Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% guru madrasah kini miliki kelayakan mengajar profesional

Kejayaan murid-murid madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini dan kemudian mencatat rekod kelulusan 99.6% - tertinggi dalam sejarahnya sejak mengikuti Pendidikan Wajib pada 2008 - semestinya bukan satu kebetulan.

Anggaran Waktu Membaca:
90% guru madrasah kini miliki kelayakan mengajar profesional

(Gambar: Ummu Rabbisyfina)

SINGAPURA: Kejayaan murid-murid madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini dan kemudian mencatat rekod kelulusan 99.6% - tertinggi dalam sejarahnya sejak mengikuti Pendidikan Wajib pada 2008 - semestinya bukan satu kebetulan.

249 daripada 250 murid madrasah sepenuh masa yang menduduki PSLE 2019 layak ke sekolah menengah tahun depan.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (21 Nov) yang mendedahkan keputusan tersebut, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut mendedahkan bahawa seramai 90 peratus guru madrasah kini mempunyai kelayakan mengajar profesional.

Ini hasil pelbagai tajaan pendidikan yang dilakukan oleh MUIS demi meningkatkan mutu para guru dan asatizah di madrasah-madrasah tempatan.

Misalnya, kelompok guru tersebut mengikuti dan meraih Diploma Pendidikan dari Edith Cowan, Diploma Spesialis dalam Pengajaran dan Pembelajaran dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) serta Diploma Spesialis dalam Pembelajaran dan Pengajaran Gunaan dari Politeknik Republik.

Di pihaknya pula, pemerintah menyediakan geran sokongan latihan sebanyak S$1,000 bagi setiap guru madrasah yang mengajar subjek-subjek Bahasa, Matematik dan Sains. MUIS kemudian mengeluarkan jumlah yang sama bagi setiap guru yang mengajar subjek agama.

BANTUAN UNTUK MURID MADRASAH CECAH S$867,000 SEJAK 2015

Dalam pada itu, MUIS juga terus menghulurkan Pakej Bantuan PSLE kepada semua pelajar madrasah sepenuh masa yang akan menduduki peperiksaan PSLE - suatu langkah yang mula diperkenalkan pada tahun 2007.

Kohort pertama yang mendapat manfaat pakej itu menduduki PSLE pada 2008 apabila Pendidikan Wajib dilaksanakan.

Di bawah pakej bantuan itu, kesemua pelajar madrasah Darjah 5 dan Darjah 6 menerima bantuan kewangan yang digunakan untuk mengikuti bengkel-bengkel berkaitan PSLE dan kegiatan-kegiatan pembelajaran tambahan.

Sejak lima tahun lalu misalnya, sejumlah 2,890 murid madrasah sepenuh masa yang mengambil PSLE, diberi bantuan S$300 setiap seorang.

Ini bermakna, dari 2015 hingga 2019, sebanyak S$867,000 dibelanjakan untuk menyokong murid-murid tersebut bagi PSLE.

Pecahannya, menurut MUIS adalah seperti berikut:

Tahun   Pelajar   Jumlah (S$300/murid)
2015   655   S$196,500
2016   545   S$163,500
2017   546   S$163,800
2018   537   S$161,100
2019   607   S$182,100 


Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan