Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah pakai pelitup meski tidak lagi diwajibkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ramai pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah memutuskan untuk terus memakai pelitup sekalipun pemakaiannya tidak lagi diwajibkan mulai hari ini (29 Ogos).

Peraturan memakai pelitup di tempat awam dilonggarkan lagi setelah keadaan COVID-19 di Singapura dinilai semakin stabil.

Bermula hari ini (29 Ogos), para penduduk Singapura tidak lagi diwajibkan memakai pelitup kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan.
Gambar: Rosli A Razak
Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (21 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata bahawa pemakaian pelitup hanya diperlukan apabila menaiki pengangkutan awam dan di kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan seperti klinik, hospital dan juga rumah-rumah tumpangan dan rawatan yang menempatkan golongan berisiko tinggi.

Keadaan pagi tadi jauh berbeza jika dibandingkan dengan tarikh 29 Januari 2020 semasa protokol keselamatan COVID-19 yang ketat dilaksanakan di madrasah tersebut.
Gambar: Rosli A Razak
Mudirah Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustazah Khairiana Zainal Abiden berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa para ibu bapa dan waris pelajar telah dimaklumkan tentang kelonggaran berhubung pemakaian pelitup pada Jumaat lalu (26 Ogos).

Ramai pelajar dilihat bersorak gembira apabila Ustazah Khairiana memaklumkan mereka sewaktu perhimpunan pagi tadi tentang perubahan itu.
Gambar: Rosli A Razak
Antara pelajar yang menarik nafas lega kerana diberikan pilihan sama ada untuk memakai pelitup ataupun tidak ialah pelajar menengah satu Noor Tyana Haifa.

"Sekarang saya lebih selesa tanpa pelitup kerana saya dapat bernafas dengan betul," kata Noor Tyana.

Pelajar menengah dua, Umar Rasyideen Mohamed Salehin turut mengalu-alu kelonggaran tersebut.

"Saya tidak berapa senang memakai pelitup pada setiap masa kerana sukar bernafas dan jika tidak memakai pelitup lebih mudah untuk saya berinteraksi dengan orang lain," ujar beliau.

Sungguhpun demikian, sebilangan besar pelajar berkata mereka masih belum selesa untuk menanggalkan pelitup.
Gambar: Rosli A Razak
"Saya rasa kita perlu memakai pelitup muka untuk sedikit masa lagi kerana tanggungjawab sosial dan saya ingin melindungi diri saya sendiri. Saya masih berwaspada dan pakai pelitup di mana saja saya berada," kata Faalina Fazular Rahman, pelajar menengah satu.

Farouq Syakir pula tetap berwaspada kerana pernah dijangkiti COVID-19.

"Saya hendak berwaspada kerana awal tahun ini saya dijangkiti COVID-19 dan saya tidak mahu dijangkiti lagi."

Menurut pihak madrasah, ia akan mengingatkan para pelajar supaya terus mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
Gambar: Rosli A Razak
"Kami masih dalam situasi yang berjaga-jaga kerana kita ingin memastikan pelajar kita sihat. Apa lagi dalam waktu yang sudah masuk ke penggal terakhir. Peperiksaan akhir tahun seperti peperiksaan nasional dan peperiksaan International Baccalaureate (IB) akan bermula," kata Ustazah Khairiana Zainal Abiden

Tambah beliau, bilik-bilik darjah yang terjejas akan dibersihkan dengan menyeluruh bagi memastikan kesihatan kakitangan dan pelajar terus terpelihara sekiranya berlaku sebarang jangkitan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan