Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9 pengilang kuih digantung operasi; guna secara salah bahan tambahan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Operasi sembilan pengilang kuih digantung kerana didapati menggunakan bahan tambahan makanan secara salah, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (27 Jul).

Pengeluaran pelbagai produk kuih oleh pengilang-pengilang tersebut digantung pada Selasa (26 Jul) sehingga diberitahu kelak selepas paras asid benzoik atau asid sorbik yang tinggi dikesan dalam kuih-muih serta bahan-bahan kuih (seperti doh), menurut agensi tersebut.

"Di bawah Peraturan Makanan Singapura, penggunaan asid benzoik/asid sorbik tidak dibenarkan dalam produk kuih, kecuali untuk intinya, yang tidak sepatutnya melebihi had maksimum yang dibenarkan".

Pengilang yang terjejas ialah AMK Nonya Kueh Pte Ltd, Chit Guan Foodstuff Pte Ltd, Delight Baker Pte Ltd, Lim Food Industries, Sin Hwa Coconuts Industrial Pte Ltd, Thomson Foodstuff Manufacturing, Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh Pte Ltd, Toh Chuan Kee Foodstuff Pte Ltd dan Tongli Food Manufacturing.

Produk kuih yang terjejas pula termasuk kuih lapis, kuih keladi, kuih puteri salat, ang ku kueh, huat kueh, ondeh-ondeh, chwee kueh dan soon kueh.

SFA menyatakan pihaknya sedang memantau dengan teliti pengilang-pengilang kuih tempatan sejak mengesan asid benzoik dalam produk kuih keluaran tempatan pada bulan Mac lalu.

"Demi kepentingan kesihatan awam, SFA sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengilang terbabit dan sudahpun menggantung pengeluaran, pengedaran serta penjualan produk kuih terjejas yang didapati tidak mematuhi Peraturan Makanan Singapura".

SFA sudah mengarahkan para pengilang untuk menarik balik produk kuih yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga dan langkah itu masih sedang dijalankan.

Agensi tersebut menjelaskan bahawa "pengambilan makanan yang terjejas itu buat satu atau dua kali tidak membawa keprihatinan tentang keselamatan makanan" berdasarkan tahap bahan tambahan makanan yang dikesan.

Namun, ia memberi amaran terhadap pengambilan makanan yang mengandungi paras tinggi asid benzoik ataupun asid sorbik pada jangka masa panjang.

"Walaupun asid benzoik dan asid sorbik adalah bahan tambahan makanan biasa yang selamat apabila digunakan dalam jumlah kecil, kajian terhadap haiwan yang diberikan makanan yang mengandungi dos tinggi asid benzoik menunjukkan gangguan pada sistem saraf pusat serta perubahan dalam otaknya," menurut SFA.

SFA menasihati orang awam yang sudah termakan produk-produk terjejas itu supaya mendapatkan nasihat perubatan sekiranya bimbang akan kesihatan mereka.

SFA menambah para pengguna boleh menghubungi tempat mereka membeli produk berkenaan jika ada sebarang pertanyaan.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan