Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% doktor baru adalah rakyat S'pura; 180 doktor diambil dari India dalam masa 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
 90% doktor baru adalah rakyat S'pura; 180 doktor diambil dari India dalam masa 3 tahun

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 03 Oct 2022 06:43PM Dikemas Kini : 03 Oct 2022 07:36PM

SINGAPURA: Singapura mengambil doktor dari luar negara bagi meringankan "beban kerja" doktor di sini serta bagi memenuhi keperluan jagaan kesihatan negara ini, menurut syarikat induk bagi kelompok-kelompok jagaan kesihatan awam Singapura.
 

Menjawab soalan  Mediacorp, MOH Holdings (MOHH) menyatakan pihaknya merancang untuk mengambil  180 doktor baru dari India bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ini selepas sekeping gambar berhubung tender bertarikh 6 Sep bagi melantik agensi pengambilan pekerja di Singapura untuk mengendalikan projek itu, disebarkan online bulan lalu.

Mengesahkan bahawa tender yang dikeluarkan itu adalah benar, MOHH menyatakan pihaknya juga "mengambil pekerja dari negara-negara dengan doktor berkelayakan" seperti Britain dan Australia juga, dan bukan sahaja India. 

MOHH juga menambah bahawa pihaknya sedang mencari calon-calon graduan dari sekolah perubatan yang tersenarai dalam Akta Pendaftaran Perubatan.

"Doktor-doktor ini hanya akan diberikan pendaftaran bersyarat untuk mengamalkan perubatan di bawah pengawasan ketat," menurut MOHH.

"Keutamaan diberikan kepada rakyat Singapura yang tamat pengajian dari sekolah-sekolah perubatan yang diiktiraf Majlis Perubatan Singapura," tambahnya. 

Beberapa warganet sebelum ini menyoal keputusan MOHH untuk "mengimport" doktor dari India, dengan sebilangan mereka menyuarakan kebimbangan mereka atas pensijilan palsu.

Sebilangan lain pula bertanya mengapa Singapura tidak menambah sahaja jumlah kemasukan penuntut ke dalam sekolah-sekolah perubatan tempatan.

Tender tersebut ditutup pada 10 Oktober dengan sasaran mengambil 60 pegawai perubatan dari India setiap tahun, dari 2022 hingga 2024, dan kemungkinan melanjutkan projek tersebut setahun lagi sehingga 2025.

MOHH juga memuat naik tender berasingan di lamannya, bertarikh 16 September, bagi agensi-agensi pengambilan pekerja di luar negara.

India bagaimanapun tidak dinyatakan dalam tender itu.

MOHH juga menjelaskan pihaknya mengambil sekitar 700 doktor baru setiap tahun,dengan 90 peratus daripada mereka adalah rakyat Singapura; sama ada dilatih di sekolah-sekolah perubatan Singapura ataupun rakyat Singapura yang bakal pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian dari sekolah-sekolah perubatan luar negara yang diiktiraf.

Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan