Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% pelanggan pulangkan dulang di pusat penjaja; penguatkuasaan mula 1 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kadar dulang dan pinggan mangkuk yang dipulangkan di pusat penjaja meningkat kepada 91 peratus.

Ini berbanding 65 peratus yang dicatat pada Ogos 2021 sebelum undang-undang baru diperkenalkan September lalu, di mana orang ramai dikehendaki berbuat sedemikian. 

Jumlah itu melonjak 26 peratusan mata dalam tempoh kurang dua tahun. 

Kadar di kedai kopi dan tempat-tempat makan pula kekal tidak berubah pada 90 peratus. 

Perangkaan tersebut didedahkan pada Rabu (31 Mei) sedang pihak berkuasa mengumumkan bahawa penguatkuasaan undang-undang itu oleh para pegawai akan dipertingkatkan. 

Mulai Khamis (1 Jun), pegawai penguat kuasa akan mula mengambil maklumat pelanggan yang tidak memulangkan dulang, pinggan mangkuk dan sampah setelah habis makan di pusat penjaja, kedai kopi dan tempat makan. 

Pesalah kali pertama akan diberikan amaran bertulis, manakala pesalah berulang kali akan didenda atau didakwa di mahkamah, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu. 

Tindakan penguatkuasaan itu dipertingkatkan sebagai sebahagian usaha untuk menguatkuasakan undang-undang memulangkan dulang yang diperkenalkan secara berperingkat pada 2021 dan 2022. 

Sejauh ini, pegawai penguat kuasa akan menasihatkan pelanggan yang tidak memulangkan dulang mereka untuk berbuat sedemikian dan hanya mereka yang tidak mematuhi nasihat akan diberikan amaran bertulis, menurut agensi berkenaan. 

Maklumat pelanggan yang tidak membuang tisu, tin minuman kosong atau sisa makanan seperti kulit dan tulang, juga akan diambil para pegawai penguat kuasa. 

Pelanggan harus memulangkan sisa makanan mereka bersama pinggan mangkuk yang digunakan di stesen memulangkan dulang dan pinggan mangkuk, tambah kedua-dua agensi tersebut.

NEA dan SFA mula menguat kuasa undang-undang itu di pusat penjaja pada 1 September 2021 dan di kedai kopi dan tempat makan mulai 1 Januari 2022. 

Mereka turut menyatakan, mereka akan kerap melakukan pemeriksaan di pusat penjaja, kedai kopi dan tempat makan untuk memastikan mereka mengekalkan standard kebersihan dan menyediakan rak memulangkan dulang yang mencukupi. 

NEA turut akan bekerjasama dengan persatuan penjaja, pengendali dan kontraktor pembersih untuk meningkatkan kebersihan pusat-pusat penjaja melalui kerja-kerja naik taraf prasarana seperti menyatukan rak-rak memulangkan dulang dan pinggan mangkuk yang sedia ada dan mempertingkatkan aturan kerja dan pengerahan tenaga manusia. 

"Penguatkuasaan dipertingkat bagi pemulangan dulang mulai 1 Jun bertujuan untuk memastikan usaha baik majoriti yang memulangkan dulang dan pinggan mangkuk yang sudah digunakan tidak akan dicemari oleh kelakuan minoriti yang tidak bertimbang rasa," menurut NEA dan SFA.

"NEA dan SFA akan terus mendampingi orang ramai untuk mengingatkan mereka agar Singapura kekal bersih. Kami menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa jika dihampiri mereka."

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan