90 aduan difailkan terhadap Triple Lifestyle Marketing atas dakwaan mengelirukan, khidmat lembap
Sebuah syarikat yang menjual sistem air beralkali menerima hampir 90 aduan daripada para pengguna sepanjang setahun lalu berkaitan dakwaan yang mengelirukan, khidmat pelanggan yang teruk dan ganti rugi yang tidak memuaskan bagi produk-produk yang rosak.
SINGAPURA: Sebuah syarikat yang menjual sistem air beralkali menerima hampir 90 aduan daripada para pengguna sepanjang setahun lalu berkaitan dakwaan yang mengelirukan, khidmat pelanggan yang teruk dan ganti rugi yang tidak memuaskan bagi produk-produk yang rosak.
Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menyatakan dalam maklumannya pada Selasa (23 Feb) bahawa walaupun pihaknya sudah mengeluarkan surat amaran kepada firma itu - Triple Lifestyle Marketing - pada Julai tahun lalu, aduan masih dikemukakan terhadap syarikat tersebut.
Badan pemerhati pengguna itu kemudian meminta syarikat tersebut supaya menyertai perjanjian pematuhan sukarela di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perniagaan Adil) (CPFTA) untuk menghentikan amalan-amalan tidak adil dan memberi ganti rugi dan pampasan kepada para pengguna yang terjejas - tetapi firma itu belum lagi berbuat demikian.
CASE mendedahkan bahawa pihaknya menerima 86 aduan terhadap Triple Lifestyle Marketing dari 1 Januari 2020 hingga 31 Jan tahun ini.
Syarikat itu menjual pakej khidmat penyenggaraan jangka panjang untuk sistem air beralkali melalui penjualan dari rumah ke rumah, dengan pakejnya berharga sekitar S$3,000, menurut CASE.
Para pelanggan boleh memilih untuk membayar kos pakej secara selepuk atau melalui ansuran bulanan.
Sebagai ganjaran kerana melanggani pakej tersebut, para pengguna boleh mendapatkan dispenser air, sistem penapisan air dan pengganti penapis air secara percuma.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian khidmat, Triple Lifestyle Marketing juga perlu membaiki dispenser air atau sistem penapisan air jika berlaku kerosakan, tambah CASE.
TIDAK JAWAB PANGGILAN ATAU GANTI BARANG ROSAK
Para pelanggan bagaimanapun mengadu bahawa Triple Lifestyle Marketing tidak menjawab panggilan berulang kali untuk menukar penapis air atau membaiki produk yang rosak, atau tidak menghadiri sebarang janji temu.
Bagi sesetengah kes, syarikat itu tidak memberikan produk ganti setelah mengambil produk yang rosak.
Para pelanggan juga mendakwa Triple Lifestyle Marketing memberitahu mereka bahawa mereka boleh membuat bayaran secara ansuran, tetapi kemudian meminta bayaran penuh secara selepuk.
Sebilangan pelanggan turut mengadu bahawa mereka menerima dispenser air atau penapis air yang sudah digunakan terlebih dahulu, menurut CASE.
Badan itu menambah pihaknya akan terus memantau aduan yang diterima terhadap Triple Lifestyle Marketing dan sedang menimbangkan tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap syarikat itu seperti yang diperuntukkan di bawah CPFTA bagi melindungi kepentingan pengguna.
Untuk mengelakkan kejadian sedemikian, CASE menasihatkan para pelanggan supaya cuba mendapatkan tempoh percubaan untuk menilai kualiti produk dan khidmat yang ditawarkan termasuk perkhidmatan selepas jualan sebelum menandatangani kontrak jangka panjang.
Pelanggan juga harus mengetahui perincian seperti tempoh notis janji temu perkhidmatan dan masa yang diperlukan untuk membaiki produk yang rosak dan meletakkannya secara bertulis sekiranya berlaku pertikaian.
"Jangan terburu-buru untuk melakukan pembelian dengan serta-merta. Selidik dahulu online untuk mengesahkan mutu produk dan rekod prestasi syarikat sebelum membuat pembelian,” tambah CASE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.