Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9 perkara anda perlu tahu tentang Belanjawan 2022

Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangkakan serta caruman CPF lebih tinggi bagi para pekerja lanjut usia, adalah antara pengumuman utama oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangkakan serta caruman CPF lebih tinggi bagi para pekerja lanjut usia, adalah antara pengumuman utama oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).

Semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022 yang pertama bagi beliau dengan tema "Melakar Hala Tuju Baru Kita Bersama", Encik Wong menekankan sekali lagi betapa pentingnya kontrak sosial dalam kalangan individu, kumpulan masyarakat, majikan dan Pemerintah.

Langkah-langkah yang dilaksanakan Singapura sepanjang dua tahun lalu bagi menyokong rakyat Singapura dan syarikat-syarikat perniagaan sudah membuahkan hasil, katanya.

"Kita melangkah ke hadapan daripada kedudukan yang kukuh. Respons kita terhadap pandemik membezakan kita daripada negara-negara lain," tegasnya.

Berikut adalah 9 perkara penting daripada Belanjawan 2022:

KENAIKAN GST DILENGAHKAN SEHINGGA 2023

Kenaikan GST akan dilengahkan sehingga tahun depan dan akan dilaksanakan melalui dua peringkat.

Pertama, ia akan naik dari 7 peratus kepada 8 peratus pada 1 Januari 2023 dan kemudian kepada 9 peratus pada 1 Januari 2024.

Bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan GST, Pemerintah akan menokok lagi S$640 juta kepada Pakej Jaminan GST yang bernilai S$6 bilion, sekali gus memberikan "agihan ketara" kepada rakyat Singapura, kata Encik Wong.

Sebagai contoh, setiap rakyat dewasa Singapura akan menerima bayaran wang tunai antara S$700 dengan S$1,600 sepanjang lima tahun akan datang.

Semua keluarga rakyat Singapura akan menerima dua agihan baucar CDC bernilai S$200 setiap satu pada 2023 dan 2024. Baucar-baucar itu boleh digunakan di semua kedai dan gerai penjaja di kawasan kejiranan yang menyertai skim tersebut serta pasar raya utama di sini.

Keluarga dan warga emas yang layak juga akan menerima agihan khas baucar GST, sementara kanak-kanak rakyat Singapura dan warga emas juga akan mendapat tokokan MediSave.

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI KELUARGA

Rakyat Singapura akan menerima lebih banyak bantuan untuk menampung perbelanjaan harian menerusi Pakej Bantuan Keluarga Tambahan.

Di bawah pakej itu, Baucar GST - Rebat U-Save akan digandakan untuk sepanjang tahun ini, dengan keluarga yang layak akan menerima sehingga lagi S$285.

Kanak-kanak berusia 20 tahun dan ke bawah akan menerima tokokan S$200 ke dalam akaun berkaitan pendidikan mereka.

Para keluarga juga akan mendapat satu lagi baucar CDC bernilai S$100 pada tahun ini.

CARUMAN CPF LEBIH TINGGI BAGI PEKERJA LANJUT USIA

Pemerintah akan terus menaikkan kadar caruman CPF pekerja dan majikan bagi pekerja berusia 55 hingga 70 tahun pada 2023, digandingkan dengan pengimbangan peralihan bagi para majikan.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kecukupan persaraan mereka, kata Encik Wong.

Kenaikan pertama sudahpun dilaksanakan pada tahun lalu, sejajar dengan saranan oleh Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Lanjut Usia.

Ini bermakna para pekerja lanjut usia akan menyaksikan kenaikan 3 hingga 4 peratus pada kadar caruman CPF mereka sepanjang dua tahun itu.

Untuk memberikan bayaran bulanan CPF lebih tinggi kepada para pesara, jumlah persaraan asas akan dinaikkan sebanyak 3.5 peratus setiap tahun bagi kohort yang mencecah usia 55 tahun antara 2023 dengan 2027.

Tiada keperluan untuk para pencarum menokok akaun CPF jika mereka tidak dapat mengetepikan jumlah persaraan asas itu. Namun bagi mereka yang berbuat demikian dan apabila mereka mencecah usia 55 tahun pada 2027, mereka akan mendapat bayaran hampir S$1,000 setiap bulan apabila mereka berusia 65 tahun dan akan terus menerima bayaran itu sepanjang hayat mereka.

CUKAI DINAIKKAN BAGI GOLONGAN BERGAJI BESAR, HARTANAH, KERETA MEWAH

Kadar cukai pendapatan peribadi bagi mereka yang bergaji besar akan dinaikkan kepada 23 peratus bagi mereka dengan pendapatan yang boleh dicukai melebihi S$500,000 hingga S$1 juta, dan 24 peratus bagi pendapatan melebihi S$1 juta.

Ini berbanding 22 peratus sekarang.

Cukai hartanah, dengan Encik Wong menyifatkannya sebagai "kaedah utama Singapura untuk mengenakan cukai harta", juga akan dinaikkan.

Bagi hartanah yang diduduki bukan pemilik, kadar cukainya akan naik dari 10 peratus hingga 20 peratus sekarang kepada 11 peratus hingga 27 peratus pada 2023, sebelum naik sekali lagi kepada 12 peratus hingga 36 peratus pada 2024.

Kadar cukai bagi rumah yang diduduki pemilik dengan nilai tahunan yang melebihi S$30,000 juga akan dinaikkan. Akan ada julat percukaian 5 hingga 23 peratus melebihi taksiran $30,000 pertama menjelang 2023, dengan kenaikan kepada 6 peratus hingga 32 peratus pada 2024.

Kenaikan ini akan menjejas 7 peratus teratas hartanah sedemikian seperti kondominium yang terletak di bahagian tengah Singapura dan hartanah berhalaman yang besar.

Singapura juga akan mengenakan cukai lebih tinggi pada kereta mewah untuk memastikan sistem cukai kenderaan di Singapura "lebih progresif", kata Encik Wong.

SASARAN SIFAR PELEPASAN KARBON & CUKAI KARBON

Singapura menetapkan sasaran lebih tinggi untuk mencapai sifar pelepasan karbon "menjelang atau sekitar pertengahan abad ini", kata Encik Wong. Ini akan mempercepatkan garis masa daripada "sebaik sahaja berdaya maju" ke separuh kedua abad ini.

Untuk mencapai sasaran baru ini, Pemerintah akan menaikkan cukai karbon dari S$5 kepada S$25 bagi setiap tan pada 2024.

Ia kemudian akan dinaikkan kepada S$45 bagi setiap tan pada 2026 dan 2027, dengan ia mungkin akan mencecah S$50 hingga S$80 bagi setiap tan menjelang 2030.

Satu rangka kerja peralihan akan dilakar untuk syarikat-syarikat perniagaan memastikan mereka kekal berdaya saing. Keluarga di sini, yang mungkin terkesan dengan bil api air yang lebih tinggi, akan diberikan sokongan tambahan.

KENDERAAN ELEKTRIK DAN BON HIJAU

Bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik, lebih banyak tempat mengecas akan dibangunkan "lebih dekat dengan kawasan perumahan", kata Encik Wong.

Pemerintah menyasarkan untuk menawarkan bon hijau sehingga S$35 bilion menjelang 2030 bagi membiayai projek-projek infrastruktur hijau sedemikian dalam sektor awam.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk membangunkan sebuah pasaran kewangan mesra alam dan menyeluruh dan merebut manfaat faedah penggerak pertama dalam ekonomi hijau, kata Encik Wong.

PELABURAN DALAM PENDIGITALAN DAN INOVASI

Pandemik juga "mempercepatkan" peralihan ke masa hadapan digital, dan mengukuhkan keupayaan digital Singapura merupakan salah satu daripada keutamaan Pemerintah untuk terus kekal bersaing, kata Encik Wong.

Pemerintah akan memperuntukkan S$200 juta sepanjang beberapa tahun akan datang untuk mempertingkatkan skim-skim yang akan membina keupayaan digital dalam perniagaan dan pekerja.

Encik Wong juga menggariskan rancangan untuk menaik taraf infrastruktur jalur lebar untuk mempercepatkan kelajuan sekitar 10 kali ganda dalam masa beberapa tahun akan datang dan melabur dalam teknologi masa hadapan seperti 6G.

LEBIH BANYAK SOKONGAN UNTUK PERNIAGAAN

Para majikan tempatan akan mendapat bantuan segera menerusi Pakej Bantuan Pekerjaan dan Perniagaan bernilai S$500 juta.

Ini termasuk Geran Pemulihan Perniagaan Kecil bagi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang paling terjejas oleh sekatan-sekatan COVID-19 seperti dalam sektor makanan dan minuman, runcit, pelancongan dan pelayanan.

Mereka akan menerima agihan S$1,000 bagi setiap pekerja tempatan, dihadkan kepada S$10,000 bagi setiap firma. Pemilik gerai penjaja, kedai kopi dan pasar serta penjaja berlesen yang tidak menggajikan pekerja tempatan juga akan mendapat agihan S$1,000.

Selain itu, pakej itu turut meliputi pelanjutan Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan selama enam bulan bagi menyokong pengambilan pekerja penduduk tempatan sehingga September, meskipun kadar itu akan dikurangkan bagi mencerminkan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.

SOKONGAN BAGI PEKERJA BERGAJI RENDAH

Para pengguna yang ingin menyokong majikan yang secara sukarela membayar gaji progresif kepada para pekerja mereka boleh menjangkakan Tanda Gaji Progresif yang baru mulai Mac tahun depan.

Dengan lebih banyak sektor dilindungi di bawah model gaji progresif dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Pemerintah akan memperkenalkan Skim Kredit Gaji Progresif untuk membiayai bersama kenaikan gaji sehingga 2026. Ini akan membantu para majikan menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan itu.

Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja juga akan dipertingkatkan melalui beberapa cara. Ia akan diperluaskan kepada para pekerja lebih muda yang berusia antara 30 hingga 34 tahun dan had kelayakan pendapatan bulanan akan dinaikkan dari S$2,300 kepada S$2,500. Pada masa yang sama, had minimum pendapatan yang baru sebanyak S$500 juga akan diperkenalkan.

Agihan maksimum di bawah Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja juga akan dinaikkan. Misalnya, mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun akan menerima bayaran tahunan sehingga S$3,000, berbanding S$1,700 sekarang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan