Skip to main content

Singapura

9 orang masih dirawat di hospital susuli kemalangan bas di Jurong West

Lapan penumpang dan seorang kapten bas masih dirawat di hospital pada Isnin (15 Dis), sehari selepas dua bas bertembung di Jurong West, menyebabkan puluhan orang cedera.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Dec 2025 09:55PM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 11:14PM
SINGAPURA: Lapan penumpang dan seorang kapten bas masih dirawat di hospital pada Isnin (15 Dis), sehari selepas dua bas bertembung di Jurong West, menyebabkan puluhan orang cedera.

44 orang dibawa ke hospital selepas sebuah bas yang dikendalikan oleh Tower Transit merempuh bas SBS Transit yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jurong West Avenue 1 pada pagi Ahad.

Kedua-dua kapten bas merupakan antara mereka yang dibawa ke hospital.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SBS Transit dan Tower Transit menyatakan pada Isnin bahawa lapan penumpang masih berada di hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan, dan mereka berada dalam keadaan stabil.

"Kapten bas Tower Transit kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital," menurut ketiga-tiga agensi itu dalam satu kenyataan bersama, sambil menambah kapten bas SBS Transit dibenarkan pulang pada Ahad.

"Pasukan kita akan terus memeriksa kebajikan mereka dan menghulurkan sokongan, termasuk kaunseling profesional jika mereka perlukannya," mereka menambah.

Polis sebelum ini menyatakan bahawa seorang pemandu lelaki berusia 49 tahun sedang membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Apabila ditanya mengenai kemas kini berhubung siasatan kejadian itu, LTA dan kedua-dua pengendali bas itu menyatakan Tower Transit sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

"Secara berasingan, pagi ini, Tower Transit menjalankan taklimat keselamatan wajib di kesemua depoh bas kami untuk mengukuhkan protokol keselamatan penting dan memastikan kapten-kapten bas kami beri tumpuan terhadap keselamatan jalan raya," katanya.

Tower Transit juga membantu para penumpang terjejas dengan semua tuntutan yang berkaitan.

"Pasukan kami sedang bekerja keras untuk menghubungi kira-kira 10 penumpang yang dibenarkan pulang tetapi belum menghubungi kami," menurut LTA, Tower Transit dan SBS Transit.

"Kami menggesa penumpang berkenaan atau ahli keluarga mereka agar menghubungi kami secepat mungkin supaya kami boleh memberikan bantuan."

Para penumpang yang menaiki bas-bas yang terjejas boleh mendapatkan bantuan daripada Tower Transit di talian 1800 248 0950 atau melalui alamat emel feedback [at] towertransit.sg atau bersama SBS Transit di talian 1800 287 2727 atau melalui emel customercare [at] sbstransit.com.sg.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita