9 orang diheret ke mahkamah kerana hina, serang, dera pegawai polis
Sembilan individu yang dipercayai menyerang, menghina atau mendera para pegawai polis menerusi pelbagai cara akan didakwa di mahkamah esok (29 Nov), menurut polis.
Gambar hiasan. (Gambar: REUTERS/Enrique Castro-Mendivil/Files)
SINGAPURA: Sembilan individu yang dipercayai menyerang, menghina atau mendera para pegawai polis menerusi pelbagai cara akan didakwa di mahkamah esok (29 Nov), menurut polis.
Semua tujuh lelaki dan dua wanita berkenaan, dalam lingkungan usia antara 20 dengan 66 tahun, akan dihadapkan ke mahkamah bagi kes berasingan menggunakan kata-kata kesat dan sengaja mencederakan pegawai polis. Semua kesalahan itu dilakukan antara bulan Januari dengan Oktober tahun ini.
Perbuatan-perbuatan tersebut yang didakwa dilakukan oleh individu-individu tersebut termasuk menumbuk, menendang, melontarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah para pegawai polis.
Kes-kes tersebut berlaku antara Januari dengan Oktober:
29 Januari: Seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai mabuk dan mengganggu ketenteraman awam. Apabila polis tiba untuk menangani insiden itu, lelaki berkenaan dipercayai melemparkan kata-kata kesat dan menyebabkan para pegawai cedera dengan menumbuk dan menendang mereka.
11 Mei: Seorang wanita berusia 33 tahun dipercayai menyebabkan seorang anggota keluarganya cedera semasa berlaku pertikaian.
Apabila polis tiba untuk meleraikan insiden itu, suspek wanita berkenaan dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka dan juga mengoyakkan laporan polis.
24 Jun: Seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai menyebabkan seorang pegawai polis cedera dengan menolak dan menumbuknya pada bahagian muka semasa satu pemeriksaan dijalankan.
20 Julai: Seorang lelaki, 43 tahun, dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai polis semasa kes pertikaian tambang teksi.
6 Ogos: Seorang wanita, 41 tahun, dipercayai melontarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai polis dan menendangnya.
22 Ogos: Seorang lelaki berusia 66 tahun dipercayai juga melontarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai semasa berlaku pertikaian dengan jirannya.
24 Ogos: Seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis semasa mereka menjalankan pemeriksaan mengenai satu kes pertikaian.
1 Oktober: Seorang lelaki , 42 tahun, dipercayai menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai polis dengan meludah ke arah beliau.
25 Oktober: Seorang lelaki berusia 42 tahun ditangkap kerana mabuk di tempat awam. Semasa ditangkap, dia dipercayai melontarkan kata-kata kesat terhadap polis dan juga menendang kaki pegawai itu.
Mereka yang disabit kesalahan di bawah Akta Perlindungan Dari Gangguan boleh didenda sehingga $5,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati bersalah sengaja mencederakan pegawai awam semasa mereka menjalankan tugas boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda dan/atau dikenakan sebatan rotan.
Bagi yang menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugas, mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun dan/atau didenda.
Menurut polis, pihaknya "memandang serius" terhadap individu-individu yang membahayakan pegawai polis dan menghalang mereka daripada menjalankan tugas.
"Meskipun tugas polis berisiko dan berbahaya, Polis tidak akan bertolak ansur sama sekali terhadap perbuatan keganasan sedemikian ke atas para pegawai polis atau pegawai awam yang sedang menjalankan tugas mereka.
"Polis juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang berani melanggar undang-undang dan meletakkan pegawainya dalam bahaya," menurut kenyataan polis lagi.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.