2026 01:16PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 04:22PM
  • Singapura akan melancarkan skim kitar semula nasional bagi bekas minuman bermula April, melibatkan penduduk HDB dan pasar raya utama.
  • Lebih 1,000 pusat pulangkan bekas minuman akan ditempatkan, dengan sasaran menggandakan jumlah tersebut dalam tahun pertama.
  • Syarikat TOMRA dari Norway dilantik untuk memasang dan menyelia mesin, dibantu oleh Chye Thiam Maintenance untuk logistik dan penyenggaraan.
  • Pengguna membayar deposit S$0.10 untuk setiap bekas minuman dan boleh menuntut semula melalui mesin yang menyokong pelbagai bahasa dan kaedah bayaran balik digital.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sembilan daripada 10 penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan hanya perlu berjalan kaki lima minit ke pusat pulangkan bekas minuman apabila skim kitar semula nasional baharu dilancarkan pada April.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Janil Puthucheary pada Jumaat (30 Jan).

Sekitar 1,000 pusat pulangkan bekas minuman akan ditempatkan di pasar raya utama dan kawasan dengan ramai pengunjung.

Sasarannya adalah untuk menggandakan jumlah tersebut dalam tahun pertama pelaksanaan skim tersebut, kata Dr Puthucheary.

Bekas-bekas tersebut akan memasuki pasaran secara berperingkat dalam tempoh peralihan dari 1 April hingga 30 September.

Bekas-bekas minuman itu juga dijangka disediakan secara meluas menjelang Ogos dan September.

“Dalam tempoh awal ini, kami akan memantau dengan teliti corak pemulangan, mengumpul maklum balas masyarakat dan ini akan membolehkan kami menentukan lokasi yang paling sesuai untuk menambah jumlah pusat pulangkan bekas minuman,” katanya.

“Pendekatan berperingkat ini membantu kami menempatkan mesin sedemikian secara optimum, sekali gus memudahkan dan menjadikannya lebih selesa untuk digunakan oleh semua.”

Dr Puthucheary berkata demikian semasa perasmian pejabat baharu TOMRA di Singapura.

Syarikat Norway yang mereka bentuk mesin tersebut dilantik sebagai pengendali rangkaian pusat pulangkan bekas minuman bagi bahagian tengah dan timur laut Singapura.

Dalam kenyataan medianya pada Jumaat, TOMRA berkata ia akan memasang sekurang-kurangnya 350 mesin sedemikian di lokasi termasuk pasar raya dengan keluasan lantai melebihi 200 meter persegi, ruang kosong HDB dan pusat bandar.

Selain menempatkan mesin-mesin tersebut, syarikat itu juga akan menyelia aspek seperti pemerolehan tapak, pembersihan dan penyenggaraan, serta pengangkutan bekas minuman yang dikumpulkan ke loji pemprosesan, yang akan disokong oleh penyedia perkhidmatan tempatan Chye Thiam Maintenance.

Di bawah skim pulangkan bekas minuman ini, pengguna akan membayar deposit yang boleh dikembalikan sebanyak S$0.10 apabila membeli minuman dalam botol plastik atau tin antara 150 mililiter (ml) hingga 3 liter.

Mereka boleh mendapatkan semula deposit ini dengan memulangkan bekas minuman kosong di mana-mana pusat yang ditetapkan.

Mesin di pusat pulangkan bekas minuman akan menyokong keempat-empat bahasa utama dan menawarkan bayaran balik melalui kad EZ-Link, termasuk kad konsesi untuk warga emas dan pelajar.

Pilihan bayaran balik digital lain akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran, kata Dr Puthucheary.

Walaupun skim baharu itu mungkin “menyebabkan sedikit kesulitan”, beliau yakin bahawa masyarakat Singapura akan menyesuaikan diri.

“Kita telah melakukannya untuk beg guna semula dan skim pulangkan dulang, dan saya yakin bahawa dengan masa dan pemahaman, skim ini akan menjadi sebahagian daripada rutin harian kita,” katanya.

Skim itu dijangka dapat mengutip lebih 16,000 tan bahan setiap tahun daripada lebih 1 bilion bekas minuman yang digunakan setiap tahun.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita