Skip to main content

Singapura

90% lulusan politeknik berhasil dapat pekerjaan 6 bulan selepas tamat pengajian atau NS pada 2025

90 peratus lulusan politeknik dalam tenaga kerja berhasil mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa pada 2025, menurut tinjauan pekerjaan lulusan politeknik terkini yang diterbitkan pada Khamis (15 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
90% lulusan politeknik berhasil dapat pekerjaan 6 bulan selepas tamat pengajian atau NS pada 2025
Para pelajar di Politeknik Temasek dalam gambar yang diambil pada 30 Januari 2024. (Gambar fail: TODAY/Lim Li Ting)
SINGAPURA: 90 peratus lulusan politeknik dalam tenaga kerja berhasil mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa pada 2025, menurut tinjauan pekerjaan lulusan politeknik terkini yang diterbitkan pada Khamis (15 Jan).

Jumlah itu merosot daripada 90.4 peratus yang dicatatkan pada 2024 dan 95.8 peratus yang dicatatkan pada 2023.

Pada 2025, sebilangan besar lulusan baharu politeknik dan lulusan politeknik yang menamatkan NS sepenuh masa dalam tenaga kerja - iaitu 54.2 peratus - sudah memperoleh pekerjaan tetap sepenuh masa.

Hampir sepertiga atau 28.2 peratus - bekerja sambilan atau sementara.

Bagi kebanyakan responden, pilihan tersebut dibuat secara sukarela.

Jumlah lulusan politeknik yang melakukan pekerja bebas membentuk 4.8 peratus daripada jumlah itu.

Lagi 2.3 peratus pula sudah menerima tawaran pekerjaan ketika tinjauan dijalankan dan akan memulakan pekerjaan kemudian, manakala 0.6 peratus mengambil langkah aktif untuk memulakan perniagaan sendiri.

Daripada 10 peratus lulusan politeknik yang menganggur, 7.1 peratus sudah membuat permohonan kerja tetapi belum menerima sebarang tawaran pekerjaan tetap sepenuh masa.

Kira-kira 1.3 peratus menerima tetapi menolak tawaran pekerjaan tetap sepenuh masa, dan 1.6 peratus tidak mencari sebarang pekerjaan tetap sepenuh masa.

Perangkaan itu diperolehi daripada peratusan lulusan baharu politeknik yang berada dalam tenaga kerja, iaitu 43.9 peratus pada 2025.

Baki 56.1 peratus yang tidak berada dalam tenaga kerja sama ada melanjutkan pengajian atau tidak mencari pekerjaan atas pelbagai sebab, termasuk mengambil cuti rehat.

Tinjauan itu dijalankan bersama oleh Politeknik Ngee Ann, Politeknik Singapura, Politeknik Nanyang, Politeknik Temasek dan Politeknik Republik.

GAJI BULANAN KASAR MEDIAN

Gaji bulanan kasar median dalam kalangan lulusan baharu politeknik yang bekerja sepenuh masa secara tetap meningkat daripada S$2,900 pada 2024 kepada S$3,000 pada 2025.

Kelompok kursus dengan gaji bulanan tertinggi adalah kursus kemanusiaan dan sains sosial, dengan gaji bulanan kasar median sebanyak S$3,200.

Sementara itu, kursus sains kesihatan berada di tempat kedua dengan gaji bulanan sebanyak S$3,011. Tiga kelompok – persekitaran binaan, kejuruteraan, serta teknologi maklumat dan digital – mencatatkan gaji bulanan kasar median yang sama, iaitu S$3,000.

Gaji bulanan kasar median bagi lulusan politeknik yang berkelulusan diploma dari kursus seni, reka bentuk dan media, perniagaan, serta sains menerima gaji bulanan di bawah median keseluruhan.

Keputusan pekerjaan bagi kohort 2025 dijangka bertambah baik selepas tempoh enam bulan, menurut kenyataan media bersama oleh politeknik-politenik tersebut.

Corak yang sama turut dilihat bagi kohort-kohort terdahulu, berdasarkan angka yang dikemukakan dalam kenyataan itu.

Kadar pekerjaan bagi kohort 2024 pada awalnya adalah lima mata peratusan lebih rendah berbanding kohort 2023.

Menjelang tempoh 12 bulan, jurang itu semakin mengecil. Bahagian kohort 2024 yang melanjutkan pengajian dalam negara atau mempunyai rekod gaji meningkat kepada 93 peratus, setanding dengan 94 peratus bagi kohort 2023.

Pekerjaan penduduk Singapura terus meningkat pada 2025, manakala bilangan pekerja dalam peranan tetap mencecah paras tertinggi baharu.

“Graduan baharu terus mendapat permintaan, dengan jumlah jawatan kosong peringkat permulaan meningkat kepada 39,000 pada September 2025, daripada 26,000 pada September 2024,” menurut pihak politeknik.

Empat daripada 10 jawatan kosong di peringkat permulaan adalah dalam sektor pertumbuhan seperti maklumat dan perhubungan, perkhidmatan kewangan dan insurans, serta khidmatan karyawan, tambah mereka.

Sokongan tersedia bagi para lulusan politeknik yang mencari pekerjaan, termasuk di politeknik, daripada Agensi Tenaga Kerja Singapura dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta melalui Skim Pelatih Industri Graduan, menurut pihak politeknik.

Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif Politeknik Ngee Ann, Lim Kok Kiang, berkata lulusan politeknik terus menunjukkan daya tahan, memperoleh peluang dalam sektor pertumbuhan termasuk kewangan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

“Kami akan terus memperkukuh kurikulum yang memberi tumpuan kepada industri, memperluas peluang pembelajaran di tempat kerja dan meningkatkan bimbingan kerjaya, bagi melengkapkan pelajar-pelajar kami dengan kemahiran, keyakinan dan kecekapan untuk membina kerjaya yang bermakna dan mampan,” kata beliau bagi pihak jawatankuasa tinjauan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita