Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% gerai sudah disewa, masih ada ruang untuk gerai tambahan di Bazar Geylang Serai

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: 90 peratus daripada 700 gerai di Bazar Geylang Serai sudah disewa setakat Ahad (24 Mac).

Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS) Dr Faishal Ibrahim berkata sambutan orang ramai juga amat menggalakkan, dengan lebih 200,000 orang ke sana sejak ia dibuka pada 17 Mac lalu.

"Sokongan dalam masa seminggu ini 200,000 orang telah tampil ke sini telah bersama-sama dengan ahli keluarga mereka, sanak saudara dan rakan rakan mereka. Kita dapat melihat mereka menikmati suasana di sini di mana mereka beritahu kami tempatnya lebih lebar, lebih luas," kongsi Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS), Dr Faishal Ibrahim.

Beberapa penjual yang ditemui berkata perniagaan berjalan lancar namun berharap ia akan bertambah rancak dalam minggu-minggu mendatang.

"Pada minggu pertama, Alhamdulillah sangat baik untuk gerai kami. Tetapi dalam minggu akan datang, kami ingin lebih ramai pelanggan mengetahui kedai kami supaya kami boleh mendapat lebih keuntungan," kata Pekerja gerai Meat My Meat, Muhammad Fahmi Abdullah.

Seorang pegerai memberitahu BERITAmediacorp bahawa penjualan tidak serancak berbanding beberapa hari pertama bazar dibuka.

"Alhamdulillah buat dua tiga hari pertama kami buka sebelum Ramadan, boleh tahan ada orang datang tapi kebelakangan ini sudah senyap sedikit jadi harapan kita untuk sokong gerai-gerai di sini boleh datanglah ramai-ramai ke sini," kata Pekerja gerai Shoooze, Haikal Khan.

Encik Haikal turut mendedahkan, pada tahun lalu mereka dapat meraih semula bayaran sewa gerai dalam minggu pertama tetapi jualan agak perlahan tahun ini.

Muhammad Mizwar Mizan dari gerai Mango Bossku pula berpendapat perniagaan dalam minggu pertama ini tidak serancak tahun lalu.

"Jadi setakat ini buat minggu pertama, sambutannya agak baik tapi tidak serancak dulu. Harapan saya buat minggu-minggu akan datang, lebih ramai lagi yang akan menyokong kami," kata Pekerja gerai Mango Bossku, Muhammad Mizwar Mizan.

Menurut Dr Faishal 660 gerai atau 90 peratus daripada gerai yang disediakan sudah disewa.

95% gerai makanan dan minuman (F&B) sudah disewakan

"Tinggal 40 lagi (gerai) yang belum diiisi. Kita dapat tahu dari pengurus di mana ada lebih tempat jadi mereka memberi ruang kepada peniaga-peniaga untuk mendapatkan gerai-gerai yang tertentu. Jadi, bilangan gerai itu meningkat lebih daripada 700 dan ia memberi peluang kepada lebih ramai peniaga kita untuk mengambil bahagian dalam bazar ini pada pendapat saya adalah satu berita baik," kata Dr Faishal.

Mengenai dengan jumlah sewa yang lebih tinggi, Dr Faishal berkata harganya memadai bergantung kepada saiz dan keperluan gerai yang disewa.
 
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
"Ada yang mahukan gerai yang kecil jadi mereka bayar sewa yang rendah, ada yang mahukan gerai yang lebih besar yang memerlukan lebih banyak perkhidmatan, elektrik dan juga pelbagai aspek. Bukan semua gerai di sini membayar sewa S$18,000. Jadi kita ingin menyediakan pilihan di mana mereka yang mengambil gerai yang kecil, memadai kepada sewa yang mereka bayar, kongsi Dr Faishal.

Menurut WGS, masih ada ruang tambahan dan ia bersedia menambah jumlah gerai sekiranya terdapat permintaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan